KUALA LUMPUR: Mungkin masih ramai ingat bagaimana nama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mula menjadi sebutan hangat masyarakat sekitar Oktober 2018.
Heboh dan kecoh apabila kementerian beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan peraturan larangan merokok di semua premis makanan diperluaskan meliputi semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak, juga yang berkonsep terbuka dan gerai penjaja.
Ini kerana berbanding inisiatif lain yang diperkenalkan beliau dalam usaha menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan holistik dan berkualiti kepada rakyat, keputusan itu nyata menjadi kontroversi dan perdebatan penuh sensasi.
Pelbagai kecaman dilontarkan kepada KKM oleh perokok tegar manakala bagi perokok pasif (seseorang yang tidak merokok tetapi menghidu asap rokok) pengumuman itu dianggap sebagai “hadiah amat berharga” buat mereka.
Namun begitu, KKM di bawah pengemudian Dr Dzulkefly sedikit pun tidak goyah dan tetap melaksanakan undang-undang tersebut yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 walaupun berdepan serangan demi serangan oleh pelbagai pihak yang menentang.
Malah, beliau dengan lantang menegaskan pendirian yang mendahulukan dan mengangkat kepentingan orang awam serta tidak bimbang akan kehilangan undi pada pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) pada 2019 susulan pelaksanaan undang-undang tersebut.
Bagi kalangan pemerhati akademik, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang ramai, komitmen jitu KKM dalam melaksanakan penguatkuasaan tersebut yang bertujuan melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok, dilihat sebagai pencapaian terbesar KKM selepas setahun di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Larangan merokok di kawasan awam dan Akta Kawalan Tembakau yang sedang dirangka KKM dan akan diperkenalkan pada akhir tahun ini menunjukkan kesungguhan serta komitmen kerajaan dalam menangani isu-isu kesihatan berkaitan rokok.
“Diharap usaha KKM mempromosikan langkah pencegahan dalam penjagaan kesihatan memberi peringatan kepada masyarakat mengenai bahaya asap rokok sekali gus menggalakkan mereka mengambil berat kepentingan gaya hidup sihat,” kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Mohamed Namazie Ibrahim kepada Bernama baru-baru ini.
Larangan merokok di tempat makan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 ini menyebut perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.
Menjelaskan lebih lanjut mengenainya, beliau berkata, langkah berani KKM itu adalah tepat dan sewajarnya kerana ia bertujuan menjamin kesihatan masyarakat pada jangka masa panjang.
Seperti diketahui, tabiat merokok bukan sahaja membuatkan individu ketagihan rokok itu maut tetapi juga meliputi orang awam di sekitar yang turut sama menyedut asap yang mengandungi kira-kira 4,000 bahan kimia beracun itu.
“Pelbagai masalah kesihatan serius akibat rokok pada jangka masa panjang seperti penyakit jantung, kanser paru-paru di mana ia merupakan antara 14 jenis barah utama paling digeruni,” katanya.
Selain itu, penguatkuasaan peraturan ini juga dilihat selari dengan matlamat KKM yang memberi fokus kepada pendekatan bersifatkan ‘pencegahan’ berbanding ‘penyembuhan’, kata Penyelaras Inisiatif @SmokeFreeMY, Muhammad Sha’ani Abdullah.
Ini kerana, kos rawatan kesihatan untuk penyakit berpunca pendedahan asap rokok menjangkau lebih RM3 bilion setahun dan ia adalah berlipat kali ganda lebih tinggi daripada kutipan cukai yang dikutip daripada produk tembakau.
“Pencegahan majoriti penduduk hampir 80 peratus yang tidak merokok dari terdedah kepada asap rokok sekunder dengan mudah dilindungi daripada bahaya ini menerusi pelaksanaan peraturan tersebut. Ini adalah cara termurah, paling berkesan menjamin kesihatan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, penguatkuasaan kawasan larangan merokok di premis makan terbuka membuatkan ramai pelanggan berkeluarga dapat menikmati makanan dengan gembira dan selamat tanpa bimbang terdedah bahaya asap rokok seperti sebelum ini.
“Kalau dahulu kita dapati pelanggan yang membawa anak kecil terpaksa reda atau keluar ke restoran lain disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah perokok.
“Bagaimanapun, keadaannya berbeza sekarang. Biarpun ada sesetengah tempat masih ada perokok degil merokok di premis makanan, namun situasinya tidak lagi seperti dahulu,” katanya.
Dalam satu kajian yang dijalankan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia bermula 1 April 2019 hingga 17 April 2019 melibatkan 173 tempat makan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan kebanyakan masyarakat sudah mula tidak merokok di kawasan diwartakan.
Malah satu tinjauan dijalankan KKM turut mendapati rata-rata masyarakat mematuhi larangan ini secara baik dan ia dapat memberikan impak positif apabila semakin ramai warga Malaysia dapat menikmati udara bersih dan persekitaran tempat makan lebih selesa.
Impak positif juga dapat dilihat apabila bilangan perokok yang mendaftar untuk berhenti merokok di laman web jomquit.moh.gov.my meningkat kepada 580 orang bermula Januari 2019 hingga April 2019, berbanding purata 428 orang bagi tahun-tahun sebelumnya.
Berkaitan tempoh penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di tempat makan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, beliau berkata ia adalah langkah terbaik bagi memberikan peluang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan pengetahuan mengenai bahaya asap rokok.
Sebelum ini, tempoh mendidik larangan merokok di tempat awam bakal berakhir Julai ini selepas tempoh mendidik selama enam bulan diberikan sebelum kompaun dikeluarkan tetapi kini ia dilanjutkan.
Selain kejayaan tersebut, Pakar Perunding Paru-Paru Pusat Perubatan Pakar UiTM, Prof Dr Mohammed Fauzi Abdul Rani, berkata matlamat KKM yang memberi fokus kepada pendekatan bersifatkan ‘pencegahan’ berbanding ‘penyembuhan’ juga dapat dilihat menerusi strategi melawan penyakit tidak berjangkit (NCD).
Ini dapat dilihat menerusi inisiatif memperkenalkan program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi fokus terhadap NCD.
PeKa B40 yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dengan peruntukan permulaan RM100 juta itu dan bakal memanfaatkan seramai 800,000 orang akan memberi tumpuan kepada penerima Bantuan Sara Hidup dan pasangannya yang masing-masing berumur 50 tahun ke atas.
“Berdasarkan laporan sebelum ini mendapati lebih ramai golongan B40 menghidap NCD berbanding kumpulan lain seperti M40 dan T20.
“Justeru, saya rasa pengenalan PeKa merupakan suatu inisiatif sangat baik bagi menggalakkan kumpulan ini mendapatkan pemeriksaan seawal mungkin dan rawatan sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya komplikasi akibat NCD,” katanya.
Sejak skim ini diperkenalkan pada 15 April 2019, ia telah memanfaatkan seramai 2,443 orang menjalani saringan kesihatan sehingga 29 April 2019.
Di bawah skim ini, antara manfaat yang diterima adalah saringan kesihatan, bantuan alat perubatan (had maksimum RM20,000), insentif melengkapkan rawatan kanser (RM1,000) serta insentif tambang pengangkutan (had maksimum RM500 untuk Semenanjung atau RM1000 untuk Sabah/Sarawak/Labuan).
“Skim PeKa ini melibatkan kerjasama swasta dan kerajaan di mana mereka yang layak boleh membuat ujian saringan kesihatan di mana-mana klinik swasta yang berdaftar dengan program PeKa secara percuma.
“Tetapi, apabila kena buat rawatan mereka perlu mendapatkannya di klinik dan hospital kerajaan. Biarpun demikian, inisiatif ini sangat baik kerana untuk membuat ujian saringan kesihatan di klinik swasta bukannya murah.
“Begitu juga rawatan kanser dan bantuan alat perubatan di hospital kerajaan. Ini semua akan membantu meringankan beban mereka,” katanya yang juga bekas Dekan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara, (UiTM).
Menurut Prof Dr Mohammed Fauzi, transformasi perkhidmatan sistem penyampaian kesihatan yang dibawa KKM dengan menggalakkan jalinan kerjasama antara sektor kesihatan awam dan swasta adalah bertepatan dengan masanya.
Menerusi penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan yang ditubuhkan pada 27 Mac 2019, usaha meningkatkan kerjasama tersebut bagi menambah baik sistem kesihatan di negara ini dilihat berada pada kedudukan positif dan mampu direalisasikan.
Dilaporkan hospital awam menerima kira-kira 60 hingga 70 peratus pesakit sementara kapasiti dan fasiliti yang ada hanyalah 40 ke 50 peratus sahaja. Sebaliknya di pihak swasta, berlaku lebihan kapasiti yang mana mempunyai 60 peratus kapasiti dan fasiiti tetapi hanya mengendalikan 40 peratus pesakit sahaja.
“Hakikatnya, negara bukan sahaja menghadapi kekurangan doktor pakar bahkan juga kemudahan hospital seperti katil. Contohnya, negara kekurangan kira-kira 16,000 buah katil.
“Justeru dengan jalinan kerjasama ini kita lihat ia dapat membantu menyelesaikan masalah membelenggu sektor kesihatan awam seperti tempoh menunggu doktor yang lama terutamanya pakar serta kesesakan mendapatkan kemudahan kesihatan awam,” katanya.
Kementerian Kesihatan (KKM) turut melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha memperkasakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat. Ini termasuk menubuhkan satu Jawatankuasa Kerja (task force) bagi mengkaji kebolehlaksanaan tindakan mewajibkan imunisasi.
KKM juga sedang berusaha mengawal harga ubat yang akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan akses ubat-ubatan pada harga berpatutan kepada rakyat dan penyusunan semula perkhidmatan Klinik 1Malaysia kepada Klinik Komuniti.
Klinik Komuniti ini akan ditambah nilai dengan menempatkan Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi di fasiliti terpilih secara berperingkat.
Bagi warga kerja KKM, kebajikan mereka turut menjadi kepentingan menerusi penambahbaikan program pegawai perubatan siswazah (housemen), penamatan perkhidmatan Ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital atas kes salah laku seksual dan program ‘Junior Doctors Quandry’. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/05/561508/bebas-rokok-premis-makanan-terbuka-antara-kejayaan-terbesar
0 Komentar untuk " Bebas rokok premis makanan terbuka, antara kejayaan terbesar Kementerian Kesihatan "