GESAAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek supaya syarikat telekomunikasi di negara ini menurunkan caj penggunaan telefon ialah kenyataan yang menarik perhatian, terutama apabila beliau menyebut syarikat-syarikat gergasi ini ‘untung besar’.
Ahmad Shabery mempersoal keuntungan besar diumumkan syarikat telekomunikasi, dan mengingatkan mereka patut menjalankan tanggungjawab sosial lebih besar dengan mengurangkan kos penggunaan telefon kerana lesen mereka diberikan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
“Saya seru supaya mereka ini cuba duduk dan berfikir, bagaimana dapat kurangkan kos penggunaan berkaitan telefon (perbualan dan SMS) yang ada. Dulu mahal, kini patut makin murah.
“Sepatutnya ada tanggungjawab sosial korporat lebih besar (kepada masyarakat) selain membina menara komunikasi di luar bandar, pada masa sama mereka mesti umumkan pengurangan kos,” katanya, Februari lalu seperti dilaporkan Bernama.
Berapa besar keuntungan syarikat telekomunikasi seperti dimaksudkan Ahmad Shabery?
Memang besar, jika mengambil contoh tiga syarikat telekomunikasi negara iaitu Maxis Bhd, Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Digi.com Bhd (Digi).
Untuk tahun kewangan berakhir 2013, Maxis mencatat untung selepas cukai RM2.1 bilion, Celcom RM2.4 bilion dan Digi RM1.7 bilion.
Ketiga-tiga syarikat ini secara purata mengenakan caj panggilan suara 15 sen seminit dan 5 sen bagi setiap SMS.
Celcom menjelaskan syarikat itu sentiasa menawarkan pelan telekomunikasi pada harga terendah kepada pelanggannya terutama melalui pelan prabayar.
Ketua Pegawai Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin sebelum ini berkata, Celcom sentiasa prihatin terhadap isu semasa terutama membabitkan kenaikan kos sara hidup.
Katanya, menerusi pelbagai pakej prabayar, Celcom adalah syarikat telekomunikasi yang menawarkan pelan prabayar termurah berbanding syarikat telekomunikasi lain.
Usaha mendapatkan maklum balas daripada Maxis dan Digi berhubung isu ini tidak berjaya setakat ini.
0 Komentar untuk " Syarikat telekomunikasi untung terlalu banyak? "