Utama daging tempatan mampu 'hapus' kartel - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Utama daging tempatan mampu 'hapus' kartel

PENGURUSAN halal di negara ini diiktiraf antara terbaik di dunia. Justeru, pendedahan isu kartel daging diragui statusnya boleh mencalarkan imej penguatkuasaan dan pengurusan halal.

Ditambah dengan fitnah dilakukan pihak tidak bertanggungjawab, selain beberapa undang-undang dan penguatkuasaan perlu dinilai semula, isu ini menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam.

Dewan Negara turut membahaskan usul tergempar mengenai isu ini seperti dibawa Asmak Husin, mewakili suara rakyat menantikan pencerahan daripada pihak bertanggungjawab.

Penerangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), banyak perkara yang sebelum ini dibahaskan samar-samar, akhirnya jelas kepada rakyat.

Tingkatkan pengeluaran daging tempatan, tangani segera salah urus

Sedar atau tidak, negara kita berhadapan dengan cabaran jaminan keselamatan makanan. Agak pelik, selepas 63 tahun negara subur menghijau ini merdeka, mengapa industri pertanian dan penternakan atau industri mengeluarkan makanan tempatan, masih berada pada takuk lama, bahkan tidak dibangunkan oleh pihak bertanggungjawab.

Penjenamaan industri atas nama pertanian pernah dianggap sebagai langkah mundur. Natijahnya, beras pun terpaksa diimport dari negara jiran. Begitulah juga dengan daging import, sedangkan lembu, kambing dan kerbau di negara kita, berada di mana-mana termasuk di atas jalan raya.

Dengan kebergantungan kepada daging import, rantaian perbekalan untuk sampai ke negara ini melalui proses panjang. Mungkin bermula dari ladang ternak pekan kecil di Brazil, kemudian disembelih. Ia kemudian dibungkus dan disejuk beku sebelum dimasukkan ke dalam kontena.

Kemudian daging berkenaan dihantar dengan kapal laut. Sampai di pelabuhan di negara ini, ia dikeluarkan daripada pembungkusan, kemudian dibungkus semula atas jenama tempatan, sebelum dipasarkan dan dijual di rak pasar raya.

Rantaian ini terlalu panjang, sekali gus memungkinkan berlakunya pengkhianatan pada mana-mana titik transit rantaian.

Senario ini membuktikan bahawa pentingnya pihak bertanggungjawab membuat tinjauan semula terhadap jaminan keselamatan makanan rakyat Malaysia. Inisiatif supaya menyokong industri pemakanan lokal perlu dilakukan.

Di negara maju, pasar raya utama akan sentiasa mengutamakan bekalan makanan daripada sumber terdekat, jika boleh dari daerah sama. Ini akan menggalakkan industri tempatan, selain mengelakkan monopoli.

Malah lebih penting, rantaian perbekalan makanan akan lebih pendek dan kemungkinan berlakunya pengkhianatan adalah rendah.

Isu ini juga mengajar kepada kita bahawa industri halal bukan membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sahaja, terutama bekalan import, banyak pemegang taruh lain terbabit seperti KPDNHEP, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Namun, paling kritikal ialah syarikat pemegang lesen dan pembekal. Sekiranya pemain industri lebih mengutamakan keuntungan dan mengabaikan integriti, maka pengguna akan terus menjadi mangsa.

Oleh itu, kesungguhan pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan ke atas kartel yang mungkin sudah pun bertahun-tahun 'rasa sedap' dengan monopoli dan kekuasaan pemasaran dimiliki, amatlah dinantikan oleh rakyat.

Sekiranya tindakan ini dapat diambil, integriti dapat dipertingkat, permintaan boleh dipenuhi, bekalan daging semakin segar dan berkualiti, manakala harga boleh dilaraskan kembali.

Walau apapun situasinya, pengguna akan terus menjadi mangsa. Sementara menanti langkah tuntas pihak bertanggungjawab, pengguna perlu memainkan peranan kerana akhirnya yang akan menghidangkan dan menghadap juadah daging di atas meja makan, ialah pengguna sendiri.

Pada waktu inilah pesanan Rasulullah SAW perlu diteladani kerana Baginda pernah menyatakan apa yang halal dan haram adalah jelas, cuma antara kedua-duanya ada syubhah. Maka jauhilah perkara syubhah.

Sekiranya pengguna menggunakan kuasa kepenggunaan dengan mengelakkan daging syubhah, kembali mengutamakan ajaran sunah dan mengutamakan produk tempatan, maka tiadalah peluang lagi kepada kartel untuk berterusan menikmati kuasa pasaran mereka sehingga kelabu mata demi keuntungan.

Penulis adalah Ketua Program Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/12/770607/utama-daging-tempatan-mampu-hapus-kartel

0 Komentar untuk " Utama daging tempatan mampu 'hapus' kartel "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ