BAGI memberikan kesedaran terhadap penggunaan kenderaan elektrik dalam kalangan pengguna di negara ini, kerajaan dicadangkan untuk memberikan semula insentif kepada kenderaan cekap tenaga yang dimansuhkan baru-baru ini.

Pakar Geostrategis Institut Geospastial di Universiti Teknologi Malaysia Dr Azmi Hassan berkata, kerajaan perlu memberikan potongan cukai kepada kenderaan elektrik (EV) kerana harganya yang mahal.

Azmi juga berkata, penggunaan EV masih belum menarik perhatian pengguna kerana teknologinya masih belum matang.  “Sebagai contoh, sistem pengecas bateri di negara ini masih kurang dan salah satu langkah yang perlu dimulakan dahulu adalah membina lebih banyak stesen pengecas,“ katanya.

Oleh itu, katanya, usaha membangunkan infrastruktur EV di negara ini perlu dipergiat lagi bagi menyokong perkembangan industri tersebut.

Ditanya berhubung kesesuaian dasar negara yang menggalakkan penggunaan EV, Azmi berkata, walaupun minyak fosil di Malaysia masih dijual pada harga murah, senario itu akan berubah pada masa depan apabila sumber fosil di bumi semakin berkurangan.

"Buat masa ini, bekalan elektrik sedia ada mencukupi kerana permintaan agak rendah tetapi apabila kenderaan elektrik menjadi murah nanti, sudah pasti permintaan untuk elektrik juga akan melonjak dan akan timbul masalah memenuhi permintaan itu," katanya.

Azmi juga berpendapat jika rakyat di negara ini mula menggunakan kenderaan elektrik yang perlu dicaj setiap hari, kadar penggunaan elektrik akan meningkat beberapa kali ganda untuk setiap isi rumah.

“Dalam keadaan sekarang iaitu elektrik di Malaysia dihasilkan melalui penggunaan minyak fosil, penggunaan kenderaan elektrik tidak efektif kerana kos yang tinggi untuk menghasilkan elektrik.

"Jadi perlu ada dasar supaya jumlah kenderaan elektrik (yang dikeluarkan) mesti selari dengan kemampuan pengeluaran elektrik negara," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/teknologi-ev-belum-matang-1.270341