PEMBORONG dan pemilik rangkaian gedung fabrik jenama Takzims, Takzim Textile Sdn Bhd (Takzim Textile) memperkenalkan konsep kedai terbaharu Grande Takzims dalam usaha membantu pereka dan vendor tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Shariff Irfan Shamsudeen berkata, kedai Grande Takzims tersebut akan menyediakan ruang khas bagi vendor tempatan yang berniaga secara dalam talian (online) untuk memasarkan produk mereka.
“Buat masa ini kami mempunyai satu cawangan Grande Takzims di Seksyen 7, Shah Alam dan kami menyasarkan akan membuka 10 lagi cawangan menjelang Mac 2015, menjadikan kesemuanya 11 cawangan.
“Cawangan kedua akan dibuka minggu hadapan di Arau, Perlis dan diikuti pembukaan cawangan ketiga pada Mei akan datang di Jengka, Pahang,” katanya ketika ditemui selepas majlis prapelancaran koleksi Cerita Raya dan rangkaian Grande Takzims di Shah Alam, baru-baru ini.
Mohd Shariff juga berkata, selain pembukaan kedai Grande Takzims, Takzim Textile juga merancang untuk membuka Grande Takzims Mall di Bangi dan Shah Alam menjelang 2016 dengan pelaburan sebanyak RM3 juta hingga RM4 juta yang mampu menempatkan lebih 150 vendor di dalamnya.
“Bagi pelaburan pembukaan kedai konsep Grande Takzims pula kami melabur sebanyak RM300,000 hingga RM400,000 untuk setiap kedai dengan maksimum vendor yang boleh ditempatkan sebanyak 25 hingga 30 vendor di setiap kedai.
“Bagi vendor yang berminat mereka perlu mempunyai label sendiri dan berupaya menyediakan stok untuk tempoh enam bulan dan mempunyai pengikut di laman sosial Instagram sekurang-kurangnya 2,000 orang,” katanya.
Kedai Grande Takzims mempamerkan pelbagai barangan buatan peniaga dalam talian seperti tudung, biskut, kasut dan produk lain di dalam satu kedai dengan harga yang ditawarkan di bawah RM100 dan menyasarkan golongan muda dan pelajar institut pengajian tinggi sebagai pembeli.
0 Komentar untuk " Kedai Grande Takzims bantu peniaga online "