PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) akan memperuntukkan RM500 juta perbelanjaan modal bagi perniagaan domestik dalam mengukuhkan empat teras perniagaannya tahun ini.
Pengerusi PDB Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, PDB akan terus memperuntukkan perbelanjaan modal yang mencukupi dalam mengukuhkan empat teras perniagaan utamanya iaitu peruncitan, komersil, gas petroleum cecair (LPG) dan pelincir.
“Jumlah RM500 juta tersebut akan dibelanjakan untuk menambah rangkaian peruncitan, stesen minyak antara 40 hingga 50 stesen, automasi di terminal dan depoh LPG serta menambah baik sistem teknologi maklumat kami.
"Selain itu, kami turut memperuntukkan RM200 juta perbelanjaan modal bagi anak syarikat antarabangsa PDB untuk tempoh dua hingga tiga tahun bagi syarikat kami di Filipina, Vietnam dan Thailand," katanya selepas sidang media Mesyuarat Agung Tahunan PDB ke-32 di Kuala Lumpur, semalam.
Wan Zulkiflee turut yakin perniagaan peruncitan dan komersil akan kekal menjadi penyumbang utama kepada perolehan PDB tahun ini serta menjadi penggerak kepada pertumbuhan PDB untuk tahun-tahun akan datang.
0 Komentar untuk " Petronas Dagangan peruntuk modal RM500j "