Caj 20 sen beg plastik beri mesej salah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Caj 20 sen beg plastik beri mesej salah


SEDEKAD lalu, Pulau Pinang melaksanakan larangan penggunaan beg plastik konvensional bertujuan mendidik orang ramai supaya mengurangkan penggunaannya untuk menjamin kelestarian alam sekitar.

Kempen tiada beg plastik percuma di pasar raya diadakan pada setiap Isnin mulai Julai 2009, sebelum diperluaskan secara berperingkat kepada Isnin, Selasa dan Rabu pada 2010.

Sepanjang kempen itu, pelanggan dikenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikan kepada mereka untuk mengisi barangan yang dibeli di premis berkenaan. Larangan penggunaan sepenuhnya dikuat kuasa mulai 2011, namun beg plastik masih diberikan kepada pembeli yang sedia membayar 20 sen.

Kutipan hasil daripada ‘penjualan’ beg plastik itu disalurkan kepada kerajaan negeri untuk pelaksanaan Agenda Ekonomi Saksama (AES). Langkah diperkenalkan kerajaan Pulau Pinang itu kemudian dilaksanakan di negeri lain dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik, termasuk Selangor dan Wilayah Persekutuan, selain beberapa negeri dalam perancangan untuk melaksanakannya.

Berbanding negeri lain, Melaka lebih tegas dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik kerana larangan dikuat kuasa sepenuhnya sejak Jun 2016, yakni peniaga tidak dibenarkan menyediakan beg plastik untuk pelanggan. Sebaliknya, mereka diwajibkan menyediakan beg mudah terurai bagi menggantikan beg plastik tanpa mengenakan sebarang caj ke atas orang ramai.

🔥Tujuan sebenar peraturan🔥

Memang diakui kempen dilaksanakan dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik berjaya memupuk kesedaran masyarakat mengenai keburukan penggunaan plastik terhadap alam sekitar.

Persoalannya, adakah pihak berkuasa benar-benar serius melarang orang ramai menggunakan beg plastik konvensional dengan mengenakan caj 20 sen? Adakah peraturan itu demi menjaga alam sekitar atau untuk kepentingan pemilik pasar raya dan pihak terbabit dalam industri berasaskan plastik?

Sebelum caj 20 sen diperkenalkan, peniaga menanggung kos menyediakan beg plastik di premis masing-masing. Dengan kos tidak sebesar manapun, mungkin sekadar lima sen setiap beg plastik, mereka mampu menyerapnya dalam operasi harian perniagaan masing-masing.

Bagaimanapun, dengan pelaksanaan caj 20 sen, pelanggan yang selama ini mendapatnya percuma terpaksa membayarnya. Berapa yang perlu dibayar, bergantung kepada berapa banyak plastik diminta.

Kalaulah benar bermatlamat menjaga alam sekitar, sepatutnya beg plastik konvensional diharamkan terus penggunaannya, bukannya dengan membuat peraturan memaksa pembeli membayar. Orang ramai sedia membayar caj itu untuk keselesaan mereka membawa pelbagai jenis barang dibeli, apatah lagi kalau ia barangan basah.

Apabila ini yang berlaku, matlamat akhir kempen ini tidak akan berkesan. Di Pulau Pinang, kutipan caj 20 sen terkumpul sejak peraturan itu dilaksanakan pada 2009 antara RM8 juta hingga RM9 juta. Rekod juga menunjukkan kadar penggunaan beg plastik di negeri itu berkurangan kira-kira 50 peratus.

Kini, kerajaan negeri itu pula bercadang menaikkan caj kepada 50 sen. Bagaimana pula dengan kutipan hasil penjualan beg plastik di negeri lain. Adakah ia turut disalur kepada kerajaan negeri dan bagaimana pemantauan dilakukan untuk pastikan pemilik pasar raya berbuat demikian.

🔥Larangan beri mesej salah🔥

Bagaimana pula kalau peniaga mengenakan caj 20 tetapi tidak menyerahkannya kepada kerajaan negeri. Kalau ini yang berlaku, siapa yang mengaut keuntungan?

Inilah antara perkara yang perlu ditangani pihak berkuasa berhubung isu kutipan caj 20 sen ke atas pelanggan premis perniagaan di seluruh negara. Justeru, kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif memperkenalkan peraturan seragam di seluruh negara berhubung larangan penggunaan beg plastik, termasuk dari segi tindakan ke atas peniaga yang gagal mematuhinya, bukannya menyerahkan bulat-bulat kepada kerajaan negeri sehingga menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat.

Dengan mengenakan caj itu juga seolah-olah pihak berkuasa masih berkompromi dengan penggunaan beg plastik konvensional walaupun menyedari ia mengambil masa kira-kira 500 tahun untuk proses pereputan. Ia juga akan memberi gambaran kepada orang ramai bahawa masalah yang timbul daripada penggunaan plastik boleh diperbaiki dengan menggunakan hasil kutipan caj untuk melaksanakan inisiatif pemuliharaan alam sekitar.

Sebenarnya, caj dua kupang ini memberi mesej salah kepada orang ramai berhubung kempen melarang penggunaan beg plastik konvensional. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Kalau benar mahu melarang penggunaan beg plastik, jangan benarkan pasar raya dan peniaga menyediakannya.

Jika peniaga masih berdegil, ambil tindakan yang sewajarnya. Jangan pula ambil kesempatan daripada sikap tidak peduli orang ramai yang tidak kisah membayar 20 sen untuk membiarkan pihak lain meraih keuntungan.

Oleh Fazli Abdullah
Penulis adalah Pengarang Berita BH

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/04/554359/caj-20-sen-beg-plastik-beri-mesej-salah
0 Komentar untuk " Caj 20 sen beg plastik beri mesej salah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ