RAKYAT Malaysia pada masa ini masih tidak bersedia untuk menggunakan kenderaan elektrik (EV).

Pakar Perunding Kejuruteraan Kimia Universiti Malaya Dr Ishenny Mohd Noor berkata, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, tidak semua rakyat mampu untuk membeli kenderaan jenis itu.

“Semua orang ingin membeli kenderaan yang mampu dibiayai dan dapat diselenggarakan dengan mudah dan murah bagi menjimatkan wang untuk menampung perbelanjaan harian.

“Harga EV adalah dua atau tiga kali ganda lebih mahal daripada kenderaan petrol.

"Bukan itu sahaja, dari segi penyelenggaraan selepas membeli juga agak mahal,“ katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Namun, beliau berkata, jika trend penggunaan kenderaan itu meningkat dan taraf hidup rakyat semakin baik, EV adalah kenderaan yang relevan untuk digunakan.

Menurutnya, penggunaan EV adalah sesuai untuk membantu menjaga alam sekitar kerana EV adalah kenderaan yang menggunakan 100 peratus tenaga bateri dan penggunaannya tidak melibatkan sebarang pelepasan bahan yang boleh menyebabkan pencemaran udara.

Katanya, jika mengikut definisinya, sebarang teknologi perlulah mempunyai ciri-ciri seperti mudah, murah, boleh digunakan secara berterusan dan mesra pengguna.

"Namun, bagi teknologi EV ini, kecuali dapat membantu mengurangkan pencemaran udara, belum ada ciri-ciri teknologi lain yang ada padanya untuk memberikan kemudahan kepada pengguna.

"Kenderaan elektrik perlu mematuhi definisi teknologi itu sendiri dahulu untuk menarik lebih ramai orang menggunakannya pada masa akan datang," katanya.

Mengulas berhubung perbezaan penjimatan tenaga petrol dan elektrik, beliau berkata kenderaan EV lebih murah apabila dilihat dari segi kos mengecas berbanding penggunaan petrol terutama sejak pengurangan subsidi minyak di negara ini, tahun lalu.

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/rakyat-belum-bersedia-guna-ev-1.270343