Lama saya tidak menulis tentang Isma. Kali terakhir rasanya sebelum PRU13, mengulas berkenaan penyertaan Isma dalam PRU atas tiket Berjasa.
Selepas PRU, saya lebih suka memerhatikan sahaja Isma daripada mengulas.
Cuma, sejak akhir-akhir ini, ada beberapa tindak-tanduk Isma yang saya rasa perlu ditegur sedikit.
Pertama sekali saya ingin tegaskan adalah saya tidak menolak peranan Isma dalam usaha dakwah di kalangan umat Islam di Malaysia.
Peranan Isma sama sekali saya tidak nafikan. Ramai di kalangan sahabat saya merupakan ahli Isma yang sangat baik akhlak mereka dan tinggi usaha yang mereka jalankan dalam dakwah.
Selain dalam dakwah, peranan NGO Islam seperti Isma juga diharapkan dapat memberikan pandangan dan kritikan membina kepada para pemain politik dalam negara kita.
Bagi saya, kuasa yang ada di pihak kerajaan dan pembangkang di negara kita masih tidak dapat diharapkan untuk melaksanakan sistem 'check and balance' sepenuhnya.
Ini adalah kerana, politik Malaysia masih berpegang dengan pendirian 'aku adalah benar, engkau adalah salah'.
Baik kerajaan atau pembangkang. Pertimbangan kebenaran bukan terletak pada suatu prinsip yang nyata, tetapi pada kumpulan yang disertai.
Oleh itu, peranan NGO yang menegur sebagai orang yang tiada kepentingan dalam kedua-dua pihak yang berpolitik, amat penting agar perjalanan politik negara kita lebih stabil dan seimbang.
Tetapi, saya melihat tindak tanduk Isma akhir-akhir ini agak tidak bijak dalam menangani sesuatu isu.
Isma kini lebih mengambil pendekatan menyerang dan mengecam pihak yang tidak dipersetujuinya, lebih memburukkan keadaan kecaman itu dilemparkan bukan di meja rundingan, tetapi dalam media.
Saya tidak merasakan tindakan sebegini akan membuahkan hasil. Jika Isma bermatlamat untuk menjaga hak keistimewaan Islam dan orang Melayu, saya tidak fikir matlamat itu akan tercapai dengan cara begini.
Cara yang dilakukan sekarang bukan sahaja tidak membantu Isma menjayakan agendanya, malah semakin menimbulkan polemik.
Ia bukan jalan menyelesaikan masalah, tetapi jalan mencari gaduh yang pastinya tidak akan selesai walaupun Isma menang dalam pergaduhan itu.
Selesaikah masalah jika orang Melayu berjaya mempertahankan haknya, dalam masa yang sama orang bukan Melayu dipandang sebagai sentiasa beragenda untuk menjatuhkan Melayu?
Selesaikah masalah jika Melayu mendapat haknya dalam keadaan orang bukan Melayu dipandang penceroboh?
Saya bersetuju bahawa hak keistimewaan Islam dan Melayu perlu dipertahankan. Ramai politikus Melayu, ahli akademik, penganalisis politik dan pastinya sebahagian besar masyarakat Melayu juga bersetuju dengan perkara ini. Kita sepakat dalam isu ini.
Apa yang berbeza sekarang adalah cara memperjuangkannya. Bagaimana isu ini boleh diperjuangkan dan dalam masa yang sama, keharmonian pelbagai kaum dan agama di Malaysia dapat dipertahankan.
Fokus kritikan Isma sekarang adalah DAP. Saya bersetuju bahawa DAP juga layak dikritik seperti MCA dan Gerakan.
Bagi Isma, DAP mempunyai pembawaan politik yang boleh mengikis hak keistimewaan orang Melayu dan Islam. Bagi saya, tiada masalah dengan rasa tidak setuju ini.
Cuma, mari kita bandingkan bagaimana cara DAP dan Isma berkerja. DAP berkerja dengan cara politik. Mereka menyertai pilihan raya sejak sekian lama, dan mutakhir ini DAP mencapai puncak kegemilangannya apabila menguasai Pulau Pinang, dan mendapat kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti dalam Pakatan Rakyat yang lain.
DAP melaksanakan matlamatnya mengikut ruang dan lunas yang dibenarkan perlembagaan.
Mereka ada kumpulan pengkaji mereka, mereka organisasi yang mantap untuk melaksanakan kerja mereka.
Kemudian, mereka menggunakan platform yang mereka ada untuk menterjemahkan hasil kerja mereka untuk mencapai matlamat mereka.
Oleh itu, adakah cukup dan berkesan jika Isma ingin berhadapan dengan mereka dengan cara serang dan kecaman media?
Saya ingin memberitahu Isma bahawa kebanyakan masyarakat terutama anak muda celik politik berasa amat mual dengan cara yang dilakukan Isma sekarang.
Isma perlu menukar cara mereka agar lebih membumi dan menjengah realiti. Zaman sekarang bukan zaman perjuangan menentang Malay Union di mana masyarakat akan terkesima dengan laungan emosi yang menggegar.
Di sini saya ada beberapa cadangan buat Isma :
1. Langkah terawal yang Isma perlu lakukan adalah tidak memukul rata bahawa semua orang bukan Melayu terutamanya Cina dan India, mempunyai agenda untuk menindas orang Melayu. Saya akui setiap bangsa ada pelampaunya, tetapi mereka tidak mewakili keseluruhan kelompok mereka. Sebahagian besar daripada rakyat Malaysia baik Melayu, Cina dan India adalah mereka yang cintakan negara dan keharmonian kaum.
2. Untuk langkah seterusnya, saya cadangkan Isma mengadakan pertemuan muhibbah dengan pimpinan DAP. Dalam pertemuan tersebut, Isma nyatakan apa fokus perjuangan Isma dan bertanyakan pula apa fokus perjuangan DAP. Daripada situ, Isma akan jelas apa sebenarnya perjuangan DAP, dan sebaliknya juga buat DAP.
3. Jika ada berlaku pertentangan, Isma boleh nyatakan pendirian mereka dengan tegas. Di sini, DAP akan lebih menghormati Isma apabila menyatakan pendirian mereka yang bertentangan dengan DAP secara berhadapan, bukan di media semata-mata.
4. Setelah itu, Isma boleh menubuhkan satu pasukan pemerhati, bertujuan untuk menjadi penilai akan segala tindak tanduk yang DAP lakukan dalam politik baik peringkat nasional, mahupun negeri.
5. Jika ada sebarang kebejatan dalam tindak-tanduk DAP, yang Isma rasakan melanggar mana-mana peruntukan perlembagaan berkenaan hak Melayu dan Islam, atau apa jua kebejatan, Isma boleh fokuskan untuk memberikan teguran dan kritikan.
6. Kritikan boleh dibuat samada melalui pertemuan atau di media. Jika bertanya kepada saya, saya lebih anjurkan kritikan melalui pertemuan terlebih dahulu. Andai kebejatan itu memang berlaku dan DAP tidak bertindak ke atas kritikan yang dibuat, maka Isma boleh menghebahkan kepada media.
7. Untuk pendirian DAP yang bagi Isma memang tiada titik pertemuan seperti isu hudud contohnya, Isma boleh menyatakan ketidaksetujuan mereka secara terbuka, tetapi pastikan cara yang digunakan adalah bijak dan profesional. Hujah lawan hujah, jauhkan daripada emosi dan kebencian.
8. Apabila tiba waktu pilihan raya, Isma bebas untuk menyatakan pendirian mereka terhadap DAP. Isma boleh membentang hasil kajian dan penelitian yang mereka lakukan terhadap DAP, yang boleh dijadikan asas akan pendirian mereka terhadap DAP.
Jika Isma lakukan seperti ini, saya rasa Isma akan dihormati dan lebih difahami oleh masyarakat.
Tindakan yang dilakukan Isma akan berlandaskan penelitian yang tepat, tindakan yang tersusun, dan juga mengikut jalan toleransi yang terpuji.
Segala tindak-tanduk Isma akan lebih mencecah realiti. Tegas dalam hikmah. DAP juga akan lebih berhati-hati dalam tindakan mereka kerana Isma akan sentiasa memantau mereka dengan cara yang profesional.
Jika Isma berhadapan dengan seterunya dengan cara yang tepat, Isma pastinya akan berjaya mempertahankan agenda dan matlamat mereka dalam keharmonian.
Kata-kata perkauman yang menyakitkan hati akan digantikan dengan kata-kata tegas penuh hikmah dan berstrategi. Bukankah ini lebih baik dan dituntut oleh Islam?
Saya sangat-sangat berharap Isma hentikan cara mereka sekarang iaitu mengecam dan menyerang pihak yang mereka tidak setuju secara rambang tanpa hujah-hujah yang menggegar dan tindakan yang tersusun.
Kerja menyerang ini semua sudah lama dilakukan oleh Umno dan Perkasa. Jangan sesekali Isma turut sama dan melengkapkan trio mereka.
Isma perlu ingat, dalam usaha kita menyampaikan kebenaran, cara yang salah boleh mengubahnya kepada kebatilan.
Isma perlu mengambil kira kritikan masyarakat terhadap cara pembawaan mereka sekarang.
Tidak salah jika kita sesekali berhenti dan memeriksa langkah kita. Jika sumbang, perbetulkan. Jika sudah langkah sudah betul tetapi jalan pula salah, patah semula dan cari jalan yang betul.
Bawalah nama Islam yang ada pada nama Isma dengan baik, agar nama Islam terus terpelihara dari sudut matlamatnya, juga caranya. – 7 Jun, 2014.
* Penulis ialah pelajar tahun akhir Fakulti Usuluddin (Tafsir), Universiti Al Azhar Kaherah.
0 Komentar untuk " Sedikit nasihat buat Isma – Mohd Azrul Azuan Idris "