Hak dalam Islam mempunyai dua implikasi, iaitu pertama, apa yang kita dapat dan kedua apa yang kita beri. Hak asasi manusia diperjuangkan selama ini lebih menjurus kepada apa yang kita dapat yang menunjukkan perbezaan pandangan alam Barat dan Islam.
Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran, berkata hak paling asasi dalam Islam bergantung kepada apa yang dimaksudkan dengan agama, kebenaran, insan dan ikhtiar.
Beliau berkata, penafsiran yang tidak selari dengan kerangka itu akan mengelirukan fahaman kebebasan agama dalam Islam, lebih-lebih lagi apabila kefahaman ingin dipaksakan bertentangan kerangka pandangan Islam.
"Dalam Islam, manusia adalah hidupan yang berkata-kata, ada roh dan jiwa (rohaniah) sedangkan istilah hak asasi manusia Barat tidak ada rohaniah. Oleh itu, kebebasan beragama dalam Islam tidak sama dengan Barat.
"Istilah hak itu sendiri sudah ada cerminan cukup besar kerana hak dalam bahasa Arab bermaksud kebenaran, sedangkan right ialah apa yang betul dan salah dari sudut bersifat praktikal," katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika membicarakan Pandangan Agama Terhadap Kebebasan Beragama pada Muzakarah Pakar Hak Asasi Manusia Selepas 70 Tahun: Analisis Kritis di IKIM, Kuala Lumpur.
Mohd Farid berkata, tafsiran istilah mengelirukan itu yang dipaksa diterima bertentangan dengan kerangka pandangan alam Islam dan menyebabkan perdebatan mengenai kebebasan manusia diwarnai kerangka pandangan sekular.
Katanya, sejak perisytiharan sejagat Hak Asasi Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1948, isu mengenai hak asasi dilihat daripada kerangka falsafah kemanusiaan yang khusus dan sempit.
Penakrifan sekular mengenai hakikat manusia serta hak mereka merenggut nilai kerohanian hingga menghasilkan implikasi besar menyebabkan manusia terpisah dengan Penciptanya dan kehidupan ukhrawi.
Falsafah agama dalam Islam bersandarkan perasaan perhutangan kepada Allah SWT yang menciptakan, perjanjian di alam roh yang menuntut manusia menyerah diri dan tunduk dengan segala ditetapkan menerusi panduan kitab serta teladan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.
🔥Panduan hidup berdasarkan wahyu Ilahi🔥
"Agama dalam Islam ialah panduan hidup berdasarkan wahyu Allah. Kebenaran membabitkan kewujudan rohani dan ukhrawi yang disampaikan oleh Rasul. Islam juga menawarkan sistem kehidupan dan hukum-hakam yang sesuai untuk individu serta awam.
"Dengan kata lain, agama dalam Islam bukan sekadar masalah peribadi seperti dipegang sebahagian tradisi agama lain, tetapi merangkumi soal kemasyarakatan, perkara inilah yang gagal difahami," katanya pada wacana yang dianjurkan IKIM dan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Murni Wan Mohd Noor, berkata keutamaan diberikan terhadap kebebasan individu berbanding komuniti hanya melahirkan masyarakat yang mementingkan diri dan mengabaikan perasaan orang lain.
Beliau berkata, terlalu menjaga hak kebebasan seperti kebebasan bersuara menyebabkan timbul pelbagai masalah yang menjurus kepada sikap tidak bertoleransi terhadap bangsa dan agama hingga berlaku fitnah agama.
Dalam pembentangan kertas kerja bertajuk Penghinaan Terhadap Agama: Sejauh Mana Ia Suatu Kebebasan? penghinaan agama semakin menjadi-jadi apabila undang-undang melarang penghinaan agama tidak lagi diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Agama dalam Islam bukan sekadar masalah peribadi seperti dipegang sebahagian tradisi agama lain, tetapi merangkumi soal kemasyarakatan, perkara inilah yang gagal difahami"
Penghinaan terhadap agama
"Hari ini banyak negara tidak melihat penghinaan sebagai alasan untuk mengehadkan hak kebebasan bersuara dan disebabkan itu mereka tidak melaksanakan undang-undang penghinaan agama.
"Oleh itu, negara Islam menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengangkat penghinaan agama dalam Resolusi PBB kerana ia bertentangan dengan nilai demokrasi dan hak untuk bersuara tetapi ia tidak diterima secara menyeluruh oleh negara Barat," katanya.
Katanya, keganasan terhadap individu berdasarkan agama berpunca sentimen negatif daripada kes penghinaan agama, maka resolusi dan perjanjian antarabangsa tidak dapat dicapai jika penghinaan terhadap agama dibenarkan di bawah kebebasan hak asasi manusia.
Murni berkata, antara hujah untuk menolak larangan penghinaan agama adalah kerana dalam undang-undang antarabangsa hanya individu yang mendapat perlindungan daripada undang-undang, bukan agama.
Justeru, beliau melahirkan rasa tidak setuju kerana bagi umat Islam, agama bukan sekadar kepercayaan, tetapi cara hidup menyeluruh yang membentuk identiti, maka menghina agama bermakna menghina penganutnya.
Beliau berkata, begitu juga dengan hujah undang-undang penghinaan agama hanya akan membekukan kebebasan bersuara dan digunakan untuk menekan golongan minoriti, sedangkan kes penghinaan agama tidak menunjukkan niat golongan berkenaan untuk berdialog secara ikhlas.
Sebaliknya, undang-undang itu sebenarnya dapat memelihara golongan minoriti, terutama umat Islam daripada dikecam dan dilabel sebagai pengganas kerana penghinaan terhadap agama Islam secara langsung meningkatkan kebencian terhadap orang Islam minoriti di negara bukan Islam.
Menurut Murni, undang-undang menghalang penghinaan agama bukan khusus untuk Islam sebaliknya untuk semua agama yang mengajak melakukan kebaikan dan menghalang kejahatan, termasuk menghina agama lain.
Katanya, dalam Islam kebebasan bersuara memang ditekankan dan dalam banyak keadaan, wajib bagi seorang Muslim bebas berkata, terutama untuk menegakkan kebenaran serta mencegah berlaku kemungkaran.
🔥Bukan keistimewaaan🔥
Beliau memetik hadis Rasulullah SAW: "Barang siapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila tidak mampu maka hendaknya dengan lisannya. Dan apabila tidak mampu lagi maka dengan hatinya, sesungguhnya itulah selemah-lemah iman."
Bagaimanapun katanya, kebebasan dalam Islam datang dengan tanggungjawab kerana kebebasan bukan keistimewaan melakukan apa sahaja, tetapi kepercayaan diberikan kepada manusia untuk menyatakan apa yang benar.
"Pengamal hak asasi manusia mengatakan kita hanya pelihara agama Islam sahaja, sebenarnya Islam melarang umatnya menghina atau tidak menghormati agama lain walaupun di bawah kebebasan hak bersuara," katanya.
Oleh itu katanya, undang-undang perlu bagi menjamin hak kebebasan bersuara tidak disalahgunakan kerana keutamaan menjaga kepentingan individu hanya akan mencabul hak awam untuk mendapat keadilan dan menjejaskan keamanan.
Oleh Hasliza Hassan
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/05/424533/hak-asasi-dalam-islam-berasas-nilai-kerohanian
0 Komentar untuk " Hak asasi dalam Islam berasas nilai kerohanian "