Rapuhnya sebuah perpaduan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rapuhnya sebuah perpaduan



NEGARA yang berbilang kaum dan agama tidak akan sejahtera tanpa perpaduan. Sejak kerajaan PH mengambil alih tampuk kepimpinan negara, sentimen perkauman dan keagamaan semakin membimbangkan. Walau siapa pun yang memasang perangkap perkauman dan keagamaan ini, apa yang pasti, semakin ramai rakyat yang terjerumus dalam perangkap ini.

Di negara ini, politikus dilihat memainkan peranan yang sangat signifikan dalam perkara-perkara yang berkaitan kaum dan agama. Politikus adalah antara orang yang bertanggungjawab dalam menyemai benih-benih kebencian kaum dan agama dalam kalangan rakyat di negara ini. Mempergunakan isu perkauman dan keagamaan demi mendapatkan sokongan serta kelangsungan politik.

Cadangan meratifikasi ICERD adalah ujian pertama kerajaan PH. Jujur dikatakan, biarpun niat tersebut sudah dibatalkan, namun kerajaan sebenarnya gagal untuk menangani isu ICERD dengan sebaik mungkin. Tanpa perbincangan dan persediaan yang rapi, menteri mengumumkan kerajaan bakal meratifikasi ICERD.

Kesannya, rakyat menjadi resah, kerajaan pula bertukar gelabah. Benar orang kata, usah dibaiki sesuatu yang tidak rosak. Meratifikasi ICERD bukan satu-satunya jalan untuk menghalang diskriminasi bangsa dan agama di negara ini. Banyak lagi cara lain yang lebih efektif tanpa perlu mengundang amarah rakyat.

Kini, kerajaan PH sedang berhadapan dengan ujian kedua iaitu isu Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya. Jika kerajaan PH gagal menangani masalah ini sebaiknya, titik hitam perpaduan kaum dan agama di negara ini akan berbekas dan bakal retak menanti belah.

Malah, bagai menuang minyak ke api, ada pula agamawan yang membuat kenyataan tidak kena pada masanya. Terus ramai yang berkobar kononnya mahu memperjuangkan Islam, dan yang bukan Islam pula ada yang menjadi anti dengan Islam. Akhirnya, Islam yang menjadi mangsa.

Isu Kuil Sri Maha Mariamman ini adalah contoh bagaimana ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk menjadikan isu ini sebagai satu bentuk ancaman perkauman dan agama berbanding isu berkaitan perundangan. Ia dijadikan seperti satu bentuk kebencian kaum dan agama yang cuba dicetuskan, kononnya orang Islam cuba merobohkan kuil Hindu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil rakyat DAP yang juga Exco kerajaan negeri Selangor, V. Ganabatirau kononnya orang Islam cuba menyerang dan merobohkan kuil tersebut adalah satu bentuk kenyataan yang jijik dan tidak bertanggungjawab. Biarpun beliau sudah meminda kenyataan tersebut dan memohon maaf, namun kerosakan sudah dilakukan. Kita sudah boleh nampak dengan jelas niat awal beliau dalam menjadikan Islam sebagai ‘tertuduh’.

Sebagai seorang exco kerajaan negeri mahupun sebagai wakil rakyat, kenyataan beliau itu amat tidak dialu-alukan dan dikesali. Kenyataan sebegini langsung tidak wajar untuk diungkapkan.

Dalam situasi hari ini, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin sensitif dan rapuh. Sedikit kesilapan, akan mengundang retak.

Sudah 61 tahun negara ini merdeka, perkauman dan agama sepatutnya bukan isu utama lagi. Tragedi 13 Mei sepatutnya dijadikan teladan dan pengajaran buat kita semua, bukannya diungkit dengan bangga dan kononnya bersedia berperang sekiranya Tragedi 13 Mei berulang kembali.

Isu Kuil Sri Maha Mariamman tidak akan menjadi kes terakhir yang bakal negara kita alami jika tiada tindakan susulan yang efektif daripada kerajaan dalam menangani isu ini. Tidak mustahil akan ada lebih banyak kes seperti ini yang akan muncul.

Semoleknya, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk merencana tatacara operasi standard (SOP) yang lebih holistik berkenaan perobohan atau pemindahan sesebuah rumah ibadat. Tatacara ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu proses perobohan dan pemindahan sesebuah rumah ibadat bagi mengelakkan situasi seperti Kuil Sri Maha Mariamman berulang. Kita perlu faham, apa-apa perkara berkaitan bangsa, agama dan rumah ibadat adalah sangat sensitif dalam kalangan rakyat kita.

Isu perkauman dan keagamaan bukan boleh diambil ringan. Perkauman tidak boleh dilawan dengan perkauman. Perkauman hanya boleh dilawan dengan perpaduan. Perpaduan yang rapuh bakal mengundang nestapa kepada kesejahteraan dan keharmonian negara.

* Penulis ialah pengamal undang-undang di Kuala Lumpur dan pemerhati senario politik Negaraku
0 Komentar untuk " Rapuhnya sebuah perpaduan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ