Manjakan anak, usah sampai hilang hormat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Manjakan anak, usah sampai hilang hormat


SETIAP pasangan yang sudah berumah tangga pastinya ingin mempunyai zuriat. Kehadiran cahaya mata pasti akan memberikan sinar dan penyeri dalam kehidupan suami isteri itu.

Namun, setiap anak bukan semata-mata pemberian Allah SWT, sebaliknya amanah yang cukup besar. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak kamu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah Al-Anfal : 28)

Pemberian Allah SWT itu mesti dihargai sebagai hadiah yang teramat istimewa tetapi pasangan yang tidak mempunyai atau masih belum mendapat zuriat, mereka juga perlu bersyukur kepada Allah SWT.

Mereka juga perlu meyakini ketentuan sudah ditetapkan dan menganggap perancangan-Nya terbaik kepada setiap hamba dan jangan sesekali menyalahkan takdir atau merasakan kehidupan tidak adil.

🔥Corak anak, nilai Islam🔥

Sebagai ibu bapa, kita wajib mencorakkan kehidupan mereka dengan nilai keislaman dan akhlak terpuji sejak kecil agar mereka menjadi insan bertakwa. Oleh itu, tugas mendidik dan membentuk anak menjadi tanggungjawab bersama ibu dan bapa, bukannya sebelah pihak sahaja.

Malah, ibu bapa tidak boleh mengharap dan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak kepada sekolah.

Tugas guru hanya membantu dalam pendidikan dan menambah baik serta memperbetulkan akhlak dan tingkah laku pelajar.

Namun dalam memastikan pelajar membawa sikap dan nilai murni, ibu dan bapa paling berhak memastikan anak mereka membawa segala kebaikan ke sekolah untuk dijadikan contoh.

Dalam mendidik dan membentuk anak, contoh untuk dijadikan panduan dan model ialah Rasulullah SAW seperti bersikap sabar dan penyayang tanpa mengabaikan sikap tegas agar tetap dihormati sebagai ibu bapa.

Ibu bapa juga perlu menyedari anak sangat memerlukan perhatian sejak kecil dengan meluangkan masa sesuai dan memikirkan aktiviti bermanfaat.

Aktiviti yang wajarnya diberikan penekanan adalah yang mengukuhkan ikatan kekeluargaan agar timbul sifat sayang-menyayangi yang lebih utuh dalam keluarga.

Namun, kita jangan terlalu memanjakan anak sehinggakan mereka hilang rasa hormat kepada ibu bapa. Di sinilah ketegasan diperlukan dalam mendidik anak.

🔥Ajar solat, baca al-Quran🔥

Hal ini boleh dilihat melalui pendidikan anak dalam konteks solat apabila sejajar dengan peningkatan usia, ibu bapa wajib mengajar mereka untuk solat sejak berumur 7 tahun, selain mengenal huruf dan membaca al-Quran sejak kecil.

Ini bertujuan didikan rohani dapat diterapkan dalam tingkah laku sejak kecil. Daripada ‘Amru ibnu Syu’aib, Rasulullah SAW bersabda: “Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika berumur 7 tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun serta pisahkanlah tempat tidur mereka.” (HR Abu Daud).

Dalam konteks zaman yang serba canggih, ibu bapa juga perlu ditekankan supaya tidak memanjakan anak dengan gajet atau televisyen seharian tanpa pengawasan sewajarnya. Pendedahan yang melampaui batas dibimbangi anak bukan saja tidak pandai hidup bermasyarakat, bahkan terdedah dengan perkara negatif.

Sebagai amanah besar, anak menjadi ujian kepada kita. Bimbing dan didiklah mereka mengenal dunia berpandukan kepada landasan agama Allah SWT, selain sentiasa memberikan peringatan kepada mereka dengan bimbingan kebaikan agar tidak tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar.

Menjadi tanggungjawab kita memberikan segala-galanya kepada mereka selagi ia diharuskan dan tidak melampaui batas. Anak yang mendapat pendidikan baik, bakal mendoakan kita kelak.

Antara amalan yang berkekalan walaupun selepas meninggal dunia ialah doa anak yang soleh kepada ibu bapanya. Anugerah dan amanah yang dipelihara serta dilaksanakan dengan sebaiknya itu, bakal mewujud dan melahirkan keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah.

Oleh Rafiuddin Mohd Yusof

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/10/490133/manjakan-anak-usah-sampai-hilang-hormat
0 Komentar untuk " Manjakan anak, usah sampai hilang hormat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ