HIDUP bahagia di samping keluarga menjadi impian bagi seorang suami. Tiada guna menjadi suami yang berjaya dalam hidup tetapi rumah tangga porak peranda.
Bahtera yang dibadai gelora dan masalah konflik dalam keluarga, akan dapat harungi dengan adanya ilmu yang diamalkan mengikut landasan al-Quran dan sunnah.
Dalam menjaga rumah tangga yang bahagia dan penuh barakah, suami perlu menjaga setiap ahli keluarganya dari anasir yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.
Allah SWT mengingatkan kepada hamba-Nya melalui firman bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahrim: 6)
Sebagai Rasul diutus Allah SWT untuk membawa rahmat kepada sekalian alam, misi Baginda adalah membina masyarakat rabbani yang dinaungi Nur Ilahi (cahaya ketuhanan).
Pada diri Nabi SAW terpancar akhlak terpuji menjadi sumber ikutan umat (uswatun hasanah). Sejak kecil lagi Baginda ditarbiyah (dididik), dipelihara dan dilindungi Allah SWT.
Baginda diutus ke dunia untuk menyempurnakan budi pekerti mulia, manakala akhlaknya pancaran daripada nilai al-Quran seperti penegasan Saidatina Aisyah RA bahawa akhlak Nabi umpama al-Quran yang bergerak.
Rasulullah SAW diutuskan sebagai ikon ikutan ummah untuk dicontohi termasuk model ikutan terbaik seorang suami. Baginda suami yang berjaya, malah mempunyai ciri suami idaman seluruh wanita yang sentiasa peka terhadap semua permasalahan berkaitan perasaan dan emosi isteri, walaupun perkara kecil dan dianggap remeh.
Dalam mengurus dan mengendalikan rumah tangga, Rasulullah SAW sentiasa bergaul secara terbaik dengan isteri dan ahli keluarga. Baginda sentiasa mendidik, berlaku adil serta berlemah-lembut terhadap isteri-isterinya termasuk tidak pernah memukul dan menghina mereka, sebaliknya sabar dengan kerenah serta sentiasa menyuruh ahli keluarga melakukan kebaikan.
Di tengah kesibukan mengurus umat, Rasulullah SAW mampu menjaga keintiman isterinya. Baginda sering mengingatkan agar umat Islam menghargai dan memuliakan pasangan.
Dengan sifat sangat lembut, Nabi SAW menunjukkan cinta dengan sederhana dan bersahaja seperti memanggil isterinya dengan panggilan manja dan indah hingga mereka akan berasa disayangi dan dihargai.
Contoh keindahan akhlak Rasulullah SAW tercipta bukan semata-mata kerana ingin menjaga hati isteri, sebaliknya keindahan akhlak sudah fitrah keluar dari lubuk hati. Daripada keindahan hati itu, terpancar segala keindahan setiap umat manusia yang memandang, bahkan keindahan akhlak berkenaan diakui semua makhluk Allah SWT.
Rasulullah SAW juga tidak mengabaikan kebersihan diri, malah kebersihan adalah salah satu faktor utama bagi suami. Baginda gemar pada wangi-wangian, malah menyarankan agar umatnya tidak menolak sebarang pemberian wangi-wangian.
Meskipun Rasulullah SAW sebagai pemimpin disegani, Baginda sentiasa peka dan mencuba sedaya-upaya agar isteri tidak tersinggung. Sikap itu ditunjukkan dengan bersahaja, contohnya tidak segan mandi bersama, makan dan minum berdua daripada pinggan serta gelas sama. Perlakuan itu dilakukan sepenuh hati sehingga menampakkan keikhlasannya.
Rasulullah SAW juga tidak terkecuali daripada ujian rumah tangga, Namun, Baginda tidak pernah membabitkan emosi.
Ketika marah kepada Aisyah, Nabi SAW menyuruh isterinya menutup mata hingga berasa cemas dan khuatir dimarahi, tetapi Baginda terus memeluknya sambil menyatakan marah itu hilang setelah memeluknya.
Sebagai rumusan dan pengajaran, seseorang suami perlu berusaha mendalami ilmu agama untuk menjadi ketua keluarga dihormati bagi menjalani bahtera kehidupan bersama isteri dan keluarga. Isteri juga perlu berusaha menambahkan ilmu supaya setiap konflik rumah tangga dapat diselesaikan dengan aman dan sentosa.
Jauhilah sikap ego terhadap pasangan, sebaliknya tanamkan sifat sentiasa maaf dan bersangka baik, selain bermuhasabah diri serta sentiasa berdoa pada yang Tuhan Yang Maha Esa.
Oleh Mohd Ariff Adika Mohd Zain
* Penulis ialah Pengasas Pusat Pengajian Al-Quran Ibnu Zain
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/12/504741/nabi-model-suami-idaman-romantik
0 Komentar untuk " Nabi model suami idaman, romantik "