BAHAYA dua sifat nafsu yang diungkapkan Imam al-Ghazali sebagai peringatan penting kepada umat Islam, ialah nafsu babi dan anjing.
Sifat babi melambangkan rakus, serakah dan tamak hingga tidak mengira hak sesiapa, bahkan melanggar sempadan halal-haram, manakala sifat anjing simbol kepada jiwa buas, marah serta menyalakan api permusuhan.
Pada satu sisi, manusia dikuasai sifat babi memperlihatkan kerakusan, keserakahan dan ketamakan dalam memperoleh harta serta kuasa dengan cara di luar batas syarak dan undang-undang.
Namun, sisi satu lagi, manusia dikendali sifat anjing akan ghairah melawan, menentang dan mencabar, tetapi bukan atas dasar kebenaran serta keadilan. Sebaliknya disebabkan maraknya kemarahan dalam hati.
Dua sifat nafsu itu mengikut Imam al-Ghazali wujud dalam hati, bergantung sejauh mana dua sifat berikutnya dapat mengekang dan mengendalikannya.
Sekiranya hati seseorang itu bersifat ketiga, iaitu budiman atau bijaksana, ia akan berjaya mengawal kedua-dua sifat itu hingga dikekang dalam sempadan hak dan halal, tetapi pada masa sama, amarahnya terkawal mengikut neraca keadilan yang benar.
Bagaimanapun, sekiranya sifat babi dan anjing itu dikawal sifat keempat, iaitu syaitan, maka ia akan membangkitkan syahwat babi hingga melanggar sempadan dan mengambil apa yang tidak menjadi haknya atau membebaskan ibarat anjing menerkam sesiapa sahaja.
Analogi Imam al-Ghazali itu pernah diungkapkan ilmuwan Islam terkemuka di Amerika Syarikat (AS), Sheikh Hamza Yusuf yang mengaitkannya dalam konteks pemerintah dengan pengkritik dalam menangani isu perlanggaran hak dan salah guna kuasa.
Sejak awal tahun ini, umat Islam di negara ini sebenarnya menyaksikan bagaimana tafakur ilmiah Imam al-Ghazali itu boleh diterjemah dalam peristiwa semasa berkaitan ekonomi dan politik.
Pembentangan kertas putih FELDA dan pemulihan Tabung Haji (TH) umpamanya, memberikan kesempatan kepada kita menelaah serta bertafakur bagaimana kedua-dua sifat itu memerlukan seorang budiman, bukan menjadi syaitan yang memanipulasinya.
Pada satu sisi, kita melihat kesan apabila sifat babi dibiarkan bermaharajalela, tetapi kita juga perlu beringat supaya tidak terbawa-bawa dengan ciri anjing supaya ia kekal dalam ranah keadilan dan bukannya melepaskan perasaan amarah semata-mata.
Dalam mengawal dan mengendalikan kedua-dua sifat itu, Rasulullah SAW membawa syariat dan sunah yang sangat berkait dengan aspek kerohanian.
Kesepaduan antara latihan fizikal dengan spiritual atau amalan zahir dengan batin tidak boleh dipisahkan dalam apa juga ibadat dalam Islam.
Amalan zahir yang dikawal dalam kerangka fiqh dan batin yang dipelihara dalam ranah tasawuf, dapat menjadikan kedua-dua ciri hati berbahaya itu tunduk kepada ciri budiman atau bijaksana.
Justeru, bertepatan dengan kita berada pada laluan Syaaban menuju Ramadan, antara latihan dan amalan yang dapat memastikan nafsu dapat dikawal adalah dengan berpuasa.
🔥Tiga tahap puasa🔥
Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin membahagikan tahap berpuasa kepada tiga, iaitu umum, khusus dan khususil khusus, bergantung sejauh mana individu dapat mengekang hawa nafsunya daripada segenap keadaan dan sisi.
Kategori umum ialah puasa orang awam hanya menahan lapar, dahaga dan naluri seksual yang boleh menyebabkannya terlepas daripada taklif atau tanggungjawab syarak.
Bagaimanapun, kategori puasa ini terdedah kepada peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Boleh jadi orang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar.” (HR Ibnu Majah)
Dua kategori puasa berikutnya adalah sasaran sebenar umat Islam yang menahan seluruh anggota badan daripada segala bentuk dosa, manakala tahap tertinggi adalah menundukkan hati daripada kepentingan serta kehendak duniawi.
🔥Hayati falsafah puasa🔥
Falsafah dan amalan puasa holistik sekiranya dihayati serta diamalkan dapat memperkuatkan sifat budiman atau bijaksana dalam hati seperti diterangkan Imam al-Ghazali itu.
Berdasarkan perlambangan haiwan itu, sifat anjing dapat menguasai sifat babi hingga mengawalnya daripada terus rakus, serakah dan tamak untuk menikmati perkara yang bukan menjadi hak atau dilarang.
Pada masa sama, sifat anjing itu pula berada di bawah kawalan akal rohani supaya tidak bermaharajalela dalam menerkam dan mencengkam, sebaliknya tunduk perintah di bawah prinsip keadilan.
Sekiranya Muslim dapat menguasai hati melalui amalan dan latihan secara holistik dalam agama, barulah dapat menguruskan kehidupan dan menunaikan tanggungjawab tidak kira tanpa mengira sebagai kerajaan, pembangkang mahupun rakyat yang ingin menyatakan pandangan.
Oleh Nazmi Yaakub
Penulis adalah Pengarang Sastera dan Agama
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/04/554772/kawal-dua-nafsu-keji-dengan-hayati-amalan-puasa
0 Komentar untuk " Kawal dua nafsu keji dengan hayati amalan puasa "