MACHANG - Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menasihatkan orang ramai agar memanfaatkan sepenuhnya institusi masjid dan surau dengan pelbagai aktiviti yang boleh menyumbang kepada pembangunan Islam serta tidak terhad kepada solat berjemaah semata-mata.

Mohd Amar berkata, program mengimarahkan masjid dan surau hendaklah ditingkatkan dari semasa ke semasa terutamanya membabitkan penduduk setempat termasuk golongan wanita dan generasi muda.

Menurutnya, selain solat berjemaah, pengurusan masjid dan surau boleh mengadakan aktiviti yang dapat menarik lebih ramai masyarakat setempat mengunjungi rumah ALLAH itu.

"Jangan hanya bina surau atau masjid yang cantik dan gah, namun tidak ramai mengunjunginya malah sunyi sepi sekalipun pada waktu solat.

"Pengurusan masjid dan surau mesti memastikan rumah ALLAH sentiasa bersih dan sempurna, bukan sahaja kepada kariah atau jemaah setempat, malah untuk pengunjung lain," katanya ketika merasmikan Masjid Tok Ayah Kob di Kampung Air Belaga, dekat Banggol Judah, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Adun Kemuning, Mohd Roseli Ismail.

Masjid yang dibina atas sumbangan seorang penderma itu mula digunakan sejak Februari lalu dan mampu menempatkan sehingga 150 jemaah dalam satu-satu masa.
Sementara itu, cucu kepada pengasas masjid berkenaan, Nordin Mamat mewakili penduduk mengucapkan terima kasih kepada penderma berkenaan kerana membantu menaik taraf madrasah lama dibina datuknya kepada sebuah masjid.

Katanya, masjid baharu itu menyediakan ruang selesa untuk solat dan aktiviti bagi penduduk sekitar yang menggunakan institusi berkenaan setiap hari.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/manfaatkan-institusi-masjid-surau-1.274570