Altel sasar 100,000 pelanggan aktif - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Altel sasar 100,000 pelanggan aktif

ALTEL Communication Sdn Bhd (Altel)  optimis untuk mencapai sasaran 100,000 pelanggan aktif sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Rizwal Mohd Ain berkata, syarikatnya kini mempunyai 80,000 pelanggan aktif sejak beroperasi hampir sembilan bulan di pasaran.

"Kami yakin untuk menambah 20,000 lagi pelanggan dalam tempoh berapa hari ini berikutan jumlah pelanggan yang berdaftar semakin bertambah sejak awal Jun lalu.

"Dalam sehari kami menerima pendaftaran sehingga 3,000 hingga 4,000 sehari," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Oasis Square, Ara Damansara Kuala Lumpur, kelmarin.

Menurutnya, pertumbuhan mendadak ini didorong oleh sokongan daripada pengguna dan pelbagai pihak.

Katanya, walaupun Altel merupakan satu syarikat baharu, syarikatnya yakin masih ada peluang kepada syarikat baru seperti Altel untuk mendapatkan pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan terbaik, produk yang bersesuaian dan prihatin kepada apa yang diinginkan pelanggan.

Mengulas berhubung aktiviti promosi Altel yang perlahan sebelum ini, Rizwal berkata, pihaknya hanya akan memulakan aktiviti promosi secara lebih agresif dalam tempoh beberapa hari ini menerusi papan tanda, televisyen, radio mahupun media cetak.

"Sebagai syarikat baru, kami perlu membina satu rangkaian yang matang untuk membuat pengiklanan. Setakat ini produk kami masih berada di tahap separuh matang kerana masih ramai yang sukar untuk mendapatkan sim kad kami.

"Tidak guna jika kami membuat pengiklanan tetapi orang tidak dapat membeli produk kami," katanya.

Sebelum ini, Altel menggunakan medium promosi menerusi laman sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook.

"Bagi saya, laman sosial adalah satu medium yang berkesan untuk pemasaran dan ia penting serta perlu diberi keutamaan kerana ia lebih dekat kepada pelanggan," katanya.

Rizwal berkata, sejak jalur lebar 4G LTE dilancarkan 18 Julai lalu, syarikatnya masih tidak mengumpul data jumlah pelanggan 4G sehingga kini. Bagaimanapun, pelanggan sedia ada yang melanggan kepada pelan 1 GB dan 2 GB secara automatik boleh menggunakan 4G dengan menggunakan telefon yang menyokong LTE.

"Ia merupakan satu benda baru dan mempunyai tahap kelajuan yang cepat dan laju. Bagaimanapun, ia bergantung kepada keupayaan telefon yang menyokong kepada LTE," katanya.

Altel adalah unit kepada Puncak Semangat Sdn Bhd (Puncak Semangat), iaitu syarikat pegangan di bawah Al-Bukhary Group yang menumpukan sektor perkhidmatan teknologi maklumat (IT) dan menjadi di antara lapan syarikat yang dianugerahkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menawarkan perkhidmatan jalur lebar 4G iaitu pada kelajuan 100 megabit sesaat.

Altel menerima slot sebanyak 40 MHz, manakala yang lain menerima 20 MHz.

0 Komentar untuk " Altel sasar 100,000 pelanggan aktif "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ