Malaysia adalah sebuah negara Islam. Malaysia bukan negara sekular, atau negara tanpa agama, seperti negara jiran kita Indonesia. Di tanah air tercinta ini, Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu dengan agama lain, atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi teguh dan terang. Itulah tafsiran kepada Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang menegaskan bahawa Islam adalah agama negara.
Ya memang kita akui, memang benar masih banyak hukum Allah yang belum terlaksana. Namun itu tidak bermakna negara ini negara sekular. Bahkan, jika kita benar-benar mahu melaksanakan syariah, maka kita dituntut mempertahankan status negara Islam, yang diberikan oleh Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan itu. Kerana itu adalah tahap minima. Bagaimana kita boleh melaksanakan syariah, jika kita mengatakan negara ini negara sekular?
Kedudukan istimewa orang-orang Melayu, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, adalah juga satu kelebihan bagi agama Islam, sebagai bantuan agar orang-orang Islam, yang 95% daripada mereka adalah orang Melayu, mampu bersaing dengan orang-orang lain, yang telah pun menguasai ekonomi negara.
Ya memang kita akui, memang benar terdapat ketidaktelusan dan penyelewengan dalam perlaksanaan dasar itu, namun untuk menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu adalah ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
Institusi Raja di negara ini, adalah satu mekanisme untuk menjaga urusan agama Islam, daripada campurtangan orang-orang bukan Islam. Ya memang kita akui, Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja juga adalah manusia, yang melakukan salah dan silap, tidak sempurna, namun membiarkan institusi Raja ini diperlekeh dan dikritik secara melampau, terutamanya daripada bukan Islam, adalah satu tindakan yang amat tidak matang dan tidak bijak.
Hari ini, di negara kita, amat jelas sekali betapa aktifnya satu gabungan gerakan sosial, yang mahu menghapuskan tiga tonggak Perlembagaan Persekutuan, iaitu Islam, Melayu dan institusi Raja.
Gabungan gerakan mirip tentera Ahzab ini, mahu merubah identiti negara, menjadi negara sivil tanpa agama. Gerakan Ahzab ini dianggotai oleh badan bukan kerajaan dalam pelbagai bidang seperti undang-undang, sosial, media, kajian dan penyelidikan, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.
Antara yang menganggotai gerakan Ahzab ini ialah Islamic Renaisance Front, Malaysiakini, Liberal Banter, Lawyers For Liberty, Merdeka Center, Suaram, Pusat Komas, Mafrel, Institut Kajian Dasar, Majlis Peguam, Sisters In Islam, Pusat Komuniti Kesedaran Selangor, Tenaganita, Seksualiti Merdeka, Comango dan banyak lagi.
Kesemua mereka mendapat dana daripada luar. Daripada National Endowment For Democracy (NED), satu badan Amerika yang berperanan memastikan dasar dan polisi sesebuah negara itu selari dengan dasar dan polisi Amerika. Selain NED, George Soros melalui Open Society turut mendanai. Konrad Adenuer Foundation, yang ditubuhkan untuk kepentingan kaum Yahudi antarabangsa, telah membiayai sejak tahun 1984.
Matlamat mereka ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sivil tanpa agama, dengan menggunakan slogan-slogan kebebasan, hak asasi manusia, keadilan, kesamarataan, persaudaraan insan, demokrasi dan lain-lain, yang bunyinya amat murni. Sebenarnya mereka hanyalah alat bagi agenda kapitalis Yahudi untuk meruntuhkan benteng agama dan bangsa, bagi memudahkan laluan penguasaan kapitalis Yahudi itu ke atas negara kita.
Antara tuntutan mereka ialah menghapuskan hak istimewa orang-orang Melayu, kebebasan murtad, kebebasan golongan gay dan lesbian, menghapuskan undang-undang syariah, kebebasan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam termasuk ajaran sesat syiah dan banyak lagi.
Gerakan Ahzab ini, bergerak secara terancang dan sepakat. Oleh itu, umat Islam, lebih-lebih lagi organisasi Islam, wajib bersepakat dan membentuk satu saf yang kukuh, mempertahankan kedudukan Islam, Melayu dan Raja dalam Perlembagaan negara. Tidak kira apa fahaman politik kita, tidak kira apa warna kulit kita, tidak kira apa persengketaan sesama kita selama ini, kita mesti berada dalam satu benteng mempertahankan kedudukan Islam dalam perundangan negara.
Jika kita enggan bersatu padu, dalam isu pokok ini, maka dibimbangi akan berlaku janji Allah dalam ayat 73 Surah al-Anfal:
¨Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi auliyak (penyokong dan pembela) bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak melakukan (perkara yang sama iaitu saling menjadi auliyak sesama kamu) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.¨
Jelas menurut ayat di atas bahawa orang-orang kafir adalah sekutu bagi orang-orang kafir yang lain. Mereka sekutu sesama mereka. Oleh sebab itu, Allah Taala memerintahkan agar orang-orang mukmin hendaklah bersekutu sesama mereka, bukan dengan orang-orang kafir. Menurut tafsir al-Qurtubi pula, antara yang dimaksudkan dengan fitnah itu ialah berlakunya peperangan serta perkara-perkara yang lazim dengannya seperti pengusiran dan penawanan.
Sayugia kita jadikan Palestin sebagai teladan. Sejarah telah membuktikan betapa negara Palestin terjajah akibat perbuatan sebahagian umat Islam yang membelakangkan kepentingan umat, lalu mereka bertolong bantu dengan penjajah-penjajah kafir British yang membuka laluan kepada penempatan orang-orang Yahudi. Dan yang terkini, tidaklah umat Islam Gaza boleh bertahan di depan serangan dahsyat regim Zionis, melainkan kekuatan persekutuan sesama mereka. Mereka bersatu menghalakan senjata ke arah musuh yang satu, biarpun dalam saf tentera jihad yang pelbagai.
Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman
Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA
Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA
0 Komentar untuk " Bersatu mempertahankan negara Islam "