Isu
riba’ merupakan isu yang penting dalam kehidupan seharian bagi seorang
Muslim. Ia mungkin sudah difahami oleh sebahagian Muslim, tapi tidak
dihayati untuk meninggalkannya. Riba’ merupakan suatu larangan yang
bersifat mutlak oleh Allah SWT.
D) Lebih berat Daripada 36 Kali Berzina.
Apa Jenis-jenis Riba’?
Apa hukuman bagi orang yang degil untuk meninggalkan amalan Riba’?
Apa itu Riba’?
Takrifan ringkas riba’ ialah merupakan sebarang tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh dan tambahan dalam pertukaran barangan tertentu (barang ribawi)(1).
Ia merangkumi merangkumi riba daripada hutang (riba ad-Duyun) dan riba melalui pertukaran barangan ribawi (riba al-Buyu’).
Apa pula Riba’ ad-Duyun dan riba al-Buyu’?
A) Riba’ ad-Duyun
Riba jenis ini adalah riba’ yang muncul dari hutang. Ia merupakan lebihan yang terhasil disebabkan tempoh. Ia terbahagi kepada dua iaitu:
a) Riba al-Qardh: Iaitu sebarang manfaat tambahan yang disyaratkan ke atas pemberian jumlah pinjaman pokok. Syarat ini dibuat pada awal kontrak pinjaman. Ia dikenakan oleh pemberi pinjam kepada yang meminjam.
Sebagai
contoh, Ahmad ingin meminjam RM1,000 daripada Mohd. Tetapi Mohd
menetapkan syarat bahawa Ahmad wajib membayar semula hutang tersebut
sebanyak RM1,200. Lebihan RM200 merupakan riba ad-Duyun jenis al-Qardh.
b) Riba al-Jahiliyyah: Merupakan kadar atau sebarang manfaat
tambahan lebih dari jumlah pokok, yang dikenakan oleh pemberi pinjam
kepada peminjam akibat si peminjam gagal membayar pada tempoh yang telah
dipersetujui.
Sebagai
contoh, Mohd bersetuju memberi pinjaman kepada Ahmad sebanyak RM500 dan
dikehendaki membayar kembali satu bulan dari sekarang. Tetapi sekiranya
Ahmad gagal membayar hutang Mohd sebelum atau pada 1 bulan yang telah
ditetapkan, maka Ahmad dikehendaki membayar pada Mohd sebanyak RM600.
Lebihan sebanyak RM100 merupakan riba’ ad_Duyun jenis al-Jahiliyyah.
B) Riba’ al-Buyu’
Riba’ jenis ini pula muncul daripada jual beli barangan ribawi. Ia merupakan ketidaksamaan pada berat atau kuantiti pertukaran 2 barang ribawi atau pertukaran tersebut dibuat secara tangguh.
a) Riba’ an-Nasa’: Ia merupakan jual
beli atau pertukaran 2 barangan riwabi yang sama jenis dan pertukaran
tersebut dibuat secara tangguh (tidak sempurna dalam 1 masa).
Sebagai
contoh, Aminah membeli emas seberat 6 gram dengan harga RM1,000 secara
tangguh (maknanya, ambil emas hari ini, bayarnya bulan depan). Riba
an-Nasa' juga disebut sebagai riba an-Nasiah.
b) Riba al-Fadhl: Merupakan jual
beli atau pertukaran antara 2 barangan ribawi yang sama jenis dengan
berbeza kadar berat (jika dijual dengan timbang) atau kuantiti (jika
dijual secara bilangan kuantiti).
Sebagai
contoh, Menukar 10 gram emas (jenis 916) dengan 12 gram emas (jenis
kualiti 750). Pertukaran jenis ini adalah haram kerana sepatutnya
kedua-duanya mesti sama timbangan (contoh: 10 gram atau 12 gram).
Perbezaan kualiti tidak memberikan kesan kepada hukum.
Terdapat 2 syarat yang wajib dipenuhi agar terhindar daripada riba al-Fadhl dan riba’ an-Nasa’, iaitu:
i) Mesti sama berat atau kuantiti nya (walau berbeza kualiti dan harganya).
ii)
Transaksi pertukaran mesti dilakukan dalam satu masa atau satu majlis
(maksudnya, pembeli dan penjual tidak boleh beredar sebelum menyerahkan
barang pertukaran).
Apa Ancaman Bagi Orang Islam Yang Mengamalkan Riba’?
A) Allah dan RasulNya Mengisytiharkan Peperangan ke atas Pemakan dan Pemberi Riba.
Firman Allah swt:
Wahai
orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan
tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada
orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Oleh
itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba
itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan
RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu
bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu.
(Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu
juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Surah al-Baqarah: 278-279)
Ini
merupakan ancaman keras dari Allah. Bahkan merupakan ayat cabaran dari
Allah bagi sesiapa yang degil dan engkar dengan perintahNya. Imam Abu
Hanifah pernah berkata;” Ini adalah ayat al-Quran yang paling
menakutkan.”
Tinggalkan riba jika kamu benar-benar mengaku sebagai hamba Allah.
B) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.
Firman Allah swt:
“Allah menghancurkan keberkatan kerana riba’ dan menambahkan keberkatan daripada sedekah.” (al-Baqarah: 276)
C) Seperti berzina dengan Ibu Bapa Sendiri.
Nabi saw Bersabda:
“Riba’ mempunyai 72 pintu. Riba’ yang paling ringan dosanya ialah seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.”
(Riwayat at-Tabrani, 7/158; al_Hakim, Sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim)
Mari kita buka mata dan hati, betapa beratnya ancaman Allah terhadap orang yang mengamalkan riba dalam kehidupan seharian.
Nabi saw bersabda:
” Satu
dirham riba’ yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia
mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali.” (Riwayat
Ahmad dan Ad-Dar Qutni)
E) Salah Satu Daripada 7 Dosa Besar.
Nabi saw bersabda:
” Jauhilah
7 dosa besar; syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan riba’, makan
harta anak yatim, lari dari medan peperangan(kerana takut), dan menuduh
perempuan yang suci berzina(tanpa saksi adil).” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim)
Fahami apa
itu riba’, jenis-jenisnya dan apa ancaman yang datang dari Allah dan
Rasulnya bagi sesiapa yang mangamalkan riba’ dalam kehidupan
meraka. Semak semula, dari mana sumber pendapatan kita selama ini.
Semoga kehidupan kita bebas riba dan larangan-larangan yang lain.
Nota:
(1) Barangan ribawi adalah berkaitan dengan hadis Nabi saw yang
bermaksud: “Apabila ditukar emas dengan emas, perak dengan perak, gandum
dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama
timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus(pada satu masa) dan
sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana
disukai.” (Riwayat Muslim nombor 4039, nombor hadis, 11/9)
0 Komentar untuk " Riba: Definisi dan Jenis-jenis Riba "