BAGI syarikat Permata Alwahyu Sdn Bhd (Permata Alwahyu) iaitu pengeluar coklat, kek dan biskut tempatan jenama Chacky’s dan Serihalwany, bukan mudah untuk menempa nama sebagai pengeluar produk berasaskan coklat pada masa ini.
Pengarah Urusannya, Siti Zamiah Hasbullah berkata, produk coklat keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera terpaksa bersaing dengan jenama antarabangsa yang sudah popular sejak dahulu.
“Oleh kerana itu kami perlu mencari kelainan dan kami lebih gemar menghasilkan coklat yang menarik perhatian kanak-kanak.
“Selain coklat kami juga turut menghasilkan biskut coklat, kek coklat, ais krim dan gula-gula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, fokus utama syarikat itu buat masa ini ialah untuk menembusi pasaran tempatan bagi coklat, biskut dan kek.
Siti Zamiah berkata, buat masa ini produk Chacky’s dan Serihalwany boleh didapati melalui kedainya di Bentong, Pahang.
“Kami belum memasuki pasar raya tempatan lagi kerana kami baru sahaja memperoleh sijil halal pada Julai tahun lepas.
“Tetapi kami sudah menerima tawaran daripada (dua pasar raya besar) untuk membawa masuk produk kami,” katanya.
Menurut Siti Zamiah, permintaan orang ramai terhadap produknya menunjukkan peningkatan terutamanya selepas menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2014 (Mihas) yang lalu.
“Apa yang saya lihat, ramai orang Islam semakin ambil berat (tentang makanan) dengan membeli produk makanan yang dihasilkan oleh PKS Bumiputera kerana ia dijamin halal.
“Bagi saya tidak menjadi masalah jika mereka mengutamakan produk Bumiputera terutamanya (pengeluar beragama) Islam,” katanya.
0 Komentar untuk " Syarikat coklat Melayu perlu cari kelainan "