BAGI pengedar coklat premium, Imtiyaz Chocolate House (Imtiyaz) yang diuruskan Ummu Mariam Zulkifli, jualan coklat tidak tetap serta hanya mengikut musim tertentu.
Ini kerana, menurut Ummu Mariam, coklat tidak dilihat sebagai produk tumpuan oleh masyarakat.
“Sebagai usahawan baharu dalam bidang ini, terlalu banyak cabaran yang kami hadapi. Contohnya pembelian coklat Bumiputera kini mendapat sambutan ketika majlis perkahwinan ataupun ketika berlangsungnya sesuatu majlis sahaja,” katanya.
Baru-baru ini, apabila timbulnya keraguan terhadap status halal coklat keluaran antarabangsa, Ummu Mariam berkata, ia tidak memberi kesan besar terhadap jualan coklat tempatan memandangkan orang ramai tidak begitu mengenali produk buatan Malaysia namun beliau berpendapat usahawan Bumiputera boleh mendapat manfaat daripada isu itu.
“Dalam isu ini, sebagai usahawan Bumiputera, kita seharusnya mengambil peluang ini untuk memonopoli pasaran dengan menyediakan alternatif kepada pengguna dalam membeli produk coklat.
“Sebagai sebuah negara yang menghasilkan koko sendiri, kita seharusnya mengambil peluang yang ada untuk memasarkan serta memperkenalkan produk kita di pasaran tempatan,” katanya.
Beliau menegaskan, coklat tempatan mampu menyaingi coklat luar negara dari segi rasa, kualiti dan khasiat.
“Masyarakat tempatan perlu membuka minda untuk memberi peluang kepada produk tempatan dan produk Bumiputera untuk bersaing dengan produk luar negara,” katanya.
Menurutnya, coklat tempatan bukan kurang dipromosikan namun kaedah promosi itu lebih terarah kepada pasaran luar negara.
“Ia dapat dilihat apabila terdapat pelancong asing yang datang ke kedai kami kenal sebahagian produk coklat yang dipamerkan dan memuji kualiti coklat digunakan.
“Namun, harus diakui kurangnya promosi di dalam negara yang mungkin disebabkan permintaan tinggi terhadap coklat import serta penolakan pelanggan ke atas pengeluaran produk tempatan yang baharu dan berbeza di pasaran,” katanya.
Walaupun masih belum mengeluarkan coklat buatan sendiri, Imtiyaz kini memasarkan lebih 200 jenis coklat pelbagai perisa antaranya durian, tiramisu, aprikot, tomato, betik dan mangga yang dijual di kedai terletak di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Ummu Mariam juga tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang menganggap pembungkusan coklat buatan tempatan kurang menarik sehingga tidak dapat menarik perhatian pembeli.
“Rekaan pembungkusan coklat keluaran pengusaha Melayu amat menarik, bahkan ada yang setanding dengan pembungkusan produk luar negara," katanya.
Selain memasarkan coklat keluaran Bumiputera, Imtiyaz turut menyediakan khidmat pembekalan cenderahati coklat untuk semua acara.
0 Komentar untuk " Jualan tidak tetap, ikut musim "