KELULUSAN Belanjawan 2021 dan pengumuman ketersediaan vaksin COVID-19 di Malaysia pada Februari depan satu perkembangan menggembirakan negara, walaupun terdapat ketidakpastian mengenai jangkitan harian empat digit sekarang dapat diturunkan kembali kepada satu atau dua digit.
Realitinya, vaksin bukanlah penyembuh COVID-19. Ia setakat pencegahan jangkitan virus yang memberi peluang besar kepada industri penjagaan kesihatan dan farmaseutikal untuk menjalankan penyelidikan mencari penawarnya.
Namun, apa lebih penting pihak berwajib perlu memulakan perancangan strategik menginokulasi penduduk dengan vaksin COVID-19 secara cekap dan berkesan. Sebarang salah langkah akan menjadikan Malaysia bahan lucu dunia.
Penting untuk mengenal pasti minda terbaik negara dalam pelbagai bidang - perubatan, penyakit berjangkit, logistik, keselamatan, media dan komunikasi, saintis data, penyelidik dan pakar teknologi revolusi industri keempat (IR4.0) - untuk disertakan dalam jawatankuasa perancang strategi peringkat tinggi.
Sekumpulan pakar juga harus dihantar ke Singapura atau negara lain yang sudah mula menginokulasi penduduk mereka bagi tujuan pemerhatian dan pemantauan. Melalui pasukan ini, amalan terbaik yang sesuai dengan konteks Malaysia dapat dilaksanakan apabila tiba masanya.
Ringkasnya, apa perlu dilakukan mulai sekarang adalah keputusan meluluskan vaksin COVID-19 harus dibuat segera, sekurang-kurangnya sebelum Februari.
Satu berita baik apabila Pfizer menyerahkan dokumen untuk dinilai Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Nasional di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia. Setakat ini, PBKD belum meluluskan sebarang vaksin COVID-19.
Amalan pengagihan baik bermula vaksin meninggalkan lokasi pembuatan hingga ke titik pemberiannya kepada pesakit atau individu sihat, mesti dirancangkan sekurang-kurangnya sebelum Februari juga.
Harapannya, selepas semuanya selesai, jawatankuasa ini akan meninggalkan infrastruktur yang akan sangat berguna sekiranya berlaku satu lagi pandemik pada masa depan.
Dari segi ekonomi, apabila keadaan menjadi lebih baik di medan COVID-19, ia pastinya mempunyai impak segera yang lebih baik kepada ekonomi negara.
Malah, Bank Pelaburan Asia Pasifik mengatakan kadar pertumbuhan Malaysia dijangka meningkat semula menjadi 6.6 peratus pada 2021 susulan pemulihan penggunaan domestik dan asing negara.
Memetik kata-kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chris Wang, "Oleh kerana kenaikan permintaan domestik dan harga bahan bakar, kadar inflasi nasional diramalkan meningkat sedikit hingga 1.1 peratus dan akan terdapat tahap pemulihan serta pembangunan yang tidak serata di pelbagai sektor domestik".
Nampaknya, lebih banyak penganalisis dan ahli strategi kewangan mengatakan 2021 dapat membawa perubahan dalam naratif, ketika ekonomi dunia merangkak keluar dari awal 2021 sebelum bangkit kembali, apabila vaksin dan rangsangan fiskal mengalir ke dalamnya.
Menurut pakar di Morgan Stanley, walaupun cabaran masih ada, pemulihan global akan berlaku secara berterusan, segerak dan disokong dasar seperti mana terjadi pada pasca kemelesetan sebelum ini.
Ia meramalkan pengembangan 6.4 peratus ekonomi dunia pada 2021 berbentuk V, dengan tiga faktor utama yang akan mencirikan tahap pemulihan seterusnya – pertumbuhan global yang diselaraskan, pemulihan pasaran yang baru muncul dan kembalinya inflasi.
Penilaian optimis ramai penganalisis itu sangat logikal jika melihat pemulihan akan bermula daripada dasar lebih rendah selepas COVID-19, mengakibatkan kekacauan dan kehancuran dalam ekonomi.
Pada awalnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global kemungkinan akan dilonjakkan pasaran baharu muncul.
Ketika pasaran maju muncul daripada penguncian kota musim sejuk baru-baru ini, mereka dapat meningkatkan lagi lonjakan ekonomi global. Menjelang Mac atau April, semua geografi dan semua sektor ekonomi global akan bergerak searah dalam pemulihan.
Pertumbuhan ini akan didorong perbelanjaan pengguna yang hampir kembali ke tahap pra-pandemik. Amerika Syarikat (AS) contoh klasik apabila rata-rata pendapatan peribadi isi rumahnya melepasi tahap pra-pandemik pada September, walaupun selepas pusingan pertama sokongan fiskal tamat.
Ini menunjukkan pemulihan AS berterusan. Diambil kira pemulihan China yang sedang berlaku, kedua-dua perkembangan ini petanda baik bagi ekonomi Malaysia, kerana kedua-dua negara adalah rakan dagang utama kita.
Dalam medan politik, iklim politik tidak stabil akan sedikit reda pada bulan mendatang, kerana setiap ahli politik sedar selagi jangkitan harian berada dalam lingkungan empat digit dan ekonomi di landasan pemulihan, pilihan raya mengejut tidak akan diadakan.
Moga jeda peralihan ini digunakan ahli politik untuk merenung diri dalam mewujudkan suasana di mana politik berkurangan akan membawa kepada ekosistem politik matang dan stabil pada masa depan.
Usaha ke arah ini dilakukan ketika Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, menganggap pembangkang Pakatan Harapan (PH) sebagai 'rakan strategik' dan memperuntukkan tiga kali ganda untuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk pembangkang dalam Belanjawan 2021 negeri itu – daripada RM50,000 hingga RM200,000.
Ini diikuti Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, yang memberikan peruntukan sama kepada semua ADUN.
Bahkan pada peringkat Persekutuan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak menolak kemungkinan kerajaan bekerjasama dengan blok pembangkang dalam hal penting mengenai negara, terutama mengenai ekonomi dan cara memerangi COVID-19.
Yang di-Pertuan Agong melalui perutusan tahun baharu juga menasihati ahli politik untuk berhenti bertelagah dan memajukan agenda mereka, yang boleh menjejas kestabilan negara.
Akhir kata, 2021 sememangnya menjadi tahun baik untuk memastikan wang yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 untuk setiap kementerian akan dibelanjakan dengan bijak dan telus melalui pengenalan metrik 'input-output-impak-hasil' untuk memastikan rakyat yang akan memperoleh manfaat.
Amalan semasa yang hanya memfokuskan input-output tidak memadai untuk menghentikan kebocoran dan penjarahan pendapatan serta perbelanjaan kerajaan.
Semoga 2021 tahun yang menjanjikan harapan cerah untuk semua selepas menjalani liku hidup yang penuh pancaroba pada 2020.
Penulis adalah Pengarah Media dan Komunikasi di EMIR Research
0 Komentar untuk " Vaksin harapan ke arah pemulihan ekonomi global "