Haram jual beli, promosi arak - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Haram jual beli, promosi arak


PENGHARAMAN arak jelas dinyatakan dinyatakan dalam al-Quran walaupun ayat larangan diturunkan secara berperingkat kerana pada awal perkembangan Islam, ia menjadi budaya masyarakat Arab ketika itu.

Allah SWT berfirman: “Dan daripada kurma dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik.” (An-Nahl: 67)

Namun ayat kedua yang diturunkan, Allah SWT berfirman: “Mereka bertanyakan kepadamu (Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya itu terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia.” (Al-Baqarah: 219)

Pada peringkat ini sudah ada dalam kalangan sahabat RA yang mula meninggalkan amalan meminum arak kerana ayat itu tetapi sebahagian lagi masih meneruskannya disebabkan kewujudan beberapa manfaat kepada manusia.

Bagaimanapun pada peringkat ketiga, Allah SWT menurunkan ayat yang mengharamkan umat Islam ketika itu daripada meminum arak ketika ingin bersolat. Allah SWT berfirman: “Wahai orang beriman! Janganlah kamu mendekati solat ketika kamu dalam keadaan mabuk sehinggalah kamu sedar apa kamu katakan.” (An-Nisa’: 43)

Seterusnya arak terus diharamkan secara mutlak menerusi firman-Nya: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya meminum khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan) itu agar kamu berjaya.” (Al-Maidah: 90)

Pendakwah, Iqbal Zain al-Jauhari, berkata pengharaman arak melalui penurunan ayat al-Quran secara berperingkat kerana umat Islam ketika itu yang masih baharu dengan ajaran Islam dan sukar meninggalkan amalan yang dilakukan sejak zaman jahiliah lagi.

“Apabila seluruh umat Islam ketika itu sedia maklum mengenai turunnya ayat yang mengharamkan arak, menurut sirah atau sejarahnya, Kota Madinah dibanjiri oleh minuman keras itu kerana umat Islam menuangkannya ke jalan.

“Masyarakat Islam di Madinah terus meninggalkan amalan meminum arak apabila ia jelas dinyatakan haram oleh al-Quran,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur.

Mengambil kira konteks semasa yang penjualan dan aktiviti mempromosikan arak semakin berleluasa, Iqbal berkata, ayat mengenai pengharaman arak sudah jelas dinyatakan dalam al-Quran dan tidak boleh diubah.

Malangnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, polemik pesta arak, Octoberfest sering kali menimbulkan perdebatan dalam masyarakat, malah ada yang memberikan justifikasi untuk membenarkannya.

Iqbal berkata, walaupun pesta itu dikatakan tidak membabitkan orang Islam, ia masih memerlukan kawalan oleh pihak berkuasa seperti penganjuran dan penjualan yang dilakukan secara terang-terangan.

“Pengharaman arak sebenarnya bukan hanya berlaku dalam konteks orang Islam, bahkan kebanyakan agama lain juga melarang daripada meminum arak termasuk dalam kitabnya disebabkan kesan dan mudarat berbanding kebaikan.

“Lagipun orang yang minum arak akan menjadi mabuk hingga mereka mudah melakukan kejahatan dan kemaksiatan tanpa rasa bersalah, selain masalah kesihatan yang bakal dihadapi.

“Jadi, di sini terletaknya tanggungjawab pihak berkuasa untuk menegah atau mengharamkan aktiviti penjualan serta mempromosikan arak seperti kata pepatah, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih,” katanya.

Beliau berkata, sama ada dijual secara tertutup atau terbuka, Islam jelas menghukumkannya haram. Malah orang Islam juga dilarang daripada mengunjungi tempat yang menyediakan arak walaupun tidak mengambilnya kerana dibimbangi boleh menimbulkan fitnah.

Pengharaman arak bukan setakat minum, Iqbal berkata, Rasulullah SAW mengingatkan 10 golongan yang akan dilaknat Allah SWT, iaitu orang yang memerah, meminta diperahkan arak, minum, membawa dan menghantar, menuangkannya, menjual, membeli, makan hasil jualannya serta meminta dibelikan minuman itu.

Mengulas mengenai video tular pekerja wanita serbaneka yang enggan memegang minuman keras yang dibeli oleh bukan Muslim, Iqbal menjelaskan, pekerja wanita terbabit mungkin enggan bersubahat dengan penjualan arak.

“Bukan saja pekerja di kedai serbaneka, bahkan terjadi kepada pramugari atau pramugara serta pekerjaan lain yang memerlukan untuk menuang atau menyediakan arak kepada pelanggan.

“Pekerja yang beragama Islam sepatutnya menolak pekerjaan yang memerlukan penyediaan minuman keras, malah pekerja Islam mempunyai hak untuk tidak menyediakan arak kepada pelanggan.

“Jadi perlu adanya polisi atau kesefahaman dengan majikan berkaitan perkara ini,” katanya.

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/10/487100/haram-jual-beli-promosi-arak
0 Komentar untuk " Haram jual beli, promosi arak "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ