KUALA
LUMPUR 23 Feb. - Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang meminda Garis Panduan
Unit Amanah bagi mengadakan struktur pelbagai kelas produk unit amanah.
Pengerusinya,
Tan Sri Zarinah Anwar berkata, pindaan itu akan membolehkan dana unit
amanah tunggal menawarkan pelbagai kelas unit dengan setiap kelas
memiliki ciri-ciri berbeza seperti yuran dan bayaran yang dikenakan
serta dan mata wang yang digunakan.
Katanya,
peningkatan tahap produk sofistikated dan pilihan pengagihan yang
ditawarkan berdasarkan keperluan industri perlu selaras dengan piawaian
tinggi pengendalian dan pemberitahuan jualan.
''Kita akan
sentiasa mengkaji garis panduan sedia ada berdasarkan maklum balas yang
diterima daripada pelbagai pemegang kepentingan, selain pemantauan
pembangunan antarabangsa.
''Industri
ini berkembang dan kita perlu lebih inovatif, mencari jalan baru yang
lebih baik untuk memberi pelabur banyak pilihan bagi memenuhi kehendak
mereka,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Edge-Lipper Starmine 2010 di sini hari ini.
Sebagai
contohnya, katanya, para pelabur diberi pilihan untuk memilih atau
membayar yuran pendahuluan dengan yuran tahunan lebih rendah atau yuran
tahunan lebih tinggi bagi menggantikan yuran pendahuluan.
Tambah
beliau, pendekatan tersebut akan membolehkan pelabur mendapat padanan
yang lebih baik bagi rujukan pelaburan untuk kumpulan pelabur berbeza.
Zarinah
berkata, dengan pilihan mata wang akan memberi kemudahan pemasaran
kepada pelabur asing yang melabur secara terus dalam mata wang
masing-masing berbanding terpaksa melakukan pertukaran mata wang dalam
ringgit ketika ini.
''Pendekatan ini juga adalah sama sekiranya pelabur tempatan mahu terdedah kepada pelaburan asing,'' ujarnya.
Terdahulu,
ketika menyampaikan ucaptamanya, Zarinah menyeru industri unit amanah
tempatan terus meluaskan rangkaian produk dan pasarannya.
Tegas
beliau, negara mempunyai kelebihan sebagai pusat Pasaran Modal Islam dan
kini memiliki 144 unit amanah berlandaskan Syariah.
Beliau
menambah, pengantara unit amanah tempatan merupakan yang terbaik di
rantau ini dan mempunyai kedudukan baik untuk memainkan peranan
signifikan dalam arena serantau.
''Sekarang
industri mesti meningkatkan cabaran dengan meluaskan rangkaian dengan
pasaran-pasaran lain dan memperbaiki kecekapan di peringkat
antarabangsa, dengan kelebihan kemudahan rangka kerja perundangan yang
telah diwujudkan,'' katanya.
(Utusan Malaysia/4 Februari 2010)
0 Komentar untuk " SC pinda garis panduan unit amanah "