STIGMA yang mengatakan bahawa coklat buatan Malaysia kurang enak berbanding produk keluaran dari luar negara adalah antara cabaran yang terpaksa dihadapi syarikat pengeluar Bumiputera untuk bersaing dalam industri tersebut.
Pengarah Momentum Chocolate Sdn Bhd, Salwa Shamshuddin berkata, bukan mudah bagi syarikat pengeluar coklat Melayu untuk bersaing dalam pasaran tempatan dengan lambakan produk bertaraf antarabangsa.
“Coklat jenama antarabangsa menjadi pilihan ramai kerana kita telah dibesarkan dengan coklat seperti itu sejak kecil lagi dan tabiat itu masih berterusan sehingga kini.
“Bagaimanapun trend hari ini telah berubah kerana sudah banyak pengeluar coklat tempatan yang keluarkan coklat berkualiti dan sedap,” katanya ketika diminta mengulas mengenai sambutan pengguna terhadap coklat tempatan keluaran Bumiputera.
Salwa berkata, selain jenama antarabangsa, pengeluar coklat Bumiputera di Malaysia juga terpaksa bersaing dengan banyak syarikat tempatan lain yang sudah lama bertapak dalam industri berasaskan koko itu.
“Pemain utama dalam industri coklat di negara ini kebanyakannya bukan Bumiputera dan mereka sudah lama (dalam industri ini). Kita (syarikat coklat Melayu) juga perlu bersaing dengan mereka,” katanya.
Lebih memburukkan keadaan, kata Salwa, apabila terdapat segelintir peniaga yang mengamalkan konsep kartel (pakatan) dengan menjual produk tertentu di sesetengah kawasan.
“Ini menyebabkan produk keluaran Bumiputera tidak boleh memasuki sesetengah kawasan tertentu kerana di lokasi itu sudah ada kartel masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun, semua itu tidak mematahkan semangat Salwa, sebaliknya syarikat miliknya itu melabur ratusan ribu ringgit untuk pembungkusan coklat dan iklan sebagai tujuan promosi produk.
“Pembungkusan yang menarik sangat penting sebagai tarikan. Pembungkusan coklat keluaran Momentum Chocolate, jika dilihat, ia kelihatan seolah-olah coklat kami ini adalah coklat antarabangsa.
“Namun, bagi syarikat pengeluar coklat Melayu yang mengeluarkan produk kecil-kecilan, mereka tidak mampu untuk bersaing dalam bentuk modal menyebabkan pembungkusan kurang menarik,” katanya.
Menurutnya, Momentum Chocolate amat menitikberatkan penggunaan bahan yang berkualiti walaupun jika hanya menghasilkan coklat biasa.
“Contohnya, untuk pembuatan coklat kompaun, kami gunakan coklat berkualiti yang harganya lebih mahal sedikit supaya orang ramai dapat menikmati coklat yang sedap. Kami juga pastikan semua pembekal (ada sijil) halal dan ada bahagian kawalan kualiti yang jaga kualiti produk keluaran syarikat kami," katanya.
Beliau berkata, Momentum Chocolate kini mengeluarkan pelbagai jenis coklat di bawah jenama Queen’s dan Momentum, iaitu coklat untuk tenaga.
Menurutnya, syarikat itu juga bakal melancarkan produk baharu, dalam tempoh terdekat ini.
Salwa berkata, coklat keluaran syarikat itu dipasarkan di stesen Petronas, gimnasium dan kedai sukan, selain dieksport ke China dan Indonesia.
“Kami kini sedang fokuskan usaha untuk pasarkan semua coklat keluaran Momentum Chocolate di seluruh Malaysia,” katanya.
0 Komentar untuk " Persepsi negatif jejas jualan coklat "