WALAUPUN industri padi wujud sekian lama, demi subsidi setahun ke setahun pelbagai campur tangan pasaran dan sokongan dilaksanakan. Namun selepas enam dekad, petani masih terperangkap desakan hidup atau kemiskinan.
Hampir 90 peratus pengeluaran padi diusahakan petani dalam kumpulan B40. Subsidi pula meningkat daripada RM500 juta pada 1990-an kepada RM2.2 bilion pada 2016 dan dikurangkan kepada RM1.7 bilion pada 2017.
Industri padi dan beras menerima suntikan subsidi komprehensif berbanding komoditi lain, kerana kepentingan sekuriti makanan. Harga siling beras ditetapkan, tetapi harga beras berkualiti dan istimewa diapungkan.
Agihan baja dimonopoli Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), mewakili Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Dalam rantaian bekalan, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) diberi konsesi mengimport 30 peratus keperluan beras negara, di samping melaksanakan tanggungjawab sosial.
Ini termasuk mengagih subsidi kepada petani, memastikan harga stabil kepada pengguna, berfungsi sebagai pembeli terakhir untuk padi petani, menguruskan stok penimbal dan membantu kilang beras Bumiputera.
Dalam persekitaran struktur sebegini, persoalannya mengapa petani masih terperangkap kemiskinan dan apakah ada jalan keluar?
Pengalaman negara luar membuktikan pemberian subsidi ada manfaatnya, tetapi tidak perlu secara berterusan. Setiap subsidi perlu ada tempoh tamat, sehingga matlamatnya tercapai. Contohnya pemindahan teknologi. Selepas dicapai, petani harus mampu berdikari.
Di Malaysia subsidi tiada nokhtahnya. Objektif ketika era Revolusi Hijau adalah memudahkan pemindahan teknologi, tetapi kini untuk mengurangkan beban kos pengeluaran. Objektif asal dicapai, tetapi beban kos terus meningkat walaupun dengan subsidi.
Begitu juga pemasaran yang difungsikan badan separa kerajaan (dahulu Lembaga Padi dan Beras Negara dan kini BERNAS) adalah model pemasaran yang terbukti tidak efisien seperti di Indonesia, Filipina, India dan Bangladesh.
Pada 1971, sebelum LPN ditubuhkan terdapat 974 pengilang beras (kecil dan sederhana) yang saling bersaing dan paling menarik, 60 peratus milik petani melalui koperasi. Ringkasnya, petani turut terbabit kegiatan nilai tambah.
Dengan kewujudan kilang besar LPN kemudian BERNAS, kilang beras koperasi kecil dan sederhana tidak mampu bersaing, lantas gulung tikar. Kini terdapat 197 kilang pengisar beras yang rata-rata bersaiz besar dan petani pula berdepan satu atau dua kilang pembeli sahaja.
🔥Tutup peluang petani ceburi kegiatan nilai tambah🔥
Perubahan struktur menutup peluang petani menceburi kegiatan nilai tambah. Halangan kemasukan sektor perkilangan menyebabkan pembangunan PKS kilang padi dan beras terbantut.
Kenaikan harga minimum terjamin (HMT) kepada RM1,200 pada 2014 menyebabkan kos bahan mentah kepada kilang beras bersaiz kecil dan sederhana, lantas mereka gulung tikar kerana kerugian.
Menjelang 2018 wujud situasi berat sebelah. Apabila berunding harga, petani hanya mampu menerima. Apabila HMT ditingkatkan, harga siling beras tidak berganjak, keuntungan pengilang terjejas. Maka pengilang mampu menggunakan kadar pemotongan tinggi ke atas petani untuk menjaga keuntungan bersih mereka.
Petani secara individu dan dalam situasi terdesak hanya menerima keputusan pembeli. Walaupun teknologi persawahan meningkat, malangnya kadar pemotongan padi tinggi minimum 20 peratus.
Lembaga Pemasaran di New Zealand masih bertahan kerana berpaksikan koperatif mewakili pengeluar. Maka ia setara dan berkhidmat untuk petani. Berbeza BERNAS kewujudannya untuk melaksanakan tugas sosial diamanatkan.
Dari segi agihan input, beberapa kajian menunjukkan agihan berpusat melalui NAFAS membabitkan kos transaksi tinggi seperti kelewatan penghantaran. Satu formula untuk semua jenis baja menyebabkan aplikasi baja tidak optimal, kekurangan storan di PPK dan baru-baru ini masalah kebocoran kerana isu tadbir urus lemah.
Sistem agihan baja berpusat mendatangkan dua impak. Pertama, pergantungan petani kepada subsidi baja sehingga melumpuhkan kreativiti dan daya berdikari untuk membuat keputusan sendiri ke atas sawah mereka. Impak kedua membantutkan pasaran input tempatan, terutama di kawasan masyarakat petani seperti di Thailand dan Vietnam.
Bermaksud, industri input Malaysia tipis dan tiada persaingan maka tidak menghairankan kos input tinggi.
Aliran keluar anak muda ke bandar kerana pendapatan lebih lumayan menyebabkan kekurangan buruh di kawasan padi, lantas aktiviti persawahan bergantung kepada mesin dan jentera.
Ia juga mewujudkan sektor pembekal khidmat jentera dan buruh untuk melaksanakan kegiatan di sawah. Ini meningkatkan kos upah kepada petani, sedangkan kenaikan kos pengeluaran tidak ditampung hasil padi yang tinggi. Varieti padi digunakan terbatas kepada sembilan sahaja dalam musim lalu. Petani masih menanti-nanti varieti berdaya tahan kepada perubahan cuaca dan pelbagai penyakit dan serangga.
Dapat dirumuskan bahawa: pertama, struktur pasaran padi dan beras negara tidak berubah; kedua, dalam struktur hampir sama, pendapatan petani tidak bertambah; ketiga, hasil padi tidak meningkat dengan tinggi untuk menampung kos pengeluaran dan keempat, peluang petani menceburi kegiatan nilai tambah tertutup selama 50 tahun selepas pemasaran beras dipacu kilang swasta besar dan LPN, kemudian BERNAS.
Semua gejala ini menyebabkan petani tidak mampu menyara kehidupan dan kesejahteraan untuk meneruskan persawahan.
🔥Tingkat daya upaya petani dengan teknologi baharu🔥
Justeru, apakah jalan keluar daripada masalah ini? Pertamanya, mendayaupayakan petani dengan kemahiran, teknologi baharu (varieti berhasil tinggi), khidmat pengembangan intensif dan meluas, mendayakan koperasi dan PPK supaya mereka boleh berdikari.
Kedua, beri akses dan peluang kepada petani terbabit kegiatan nilai tambah (mengisar beras pilihan mereka) untuk meningkatkan pendapatan. Maksudnya petani, koperasi atau PPK perlu diberi kredit untuk membeli mesin beras kecil dan sederhana untuk mereka miliki dan guna.
Ketiga, beri kebebasan kepada petani memilih sendiri input, racun dan pelbagai sumber sawah diperlukan. Mereka lebih bijak memilih yang terbaik untuk sawah sendiri. Untuk tujuan ini, pasaran input perlu diliberalisasikan iaitu tidak lagi dipusatkan.
Keempat, pasaran beras dan import perlu dipertingkatkan persaingan bagi membolehkan pengilang serta pengusaha kecil dan sederhana bersama berkongsi pasaran. Ini akan mengurangkan kuasa pasaran dan mewujudkan penemuan harga yang lebih terbuka dan saksama.
Kelima, kajian dan pembangunan (R&D) perlu diperhebat dengan varieti berhasil tinggi, menggalakkan pengeluaran padi organik, mesin dan jentera kecil untuk petani, khidmat pengembangan lebih efektif dan intensif, aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membantu petani, khidmat nasihat dan pemantauan dalam membangunkan koperasi yang tulen dan efektif.
Dalam kata ringkas, sara diri petani perlu diperkukuhkan dahulu sebelum mereka menyumbang kepada sara diri beras negara.
Oleh Prof Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad
Penulis merupakan Felo Penyelidik Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM)
https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2019/04/555413/lima-strategi-perkukuh-sara-diri-petani
0 Komentar untuk " Lima strategi perkukuh sara diri petani "