SELAIN membantu meningkatkan daya saing industri automotif di peringkat tempatan dan antarabangsa, Dasar Automotif Nasional 2014 (DAN 2014) yang diumumkan awal tahun ini berperanan menjadikan Malaysia hab kenderaan cekap tenaga (EEV) serantau, sekali gus menerokai bidang pengeluaran EEV yang masih asing di negara ini.

Bagaimanapun, usaha membangunkan infrastruktur EEV di negara ini perlu dipergiat bagi menyokong pelaksanaan dan perkembangan industri itu.

Persoalannya, bersediakah rakyat di negara kita untuk menggunakan kenderaan elektrik (EV)?

Mampukah rakyat membeli kenderaan elektrik yang dilihat agak mahal jika dibandingkan dengan kenderaan yang menggunakan petrol?

Ditambah pula dengan kenaikan tarif elektrik baru-baru ini, orang ramai terus beranggapan bahawa penggunaan EV akan hanya melibatkan kos yang lebih tinggi.

Persepsi ini menyebabkan manfaat sebenar EV sebagai kenderaan sifar pencemaran udara tidak dapat difahami dengan baik.


Persepsi perlu diubah

Persepsi orang ramai terhadap kenderaan elektrik yang dianggap sebagai kereta mewah perlu diubah kerana EV bukanlah kenderaan yang boleh dikategorikan sebagai kenderaan mewah.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Mohamad Madani Sahari berkata, ada segelintir pengeluar kenderaan elektrik mempromosikan EV dengan mengelaskannya sebagai kenderaan mahal.

"Itu adalah satu kesilapan besar, sepatutnya mereka memberi kesedaran mengenai EV dari segi kelajuan, kuasa, kesan positif kepada persekitaran atau mencari jalan supaya orang tahu yang menggunakan EV menyumbang kepada alam sekitar," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurutnya, EV adalah kenderaan alternatif yang sesuai digunakan untuk aktiviti harian seperti pergi dan balik ke tempat kerja, atau lebih sesuai dijadikan sebagai kenderaan kedua.

Katanya, adalah penting untuk memberikan pengetahuan kepada orang ramai dari semasa ke semasa supaya mereka dapat melihat hubungan relevan antara penggunaan kenderaan elektrik dengan keadaan semasa negara.

Mengulas berhubung jumlah stesen pengecas kenderaan elektrik yang akan ditempatkan di seluruh negara, Mohamad Madani berkata, MAI yang merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan untuk pembangunan industri EV.

Menurutnya, syarikat berkenaan akan menyediakan kenderaan elektrik pelbagai jenama untuk disewakan kepada orang ramai.

Pada masa yang sama, syarikat itu juga akan menyediakan infrastruktur untuk stesen pengecas di seluruh negara.

"Apa yang kita ada sekarang ini adalah pengecas perlahan dan kami ingin menambah baik pengecas kepada yang lebih pantas.

"Stesen pengecas itu boleh digunakan oleh semua jenis kenderaan elektrik dan ia dijangka akan dilancarkan pada tahun ini," katanya.

Mohamad Madani berkata, banyak langkah yang telah dilakukan ke arah membawa kesedaran kepada kenderaan elektrik dan semua inisiatif itu masih berjalan.

"Kita perlu menunjukkan orang ramai produk itu sendiri di depan mata, baru orang akan percaya," katanya.


Bateri CKD bantu turun harga EV

Dalam pembuatan EV, elemen yang perlu dititikberatkan ialah bateri kerana harga bateri meliputi 30 peratus daripada harga asal kenderaan elektrik.

"Jadi antara cara untuk menurunkan harga kenderaan elektrik adalah dengan membuat pengeluaran bateri secara pemasangan tempatan (CKD).

"Sebab itu baru-baru ini, MAI menjalin kerjasama dengan syarikat dari Australia iaitu AutoCRC Ltd dan Swinburne University of Technology untuk mengeluarkan bateri litium ion," katanya.

Menurutnya, prototaip pertama bateri itu akan dikeluarkan pada suku pertama tahun depan, sekali gus menjadi bateri pertama buatan Malaysia.

Katanya, pengeluaran bateri CKD itu akan membantu menurunkan harga kenderaan elektrik kepada RM85,000 hingga RM90,000 seunit.

Mohamad Madani berkata, pihaknya dengan kerjasama syarikat pengeluar kenderaan tempatan juga merancang untuk mengeluarkan kenderaan elektrik selepas pengeluaran bateri itu pada 2016 selain bakal mencipta dan menyesuaikan saiz bateri supaya lebih kecil dan ia boleh digunakan dengan lebih efisien.

Mengulas berhubung tanggapan segelintir orang bahawa kos penyelenggaraan EV adalah tinggi, Mohamad Madani berkata, EV menggunakan bateri litium ion yang akan bertahan selama 10 tahun, berbeza dengan bateri kereta sedia ada.


Rebat dan insentif

Sementara itu, Mohamad Madani juga berkata, kerajaan perlu memberikan insentif kepada individu yang membeli kenderaan elektrik.

"Sebenarnya (insentif) itu perlu, cuma kita tidak minta lagi (daripada kerajaan) sebab kereta itu tidak ada lagi.

"Bila kereta sudah ada kami mahu mengesyorkan supaya sesiapa yang membeli kereta elektrik mendapat rebat atau pengecualian cukai pendapatan," katanya.

Mengulas berhubung kesediaan Malaysia untuk EV, Mohamad Madani berkata, pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 2,000 kenderaan elektrik akan dijual pada 2016 di negara ini dan berharap ia akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Harga yang akan ditawarkan dijangkakan sekitar RM90,000 (seunit) apabila bateri buatan tempatan dihasilkan,” katanya.

Mohamad Madani berkata, dari segi kos penyelenggaraan, EV adalah lebih murah berbanding kenderaan petrol.

"EV tidak ada minyak hitam, minyak transmisi. Yang mungkin orang fikir adalah bateri, (tetapi) bateri bukan ditukar setiap tiga tahun sekali sebaliknya 10 tahun sekali," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/kenderaan-elektrik-adakah-sesuai-di-malaysia-1.270332