Minda tuan tanah – Shahril Atiqi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Minda tuan tanah – Shahril Atiqi




Memiliki sebidang tanah tidak menjamin apa-apa kekayaan melainkan bersama pemilikan itu ada jiwa yang sedia menjadi Tuan Tanah. Seorang yang miskin bisa kekal papa dengan tanahnya jika tiada pada dirinya keinginan dan usaha untuk melombong segala kekayaan di tanahnya. Dan tidaklah pula kekayaan itu akan kekal bersamanya jika ia tidak punya cita-cita dan matlamat untuk mewariskannya kepada generasi seterusnya kemewahan yang dikecapi itu.
Tidak sekadar menggali kekayaan, ia akan mengembangkan dan mewariskan agar tidak lagi pewarisnya papa dan mengais mencari rezeki.
Dasar pandang ke timur suatu masa dahulu mempunyai banyak mesej mendalam. Namun, sudut pandang kita terhad hanya pada zahir negara Jepun dan Korea Selatan. Kita gagal mengambil iktibar daripada sikap tuan tanah mereka. Pengalaman saya ke Jepun dan Korea antara 2012 – 2014 mengajar saya beberapa sikap yang amat mendalam dan kuat pada mereka.
1. Kecintaan pada budaya dan identiti mereka yang telah membentuk jati diri mereka.
2. Kecintaan dan rasa terikat (affection) pada tanah air mereka sehingga membuatkan mereka sanggup berkorban tidak menikmati kekayaan yang sedikit demi kemajuan negara, untuk generasi seterusnya.
3. Rasa tinggi dengan kedudukannya sebagai pemilik dan penjaga tanah air. Pelawat serta sesiapa sahaja yang hadir perlulah menghormati budaya setempat.
Sikap-sikap ini hendaklah kita sebagai orang Melayu Islam terapkan dalam mentaliti kita dengan objektif yang positif dan progresif. Sebagai tuan tanah yang telah mempertahankan tanah ini daripada penjajahan sejak sekian lama, wajarlah kita memiliki sifat yang serupa sebagaimana orang timur telah melakukannya. Dengan kecintaan mendalam dan keterikatan yang utuh dengan tanah air ini.
Kita bukanlah orang bodoh dan malas seperti tuduhan sesetengah pihak yang berniat menjatuhkan moral dan kredibiliti orang Melayu Islam. Propaganda ini telah dijalankan sekian lama, selama propaganda Yahudi bahawa dunia zalim terhadap mereka sedangkan merekalah guru kepada para penzalim. Orang timur adalah pembangun benua timur sebagai mana orang barat adalah pembangun benua barat. Begitulah orang Melayu adalah pembangun Nusantara dan Islam kekal pada kedudukannya sebagai pembangun tamadun manusia seluruh dunia. Ia bukanlah perkara yang mustahil, kerana Jepun telah membangun negaranya dengan identiti Jepun, China dengan identiti China, Korea Selatan dengan identitinya. Justeru mengapa tidak Nusantara dengan identiti Melayu Islamnya?
Sudah cukup lama kita dimamah rasa tamak diri sendiri. Kita juga sudah terlalu lemah dek dengki dan kesumat sesama sendiri. Ia adalah penyakit yang mematikan. Penyakit yang telah membenam cita-cita pembangunan negara dan bangsa serta penegakan agama. Pengalaman sesetengah kita berhadapan individu yang inginkan kekayaan lebih daripada pembangunan bermakna (meaningful progress) pastinya telah meremukkan jiwa perjuangan kita. Seperti ketua yang sanggup menang jadi arang kalah jadi abu, menghentikan projek-projek bertaraf dunia hanya kerana ia tidak mendapat ‘bahagian’nya atau ‘bos’ yang sanggup mematikan anak buahnya hanya kerana daya kritis dan kreatifnya sedikit ke hadapan berbanding dirinya. Inilah antara penyakit yang telah mematikan kita. Sudah sampai masanya kita ketepikan golongan naf’ie (mencari manfaat sendiri) ini daripada barisan kepemimpinan dan menggantikan dengan golongan yang cinta dan sayangkan tanah air dan generasinya untuk maju ke hadapan, ikhlas sebagai ibadah kepada Allah.
Bahkan kita juga telah lama dimamah rasa rendah diri, ketundukan yang berlebihan kepada golongan yang singgah ke tanah air ini. Baik barat mahupun timur, kita terpana di bawah kilauan material mereka sedangkan hakikatnya ia hanya singgah menjarah hasil tanah ini. Sedangkan kitalah tuan tanah dan tidaklah lebih dari ia, hanya menyewa. Kita yang akan tinggalkan tanah ini kepada generasi seterusnya, mengapa mereka yang diberi segalanya? Ke mana perginya kejantanan sang tuan tanah mengingatkan kepada si penyewa? Jangan kerana sewa bulanannya menyebabkan kita menikus hingga ia menjadi tuan, kita menjadi peraih simpati. Itu bacul namanya.
Sesungguhnya bukanlah seruan ini untuk kita menzalimi orang yang menunaikan hak negara ini dengan sempurna. Tetapi ia adalah seruan untuk tuan tanah mempunyai mentaliti sebagai tuan tanah. Dengan penuh tanggungjawab dan objektif pembangunan negara yang jelas serta kesediaan untuk berkorban demi mengangkat martabat dan kedudukan negara ini di mata dunia, pada tempatnya. Tiada lagi persetan yang pentingkan diri dan murai bacul mencanang itu dan ini daripada para penyinggah, hanya untuk meraih keuntungan dirinya.
Inilah generasi tuan tanah yang ingin kita bentuk. Yang tidak segan bertutur bahasanya di hadapan kuasa dunia, tidak takut menuntut demi kedaulatan negaranya dan tidak lokek untuk pembangunan rakyatnya. Generasi tegap, objektif, progresif, tidak bacul dan ‘izzah dengan jati dirinya sebagai muslim, dari rumpun Melayu.
Shahril Atiqi Sharip
Aktivis ISMA
Seorang jurutera di sebuah MNC dan juga aktivis I-Engineer (sebuah pertubuhan jurutera-jurutera ISMA). Minat membaca dan menulis.
http://www.ismaweb.net/2014/06/minda-tuan-tanah-shahril-atiqi/
0 Komentar untuk " Minda tuan tanah – Shahril Atiqi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ