1. Apakah Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti dan peranannya?
MPS
Suruhanjaya Sekuriti ialah jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh SC
pada tahun 1996 di bawah seksyen 18, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993
(SCA). MPS diberikan mandat dalam memastikan perjalanan pasaran modal
Islam selaras dengan prinsip-prinsip Syariah. Bidang kuasanya ialah
memberi nasihat kepada Suruhanjaya dalam semua perkara berhubung
pembangunan pasaran modal Islam yang komprehensif dan bertindak sebagai
pusat rujukan dalam semua isu pasaran modal Islam. Ahli MPS terdiri
daripada ulama Islam dan pakar kewangan Islam.
2. Apakah sumber rujukan asas penyelidikan dalam pasaran modal Islam?
Sumber rujukan asas penyelidikan dalam pasaran modal Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian:
Sumber utama: al-Quran dan al-Sunnah
Sumber
sokongan: Ijmak (persepakatan pendapat) , qiyas (kesimpulan secara
analogi) , maslahah (kepentingan umum) dan sumber-sumber lain yang
diterima oleh Syariah.
3. Apakah Senarai Sekuriti Patuh Syariah?
Senarai
sekuriti patuh Syariah mengenal pasti syarikat tersenarai di Bursa
Malaysia yang aktivitinya mematuhi kriteria Syariah yang ditetapkan oleh
MPS.
4. Berapa kerapkah senarai Sekuriti patuh Syariah dikemaskinikan?
Senarai berkenaan dikemaskinikan dua kali setahun iaitu pada hari Jumaat terakhir bagi bulan Mei dan November setiap tahun.
5. Apakah kriteria umum Syariah yang digunakan dalam menilai sesuatu syarikat ?
Kriteria umum dalam menilai sekuriti patuh Syariah ialah syarikat itu tidak terlibat dalam aktiviti teras seperti yang berikut:
Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
Perjudian;
Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;
Insurans konvensional;
Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah;
Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
Pembrokeran atau jual beli sekuriti yang tidak diluluskan Syariah; dan
Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah.
MPS
juga mengambil kira tahap sumbangan daripada pendapatan faedah yang
diperoleh syarikat hasil daripada simpanan tetap konvensional atau
instrumen kewangan konvensional yang lain. Selain itu, dividen yang
diterima daripada pelaburan dalam sekuriti tidak patuh Syariah juga
diambil kira dalam kajian yang dijalankan oleh MPS.
Bagi
syarikat yang menjalankan aktiviti bercampur di antara aktiviti yang
selaras dan tidak selaras dengan Syariah, MPS mempertimbangkan dua
kriteria tambahan iaitu:
pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik; dan
aktiviti
teras syarikat penting dan mempunyai maslahah (kepentingan umum) kepada
umat Islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan Syariah
adalah amat kecil dan melibatkan perkara 'umum balwa (perkara terlarang
yang sukar dielakkan), 'uruf (amalan kebiasaan) dan hak-hak masyarakat
bukan Islam yang diperakui oleh Islam.
6.
Apakah tanda aras yang digunakan bagi menentukan percampuran sumbangan
yang dibolehkan daripada aktiviti selaras dan tidak selaras dengan
Syariah?
Untuk
penentuan percampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti
selaras dan tidak selaras dengan Syariah kepada perolehan dan keuntungan
sebelum cukai sesebuah syarikat, MPS telah menetapkan beberapa tanda
aras tertentu mengikut ijtihad (proses mengeluarkan pendapat daripada
sumber Syariah oleh ulama yang layak). Sekiranya sumbangan daripada
aktiviti yang tidak selaras melebihi tanda aras yang telah ditetapkan,
maka sekuriti syarikat tersebut akan diklasifikasikan sebagai sekuriti
tidak patuh Syariah. Tanda aras tersebut adalah seperti yang berikut
a) Tanda aras lima peratus
Tanda
aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti
yang jelas keharamannya (tidak selaras dengan Syariah) seperti riba
(syarikat berasaskan faedah seperti bank konvensional), judi, minuman
keras dan daging babi.
b) Tanda aras 10 peratus
tanda
aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti
yang melibatkan unsur "umum balwa" iaitu perkara terlarang yang
melibatkan kebanyakan orang dan sukar untuk dielakkan. Contoh sumbangan
tersebut ialah pendapatan faedah daripada simpanan tetap dalam bank
konvensional. Tanda aras ini juga digunakan bagi aktiviti yang
melibatkan tembakau.
(c) Tanda aras 20 peratus
Tanda
aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan terima
sewaaan daripada aktiviti tidak patuh Syariah seperti sewaan premis yang
menjalankan aktiviti perjudian, jualan arak dan sebagainya.
d) Tanda aras 25 peratus
Tanda
aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti
yang secara umumnya selaras dengan Syariah dan mempunyai maslahah
(kepentingan umum), namun terdapat unsur lain yang boleh menjejaskan
status Syariah aktiviti berkenaan. Antara aktiviti yang mempunyai tanda
aras ini ialah aktiviti pengendalian hotel dan pusat peranginan,
perniagaan saham, pembrokeran dan sebagainya kerana aktiviti tersebut
berkemungkinan melibatkan aktiviti lain yang tidak selaras dengan
Syariah.
7.
Apakah nasihat MPS kepada pelabur yang melabur dalam sekuriti patuh
Syariah, tetapi kemudiannya sekuriti tersebut bertukar statusnya kepada
'tidak patuh'?
Sekiranya
ketika pengumuman dikeluarkan, nilai sekuriti yang dipegang melebihi
kos pembelian asal, pelabur yang memegang sekuriti tidak patuh Syariah
hendaklah melupuskannya. Sebarang keuntungan modal yang diperoleh
daripada pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah pada masa pengumuman
dibuat boleh diambil oleh pelabur. Walau bagaimanapun, sekiranya
pelupusan sekuriti yang tidak patuh berkenaan dibuat selepas hari
pengumuman, maka lebihan keuntungan modal daripada perbezaan harga
semasa pasaran dengan harga penutup pada hari pengumuman hendaklah
disalurkan kepada badan kebajikan.
Sebaliknya,
pelabur dibenarkan untuk memegang sekuriti tersebut sekiranya nilai
sekuriti yang dipegang lebih rendah daripada kos pembelian asal. Dalam
tempoh pegangan itu, pelabur juga dibenarkan untuk menerima dividen
sehingga jumlah keseluruhan dividen yang diterima dan nilai pasaran
sekuriti yang tidak diluluskan tersebut menyamai kos pembelian asal.
Pada ketika itu, pelabur dinasihatkan untuk melupuskan sekuriti
tersebut.
8. Apakah kos pembelian asal?
Kos pembelian asal merupakan kos pembelian sekuriti termasuk kos pembrokeran dan kos transaksi yang berkaitan.
9.
Apakah yang perlu pelabur lakukan sekiranya mereka ditawarkan terbitan
hak, terbitan bonus, terbitan istimewa atau waran oleh syarikat tidak
patuh Syariah yang dipegangnya?
Pelabur dibenarkan untuk melanggan:
sebarang
terbitan sekuriti baru oleh syarikat yang sekuriti tidak diluluskan
dipegang oleh pelabur, contohnya terbitan hak, terbitan bonus, terbitan
istimewa dan waran (tidak termasuk sekuriti yang tidak patuh Syariah
seperti ICULS); dan
sekuriti syarikat lain yang ditawarkan oleh syarikat yang sekuriti tidak patuh Syariah dipegang oleh pelabur,
dengan
syarat ia digunakan untuk mempercepatkan proses pelupusan
sekuriti-sekuriti yang tidak diluluskan. Bagi sekuriti syarikat lain
(seperti yang dinyatakan pada (b) di atas), sekuriti tersebut mestilah
patuh Syariah.
10. Apakah yang pelabur perlu lakukan sekiranya mereka melabur dalam sekuriti yang tidak diluluskan?
MPS
menasihatkan supaya pelabur melupuskan semua sekuriti yang tidak patuh
Syariah dalam tempoh tidak melebihi satu bulan selepas mengetahui status
sekuriti tersebut. Sebarang keuntungan dalam bentuk keuntungan modal
atau dividen yang diperoleh ketika atau selepas pelupusan sekuriti
berkenaan hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan. Pelabur hanya
berhak untuk memperoleh kembali kos pembelian asal sahaja.
11. Apakah orang bukan Islam boleh menjual dan membeli sekuriti patuh Syariah?
Pelaburan
dalam sekuriti patuh Syariah tidak hanya terhad kepada pelabur Muslim
sahaja kerana sekuriti patuh Syariah merupakan sebahagian daripada
sekuriti yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Oleh itu, orang Islam dan
bukan Islam boleh melabur dalam sekuriti tersebut.
12. Apakah Indeks Syariah Kuala Lumpur (KLSI) dan apakah sekuriti yang menjadi komponen dalam indeks tersebut?
KLSI
telah dilancarkan pada 17 April 1999 untuk memenuhi permintaan pelabur
tempatan dan pelabur asing yang ingin melabur dalam sekuriti yang
selaras dengan prinsip Syariah. Ia digunakan sebagai tanda aras bagi
mengukur prestasi sekuriti patuh Syariah dan membuat keputusan yang
bijak berdasarkan maklumat.
13. Selain daripada senarai sekuriti patuh Syariah, apakah instrumen lain yang diluluskan oleh MPS?
Sejak penubuhan MPS, beberapa instrumen pasaran modal telah dikaji dan diluluskan seperti yang berikut:
Saham biasa
Hak Langganan Boleh Pindah
Waran Panggilan
Saham Keutamaan Tidak Kumulatif
Keutamaan Saham Boleh Tebus
Kontrak Niaga Hadapan Minyak Kelapa Sawit Mentah
Kontrak Niaga Hadapan Minyak Isirung Kelapa Sawit Mentah
Bon tanda aras Khazanah
Pensekuritian Aset Islam/Pensekuritian Hutang Islam
SSF (Kontrak Niaga Hadapan Saham Tunggal (jika pendasarnya merupakan instrumen patuh Syariah))
Kontrak Niaga Hadapan Indeks (jika pendasarnya merupakan instrumen patuh Syariah)
14. Adakah terdapat perkhidmatan pembrokeran Islam dalam industri?
Ya.
Perkhidmatan pembrokeran Islam menyediakan medium perhubungan untuk
para pelabur Muslim untuk berjual beli dan melabur dalam pasaran modal.
Ia bermula dengan penubuhan BIMB Securities Sdn Bhd yang merupakan
syarikat pembrokeran Islam sepenuhnya pada tahun 1994. Selain daripada
syarikat broker saham ini, terdapat syarikat pembrokeran konvensional
yang mula menunjukkan minat dalam perkhidmatan pembrokeran Islam.
15. Apakah skim unit amanah Islam?
Skim
unit amanah Islam ialah dana pelaburan kolektif yang menawarkan kepada
pelabur peluang untuk melabur dalam pelbagai portfolio sekuriti patuh
Syariah serta diuruskan oleh pengurus dana profesional menurut prinsip
Syariah. Skim unit amanah Islam ini perlu melantik jawatan kuasa Syariah
atau penasihat Syariah seperti yang terkandung dalam perenggan 6.04
garis panduan "Guidelines on Unit Trust Funds" bagi memastikan
pelaksanaannya berlandaskan prinsip Syariah. Skim ini terdapat dalam
pelbagai bentuk seperti dana ekuiti Islam, dana sukuk, dana indeks Islam
dan sebagainya.
16. Apakah syarat-syarat untuk melantik jawatan kuasa Syariah dan penasihat Syariah bagi skim unit amanah Islam ?
Jawatan
kuasa Syariah dan penasihat Syariah bagi skim unit amanah Islam mesti
diluluskan oleh SC dan memenuhi kriteria seperti yang terkandung dalam
perenggan 6.05 garis panduan Guidelines on Unit Trust Funds .
Bagi
jawatan kuasa Syariah yang dilantik, mestilah dianggotai oleh
sekurang-kurangnya tiga orang individu yang bebas daripada syarikat
pengurusan dan didaftarkan dengan SC. Dalam hal penasihat Syariah
(syarikat) pula, syarikat tersebut mesti mempunyai sekurang-kurangnya
seorang pegawai sepenuh masa dalam syarikat berkenaan yang ditugaskan
khas untuk bertanggung jawab ke atas perkara yang berkaitan dengan
Syariah bagi dana tersebut.
Untuk memohon kelulusan daripada SC, individu atau syarikat perlu menulis permohonan kepada:
Ketua
Pasaran Modal Islam
Suruhanjaya Sekuriti
No 3, Persiaran Bukit Kiara
Bukit Kiara
50490 Kuala Lumpur.
17. Bagaimana bon distrukturkan menurut prinsip Syariah dan apakah yang membezakannya dengan bon konvensional ?
Sukuk
distrukturkan dengan aset patuh Syariah melalui kontrak pertukaran
tertentu. Kontrak tersebut boleh diwujudkan melalui jual beli aset
dengan bayaran tertangguh, pajakan aset atau penyertaan dalam perniagaan
usaha sama. Oleh itu, penerbitan sukuk bukanlah berdasarkan pertukaran
kertas untuk wang yang melibatkan faedah. Ia lebih merupakan pertukaran
aset patuh Syariah untuk mendapatkan pembiayaan menggunakan
berbagai-bagai prinsip Syariah seperti bai' bithaman ajil (BBA),
murabahah, ijarah, mudharabah dan musyarakah yang membolehkan pelabur
memperoleh keuntungan melalui transaksi berkenaan.
18. Siapa yang mempunyai kuasa untuk menentukan bahawa sesuatu bon distrukturkan menurut prinsip Syariah?
Penerbitan
sukuk dikawal selia oleh SC melalui rangka kerja bawah Guidelines on
the Offering of Islamic Securities (Garis panduan). Oleh itu,
sebagaimana yang dinyatakan oleh Garis panduan berkenaan, struktur sukuk
perlu disahkan dan diluluskan oleh penasihat Syariah yang dilantik oleh
penerbit. Penasihat Syariah ini merupakan sama ada penasihat Syariah
bebas yang telah diluluskan oleh SC atau jawatan kuasa Syariah bagi
institusi kewangan yang menjalankan aktiviti perbankan Islam yang
diluluskan boleh Bank Negara.
19. Apakah prinsip Syariah yang boleh digunakan dalam menstrukturkan sukuk?
Sukuk
boleh distrukturkan dengan menggunakan pelbagai prinsip dan konsep
Syariah yang disenaraikan dalam Lampiran 1 Garis panduan. Prinsip dan
konsep ini telah disahkan oleh MPS dan dirasakan sesuai untuk
penstrukturan sukuk. Walau bagaimanapun, perundingan awalan dengan MPS
juga diperlukan sekiranya penerbit menggunakan prinsip dan konsep yang
berlainan dengan yang tersenarai pada Lampiran 1 berkenaan. Perundingan
ini juga digalakkan untuk penggunaan sebarang prinsip dan konsep yang
disenaraikan pada Lampiran 1 tetapi masih belum diamalkan di pasaran.
20. Siapakah yang layak untuk menjadi penasihat Syariah bebas bagi sukuk dan apakah syarat-syaratnya?
Individu
boleh diluluskan oleh SC untuk menjadi penasihat Syariah bagi sukuk
apabila memenuhi kriteria seperti yang terkandung dalam perenggan 6.01
Garis panduan. Bagi syarikat pula, kriteria yang terkandung dalam
perenggan 6.02 perlu dipenuhi. Untuk memohon kelulusan daripada SC,
individu atau syarikat perlu menulis permohonan kepada:
Ketua
Jabatan Pasaran Modal Islam
Suruhanjaya Sekuriti
No 3, Persiaran Bukit Kiara
Bukit Kiara
50490 Kuala Lumpur.
21. Keputusan MPS berkaitan sukuk
a) Jual hutang ( bai' dayn )
MPS
bersetuju untuk menerima prinsip bai' dayn iaitu jual hutang sebagai
salah satu konsep yang digunakan dalam membangunkan instrumen pasaran
modal Islam. Ini bersandarkan kepada pendapat sebahagian daripada ulama
fikah yang membenarkan konsep ini dengan beberapa syarat. Dalam konteks
pasaran modal, syarat ini boleh dipenuhi apabila terdapatnya sistem
pengawalseliaan yang telus, yang boleh memelihara maslahah (kepentingan
umum) peserta pasaran.
b) Sukuk tanda aras Islam
Sukuk
tanda aras Islam yang juga dikenali sebagai Bon Khazanah adalah selaras
dengan Syariah. Bon ini distrukturkan berdasarkan kepada prinsip
murabahah.
c) Sukuk mudharabah dengan pensekuritian sewa beli Islam
MPS
meluluskan konsep dan mekanisme yang digunakan dalam penerbitan sukuk
berdasarkan kepada prinsip mudharabah melalui pensekuritian sewa beli
Islam. Pembelian sewa beli Islam adalah berdasarkan kepada konsep
Syariah jual hutang (bai' dayn).
d) Prinsip ittifaq dhimni
MPS
telah meluluskan prinsip ittifaq dhimni dalam menstrukturkan sukuk.
Ittifaq dhimni merujuk kepada persefahaman yang wujud sebelum sesuatu
kontrak termeterai. Pembeli dan penjual telah membuat perjanjian
terdahulu untuk menjual aset pada harga tertentu dan membeli semula
(aset tersebut) pada harga tertentu. Dalam konteks ini peniaga utama
yang telah berjaya mendapatkan tender akan membeli aset yang telah
dibida. Ini merujuk kepada pesefahaman dalam transaksi jual beli selaras
dengan konsep bai' muzayadah. Kebiasaannya, dalam konteks pembentukan
sukuk tanda aras Islam, ia melibatkan lebih daripada seorang peniaga
utama yang berjaya membeli sesuatu aset. Oleh itu, beberapa peniaga
utama ini akan menjadi rakan kongsi dalam pembelian aset tersebut
menurut bahagian mereka.
e) Dha' wa ta'ajjal
MPS
telah bersetuju menerima penggunaan konsep dha' wa ta'ajjal dalam
memajukan instrumen pasaran modal Islam. Dha' wa ta'ajjal adalah
perlakuan pemiutang yang melupuskan sebahagian daripada hutangnya
sekiranya penghutang menjelaskan bakinya dengan lebih cepat.
f) Jaminan pihak ketiga ke atas modal
Penerbit
sukuk dibenarkan untuk mengunakan jaminan pihak ketiga ke atas modal
yang dilaburkan menggunakan prinsip mudharabah/musyarakah. Mereka juga
bersetuju bahawa fi (ujrah) dibenarkan untuk dibayar kepada penjamin
dengan syarat jaminan tidak berasaskan kepada rekursi, iaitu pelabur
tidak boleh menuntut daripada penerbit sekiranya perniagaan tersebut
mengalami kerugian kerana jaminan akan diberikan oleh penjamin. Pelabur
juga dibenarkan untuk meminta cagaran daripada penerbit memandangkan
kemungkinan berlakunya kecuaian yang nyata daripada penerbit.
g) Anugerah kerajaan (iqta' )
Semua
kontrak yang dianugerahkan oleh kerajaan seperti kontrak konsesi,
pembinaan, bekalan dan perkhidmatan diterima sebagai aset pendasar yang
diluluskan untuk menstrukturkan sukuk. Prinsip yang sama boleh juga
gunakan kepada kontrak yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri, agensi
kerajaan dan syarikat yang berkaitan dengan kerajaan. Keputusan ini
dibuat berlandaskan prinsip anugerah kerajaan (iqta').
h) Ganti rugi dan potongan
Pelabur
sukuk dibenarkan untuk mengenakan ganti rugi ( ta'widh) bagi kelewatan
dan kegagalan bayaran oleh penerbit sukuk. Ta'widh boleh dikenakan
setelah didapati terdapat unsur mumathil (sengaja melengah-lengahkan
bayaran) pihak penerbit untuk menjelaskan bayaran pokok dan keuntungan.
Kadar ta'widh untuk bayaran lewat ke atas keuntungan ialah 1% setahun
daripada jumlah yang tertunggak dan tidak boleh dikompaunkan. Sementara
kadar ta'widh bagi kegagalan untuk menyelesaikan bayaran pokok adalah
berdasarkan kepada kadar pasaran dalam pasaran wang Islam antara bank
dan ia juga tidak boleh dikompaunkan.
Di
samping itu, sekiranya diminta oleh penerbit sukuk untuk penyelesaian
awal, potongan ( ibra') dibenarkan untuk diberikan kepada pelabur.
i) Potongan ( ibra')
MPS
telah memutuskan bahawa klausa ibra' (potongan) bagi penyelesaian awal
boleh dimasukkan dalam dokumen perundangan utama bagi transaksi sukuk.
Keputusan dibuat berdasarkan kepada prinsip 'uruf (amalan kebiasaan),
maslahah (kepentingan umum) dan untuk menghindari gharar
(ketidakpastian). Peruntukan ibra' dalam dokumen perundangan utama
dianggap sebagai syart (syarat) yang selaras dengan muqtadha al-'aqd
(tujuan kontrak). Walau bagaimanapun, MPS menasihatkan bahawa peruntukan
ibra' hendaklah diasingkan daripada bahagian harga dalam dokumen utama,
yang mana peruntukan ibra' boleh dimasukkan dalam seksyen bayaran dan
penyelesaian.
j) "When Issue" (WI)
Proses
"When Issue" (WI) bagi penerbitan sukuk dalam pasaran utama adalah
diluluskan Syariah. Keputusan ini dibuat atas dasar bahawa tidak
terdapatnya unsur riba dan gharar (ketidakpastian) dalam proses WI.
k) Penetapan harga aset
MPS
telah mengeluarkan garis panduan bagi penentapan harga aset sukuk bagi
memudah cara proses penentuan harga belian bagi sesuatu aset yang
dijadikan sebagai aset pendasar bagi sukuk yang distrukturkan di bawah
prinsip ijarah, bai' bithaman ajil, bai' 'inah dan murabahah.
MPS
memutuskan bahawa harga belian bagi aset, sekiranya dijual melebihi
daripada harga pasaran, hendaklah tidak melebihi 1.33 kali ganda (satu
dan satu per tiga) harga pasaran. Sebaliknya, sekiranya aset tersebut
dijual pada kadar diskaun, harga belian tersebut hendaklah tidak kurang
daripada 0.67 kali ganda (dua per tiga) harga pasaran.
Bagi
memudahcarakan lagi proses penetapan harga, MPS memutuskan sekiranya
harga pasaran sesuatu aset tidak dapat dipastikan, maka harga saksama
atau harga lain yang dirasakan sesuai boleh diguna pakai selagi ia
berasaskan kepada konsep reda meredai dan dinilai menggunakan kaedah
penilaian yang bersesuaian.
l) Pensekuritian aset Islam
MPS
memutuskan bahawa pensekuritian aset dibenarkan sekiranya aset pendasar
instrumen berkenaan selaras dengan Syariah. Walau bagaimanapun, aset
dalam bentuk hutang seperti terimaan murabahah dan bai' bithaman ajil
tidak boleh disekuritikan untuk tujuan penerbitan sekuriti bersandarkan
aset Islam yang distrukturkan menggunakan prinsip hutang murabahah dan
bai' bithaman ajil.
m) Pemajakan belum terima konvensional tidak boleh digunakan sebagai aset pendasar bagi sukuk
Pihak
yang menerbitkan sukuk perlu menggunakan perolehan belum terima
daripada urus niaga berprinsip Islam, seperti perolehan belum terima
daripada urus niaga ijarah, sebagai aset pendasar. Keputusan ini dibuat
bagi menggalakkan lagi pembangunan instrumen Islam, terutama yang
berasaskan ijarah.
n) Mekanisma kadar terapung
MPS
telah memutuskan bahawa mekanisma kadar terapung boleh digunakan untuk
sukuk yang berasaskan kepada Bai' Bithaman Ajil , murabahah and
istisna'. Kebenaran ini berasaskan kepada penggunaan elemen rebat (
ibra') dalam menentukan kadar keuntungan efektif untuk sukuk. Kadar
keuntungan efektif ini akan menjadi rujukan kepada pergerakan kadar
pasaran.
o) Isu ketakpastian ke atas pemilikan barangan ( ghair mustaqir ) bawah prinsip pesanan belian ( istisna' ) dalam struktur sukuk
Urus
niaga istisna' dalam struktur sukuk lazimnya bersandarkan dan disokong
oleh proses dan klausa perundangan untuk melindungi pihak terlibat dalam
urus niaga tersebut. Ini seterusnya disokong oleh rangka kerja
perundangan dan kawal selia yang berkenaan sebagaimana yang
diperuntukkan oleh pihak berkuasa. Oleh itu, elemen berkaitan ghair
mustaqir atau ketidakpastian dihapuskan. Sebagai tambahan, ciri-ciri
prinsip istisna' adalah berbeza berbanding dengan prinsip belian
terdahulu ( salam ). Elemen ghair mustaqir selalunya hanya berkaitan
dengan prinsip salam .
22. Keputusan MPS berkaitan dana unit amanah Islam
a) Dana Jaminan Modal
Konsep
dan struktur bagi dana jaminan modal konvensional boleh diguna pakai
untuk dana jaminan modal berasaskan Syariah. Ini termasuk penggunaan
jaminan pihak ketiga dan fi penjamin. Namun, dana jaminan modal
berasaskan Syariah perlu mematuhi syarat Syariah yang lain termasuk
pelaburan dalam instrumen patuh Syariah.
b) Pelaburan dalam sekuriti yang tidak patuh oleh dana unit amanah Islam
Jika
dana unit amanah Islam melabur dalam sekuriti yang tidak patuh kerana
pengurus unit amanah melanggar surat ikatan amanah, apa jua kerugian
harus ditanggung oleh pengurus unit amanah dan tidak boleh dicaj kepada
dana, kerana tidak wajar kerugian tersebut ditanggung oleh
pelabur/pemegang unit.
sumber: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)
0 Komentar untuk " Soalan-soalan Lazim mengenai Pasaran Modal Islam "