Siri 1:
SISTEM
kewangan Islam adalah luas, mencakupi pelbagai cabang. Melalui siri-siri
perbankan Islam yang telah dipapar sebelum ini, kita telah mengikuti
cara mendapatkan dana modal, pembiayaan, pelbagai pilihan deposit serta
beberapa isu semasa berkaitan perbankan Islam.
Dalam minggu
ini dan berikutnya kami mulakan pula siri khusus berkenaan pengurusan
dana dan unit amanah Islam. Maklumat ini diharap dapat memberi
penerangan berkesan kepada pembaca dan mendatangkan pengetahuan berguna
kepada semua, berkenaan bentuk pelaburan yang kedapatan kini serta yang
mematuhi syariah Islam.
Justeru
pelabur dan bakal pelabur diharap dapat membuat pilihan untuk mula
merapatkan diri dengan produk pelaburan Islam serta dapat mula membuat
penilaian berbanding pelaburan yang berunsurkan riba dan perkara gharar
seperti deposit tetap, bon dan sebilangan besar instrumen pasaran
kewangan konvensional.
Maklumat
pendidikan berkenaan pelaburan dan unit amanah Islam yang dimulakan ini
dirasakan bertepatan dengan trend sebilangan besar pergerakan dana
pelaburan serata dunia dewasa ini yang mula menunjukkan permintaan
terhadap produk kewangan Islam..
Di Malaysia,
jumlah unit amanah berasaskan prinsip Islam terus meningkat kepada 72
dengan nilai aset bersih (NAB) mencecah RM8 bilion. Keadaan ini
mencerminkan permintaan pasaran domestik yang kukuh terhadap produk
kewangan Islam. Kadar penembusan sekitar 12.9 peratus yang merujuk
kepada nisbah NAB kepada nilai pasaran saham boleh dianggap bahawa
industri unit amanah Islam masih sangat berpotensi untuk terus
berkembang. Selari dengan permintaan pasaran, keperluan untuk
menguruskan dana Islam secara lebih profesional disamping mematuhi
syariah turut diberi perhatian khusus sejak tahun-tahun kebelakangan
ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan Unit Amanah Islam?
Hampir semua
orang, kaum bumiputera khasnya tahu apa itu skim Amanah Saham Nasional
(ASN). Berkat usaha kerajaan sejak tahun 1981 melalui kewujudan
Permodalan Nasional Berhad (PNB), pelaburan ASN dan Amanah Saham
Bumiputera (ASB) terus popular dan diyakini rakyat Malaysia.
Unit Amanah,
Amanah Saham atau dalam bahasa Inggeris `Unit Trust' atau `Mutual Fund'
merujuk kepada aktiviti pengumpulan sumber kewangan sebagai satu dana
yang terletak hak kepada pemegang amanah korporat dan diuruskan mengikut
peruntukan surat Ikatan Amanah yang berkaitan. Dana ini akan diuruskan
bersama dengan satu syarikat pengurusan. Syarikat pengurusan atau lebih
dikenali sebagai `pengurus dana', bertanggungjawab menguruskan pelaburan
yang terdapat didalam dana selaras dengan objektif tabung amanah,
dengan matlamat memberi manfaat pulangan yang berpatutan kepada setiap
para pelabur yang terlibat.
Pelaburan
dalam unit amanah memberi peluang kepada pelabur individu serta korporat
untuk berkongsi saluran khas pengumpulan dana bagi tujuan pelaburan
dalam pelbagai portfolio. Dana yang dikumpulkan atas objektif pelaburan
yang sama itu akan diurus oleh pengurus dana bertauliah untuk dilaburkan
dalam portfolio yang dipelbagaikan. Portfolio pelaburan tersebut
kebiasaannya merangkumi satu atau lebih kelas-kelas aset pelaburan
seperti pasaran kewangan & tunai, bon & sekuriti hutang, saham
serta hartanah.
Selain dari
PNB, kini terdapat lebih 30 pengurus dana di Malaysia seperti Muamalat
Avenue Sdn. Bhd., BIMB Unit Trust Management dan Public Mutual Berhad.
Unit Amanah
Islam mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 90-an melalui Dana
AmIttikal pada tahun 1993, dan Amanah Saham Bank Islam Tabung Pertama
(ASBI Tabung Pertama) pada tahun berikutnya. Sejak itu, unit amanah
berasaskan prinsip Islam terus popular hingga kini dengan banyak
dana-dana berlandaskan syariah dilancarkan oleh pengurus-pengurus dana
di Malaysia. Dana-dana Islam yang diuruskan mempunyai pelbagai nama
seperti Dana Al-Aiman, ASBI Dana Bon Islam, Dow Jones-RHB Islamic
Malaysia Index Fund, bersesuaian dengan fokus pelaburan yang terlibat.
Operasi
pengurus-pengurus dana adalah hampir sama. Pengurusan dana-dana Islam
dibezakan dengan kewujudan dan kredibiliti panel syariah dalam
memastikan tindakan pelaburan dan pengurusan dana selaras dengan
prinsip-prinsip syariah Islam. Dalam pelaburan saham contohnya, tiada
pegangan dibuat ke atas kaunter syarikat yang terbabit dengan aktiviti
perniagaan judi, arak, insurans, perbankan konvensional dan makanan yang
tidak halal. Pengurus dana Islam hanya akan melabur modal terkumpul
dari para pelabur ke dalam portfolio pelaburan yang halal dan
sebagaimana garis panduan panel syariah pengurusan dana, Suruhanjaya
Sekuriti (SC) dan surat ikatan dana berkenaan. Dalam menjalankan
tanggungjawab ini, pengurus dana mengenakan yuran pengurusan di bawah
konsep Al-Ujrah.
Pemilikan
pelabur individu dan korporat terhadap sesuatu dana pelaburan dibahagi
dalam bentuk unit-unit. Unit-unit amanah tersebut dijual oleh pihak
pengurus dana secara terus atau melalui agen kepada pelabur menerusi
konsep Bai'Al-Naqdi atau jual beli secara tunai. Apabila seseorang
pelabur membeli unit amanah, beliau sebenarnya berkongsi pemilikan aset
dana tersebut dengan pelabur-pelabur lain yang melayakkan mereka untuk
menikmati sebarang manfaat yang dijana oleh dana. Nilai unit amanah ini
akan berubah-ubah, mengikut nilai aset sesuatu dana yang kadang-kala
meningkat atau menguncup berikutan pergerakan pasaran. Pembahagian
kepada unit-unit yang mampu beli menwujudkan peluang kepada pelabur
untuk melibatkan diri secara aktif, tetapi tidak langsung dalam pelbagai
aktiviti pelaburan yang kadang-kala tidak ditawarkan oleh pasaran untuk
pelabur individu seperti pembelian bon Islam yang berharga berjuta-juta
ringgit.
Pulangan
pelaburan unit amanah pula adalah dalam bentuk agihan pendapatan tahunan
yang sama rata kepada setiap unit, serta pertumbuhan modal dari masa ke
semasa.
Walaupun
prestasi masa lalu dana-dana tidak mencerminkan prestasi akan datang,
lazimnya pelaburan dalam unit amanah memberikan pulangan yang berbaloi
untuk jangka masa sederhana dan panjang seperti antara 3 hingga 15
tahun. Pulangan juga bergantung kepada fokus serta corak pelaburan
sesuatu dana. Umumnya, pulangan yang tinggi berkait-rapat dengan kadar
risiko pelaburan yang tinggi.
(Utusan Malaysia/06/03/2006)
0 Komentar untuk " Unit amanah Islam semakin berkembang "