Risiko, pulangan tidak boleh dipisah dalam pelaburan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Risiko, pulangan tidak boleh dipisah dalam pelaburan

Soalan
Saya sering didatangi wakil-wakil jualan yang menawarkan produk unit amanah sebagai satu pelaburan. Oleh sebab itu, kurang kefahaman dan bimbang tertipu dengan skim cepat kaya, saya sering menolak penerangan yang diberikan.
Bolehkah dijelaskan kelebihan dan risiko melabur dalam unit amanah harga berubah-ubah? Apakah perbezaan risiko pelaburan dalam jangka pendek, pertengahan dan panjang?
Dana unit amanah adalah kaedah pelaburan yang sesuai bagi pelabur individu untuk mengumpulkan wang supaya mereka boleh melabur secara berkumpulan dalam pelbagai saham atau bon berbeza, tanpa perlu membuat bayaran awal yang terlalu besar. Oleh kerana itu, seorang profesional akan melakukan tugas menilai pelaburan bagi pihak pelabur individu. Sudah tentulah ada kadar bayaran yang dikenakan bagi menggunakan khidmat pengurus dana profesional dan juga segala kos berkaitan penyelidikan, pembelian dan penjualan saham.

Jawapan
Unit amanah ialah pelaburan menarik kerana sebab-sebab berikut:
Pelabur mendapat manfaat mempelbagaikan pelaburan dengan memiliki unit dalam dana yang membeli sebilangan besar saham atau instrumen. Ini tidak boleh dilakukannya sendiri jika bertindak secara berseorangan.
Terdapat banyak jenis dana yang melabur dalam saham dan bon di dalam dan luar negara. Unit amanah membolehkan pelabur melabur dalam pelbagai jenis pelaburan yang mungkin tidak dapat dibuat oleh pelabur individu. Tambahan lagi, terdapat dana yang melabur dalam instrumen patuh Syariah yang dinamakan Dana Islam.
Pelabur memerlukan jumlah pelaburan awal yang kecil untuk bermula, kadangkala serendah RM1,000.
Sesetengah dana unit amanah mempunyai risiko yang lebih tinggi daripada yang lain; jadi pastikan anda menyemak objektif pelaburan dana dan strategi di dalam prospektus. Semua dana wajib mempunyai prospektus yang sah, yang memberikan segala maklumat lanjut tentang dana. Ini termasuk butiran tentang kelas risiko, pasukan pengurusan, strategi pelaburan dan aset yang boleh dilaburkan.
Walaupun pengurus dana profesional akan menjaga kepentingan anda, ini tidak melepaskan anda daripada tanggungjawab untuk membuat keputusan maklum anda sendiri untuk membeli dana. Walaupun prestasi masa lepas bukan jaminan prestasi masa depan, anda perlu meninjau prestasi dana dalam tempoh beberapa tahun lepas sebelum membuat keputusan akhir. Anda juga boleh membandingkannya dengan indeks pasaran yang berkenaan untuk melihat kedudukannya berbanding pesaingnya.
Dana berbeza mempunyai objektif pelaburan berbeza, justeru risiko yang terbabit juga berbeza. Unit amanah boleh dibahagikan kepada empat kategori utama, iaitu ekuiti, seimbang, bon atau pasaran wang. Ramai pelabur perlu mempelbagaikan portfolio dengan menggabungkan keempat-empatnya.
Dana ekuiti adalah dana paling tidak stabil antara ketiga-tiganya, dengan nilainya kadangkala naik dan kadangkala turun dengan ketara dalam tempoh yang singkat.
Saham dana ini mencatatkan prestasi lebih baik dalam jangka panjang berbanding jenis pelaburan lain. Secara idealnya, anda memerlukan tempoh pelaburan lebih panjang apabila melabur dalam dana ekuiti untuk memastikan anda dapat mengharungi naik turun pasaran.
Dana seimbang melabur dalam kombinasi ekuiti dan bon. Dana jenis ini mungkin bertukar antara pegangan ekuiti, yang berpotensi memberikan pulangan lebih tinggi, dan bon, yang bersifat lebih konservatif.
Dana bon yang juga dikenali sebagai pendapatan tetap, melabur dalam hutang korporat dan kerajaan dengan tujuan memberikan pendapatan menerusi pembayaran kupon. Dana bon lazimnya dimasukkan dalam portfolio untuk menyediakan pendapatan mantap sambil berusaha mengekalkan modal anda. Walaupun biasanya lebih selamat daripada dana ekuiti atau seimbang, masih terdapat risiko jika penerbit hutang gagal membayar balik hutang.
Dengan dana bon, anda menjangkakan pulangan lebih rendah dalam jangka masa tertentu berbanding melabur dalam dana ekuiti dan seimbang.
Akhir sekali, dana pasaran wang melabur dalam hutang jangka pendek yang diterbitkan syarikat korporat atau kerajaan berbanding dana bon. Dana ini mempunyai risiko lebih rendah hampir menyamai kadar deposit tetap.
Hakikatnya, risiko dan pulangan tidak boleh diasingkan. Lebih tinggi pulangan dijanjikan, lebih tinggi risiko yang perlu anda tanggung. Jika sesiapa berjanji memberikan pulangan tinggi tanpa risiko, anda seharusnya was-was. Dalam dunia pelaburan tiada cara mudah untuk meraih keuntungan.
Dengan produk risiko lebih tinggi, umumnya, anda harus bersedia melabur untuk jangka panjang. Pelabur perlu memahami toleransi peribadi terhadap risiko. Jika anda tidak dapat tidur lena memikirkan tentang pelaburan anda, mungkin risiko yang diambil terlalu tinggi.

(Utusan Malaysia/14 Mei 2011)
0 Komentar untuk " Risiko, pulangan tidak boleh dipisah dalam pelaburan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ