HASIL penyelidikan terbaharu daripada penyedia ruang kerja fleksibel, Regus, mendapati 59 peratus daripada perniagaan di Malaysia merasakan waktu bekerja fleksibel merupakan kunci yang mendorong inovasi dalam kalangan pekerja.

Regus dalam satu kenyataan berkata, penyelidikan terbaharu itu mendapatkan pandangan daripada lebih 19,000 pegawai kanan dan pemilik perniagaan di 98 negara.

Pengurus Negara Regus Vijayakumar Tangarasan berkata, dengan perniagaan kecil menyumbang lebih 90 peratus daripada perniagaan dan lebih tiga perlima daripada pekerjaan di kebanyakan negara, ia adalah bukti mengapa keusahawanan perlu dipupuk dan dibimbing.

“Bagaimanapun, perniagaan sedar akan dorongan inovatif usahawan yang kukuh dan menyasar untuk merangsang keusahawanan dalam kalangan kakitangan mereka sendiri.

“Waktu bekerja yang fleksibel bukan sahaja memenuhi permintaan pekerja bagi kerja yang lebih baik dengan membenarkan mereka bekerja mengikut waktu mereka sendiri dari lokasi berbeza tetapi juga membantu pekerja bergaul dengan pekerja daripada firma dan fungsi
berbeza dan meluaskan pandangan dan pengalaman mereka,” katanya.

Menurutnya, fleksibiliti dan pempelbagaian boleh membantu pekerja berfikir di luar kotak dan mencipta inovasi. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/waktu-kerja-fleksibel-dorong-inovasi-1.270500