PENGGUNA disaran turut peka terhadap segala urusan pembelian pelan mahupun pakej di mana-mana syarikat telekomunikasi supaya lebih memahami kontraknya.
Ketua Bahagian Aduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Ravinder Singh berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada pelanggan berhubung ejen syarikat telekomunikasi yang tidak memberikan penerangan terperinci kepada pengguna.
“Kami juga menerima aduan ejen syarikat yang menjual produk dengan tidak memberikan maklumat secara tulus seperti apabila membeli pelan internet, tidak ada liputan dan seumpamanya.
“Oleh itu, pengguna perlu lebih tahu dan peka kepada sebarang pembelian pakej dan pelan agar tidak tertipu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, bagi menangani masalah itu, syarikat telekomunikasi perlu lebih tegas kepada ejen penjualnya dan terus meningkatkan perkhidmatan sejajar dengan pendapatan atau keuntungan diperoleh.
Selain itu, katanya, CAP juga menerima pelbagai aduan lain berhubung syarikat telekomunikasi dan antara yang paling banyak ialah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak ditempah dihantar oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna, bil pembayaran yang mahal termasuk caj tersembunyi dan kadar perantauan yang mahal.
Mengulas berhubung saranan kepada syarikat telekomunikasi, Ravinder berkata, syarikat telekomunikasi itu sendiri perlu mengambil tahu semua aduan pengguna yang diterima dan membuat tindakan ke atas aduan itu.
Katanya, setiap tahun CAP akan menerima purata 200 aduan berhubung syarikat telekomunikasi daripada pengguna di seluruh negara.
“Aduan itu kami akan sampaikan kepada syarikat telekomunikasi dan jika tiada sebarang tindakan, ia akan diberikan kepada Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.
0 Komentar untuk " Pengguna juga perlu peka "