Fahami sains berdasarkan al-Quran - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fahami sains berdasarkan al-Quran


ALAM dari perspektif Barat terjadi dengan sendiri tetapi hakikatnya al-Quran menceritakan ia ciptaan Tuhan yang mengandungi tanda kewujudan, kebesaran, kekuasaan, ilmu dan sifat Allah SWT.

Kebanyakan penulisan dan pandangan saintis agnostik, iaitu skeptik, ateis dan peragu mengatakan kita tidak memerlukan pencipta kerana unsur semula jadi sudah memadai untuk melahirkan alam semesta.

Begitulah alam dari pandangan semesta sekular yang tidak ada pemilik dan pencipta. Sudah tentu ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam, manakala dari sudut akidah akan menimbulkan masalah besar.

Tambahan lagi, pengajaran sains masih lagi berdasarkan kerangka pandangan alam semesta hingga ia diajar berasingan dengan agama sedangkan al-Quran menganjurkan manusia mempelajari alam sebagai 'kitab' Allah SWT yang kedua.

Adalah penting untuk membincangkan kerangka kita memahami, melihat dan mempelajari alam dengan pandangan semesta al-Quran yang sangat berbeza daripada pandangan semesta sains moden yang mendasari sains itu.

🔥Pengaruh sekular🔥

Ketua Editor Projek Profesor Ulung: Sains Tabi'i dari Pandangan Semesta al-Quran (NSWQ), Tan Sri Prof Kamal Hassan, berkata bagi memantapkan integrasi sains agama maka lahirkan usaha menghasilkan buku teks atau rujukan mengenai sains dari perspektif pandangan semesta al-Quran.

Beliau berkata, projek penulisan buku itu bermula pada tahun 2011 dilaksanakan hasil bantuan dana sebanyak RM300,000 untuk tujuan penyelidikan ketika beliau dilantik Profesor Ulung oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

"Saya berfikir apa yang patut dilakukan dengan dana sebanyak itu dan menyedari sekolah menengah masih mengajar sains yang dipengaruhi pandangan semesta sekular, jadi kajian dilakukan untuk melihat sejauh mana integrasi antara sains dan agama.

"Kajian dilakukan di Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura dan selatan Thailand mendapati banyak sekolah umat Islam ada integrasi itu tetapi tidaklah begitu mantap. Ini yang mendorong kita," katanya pada BH di rumahnya di Bangi, baru-baru ini.

Yang turut hadir pada sesi wawancara itu ialah koordinator projek yang juga penulis kimia dan editor, Dr Nur Jannah Hassan serta Editor Kimia, Prof Hamzah Mohd Salleh.

Selain beliau dan Nur Jannah, 'kita' yang dimaksudkan Prof Kamal ialah tujuh editor dan penulis yang terbabit dalam penghasilan tiga jilid buku Sains Tabi'i dari Pandangan Semesta al-Quran terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

🔥Dalil yang relevan🔥

Prof Kamal berkata, fakta sains berkaitan fizik, kimia dan biologi tidak banyak perbezaan kerana fakta adalah fakta, tetapi penting untuk memahami sains dengan cuba memahami alam sebagai asas berdirinya sains itu.

Ini kerana kebanyakan buku sains tidak membincangkan pandangan semesta yang mendasari sains, iaitu melihat, mempelajari dan memahami alam sebagai asas metafizika yang menjadi tapak bagi berdirinya sains.

Katanya, buku NSWQ banyak memasukkan ayat yang relevan dengan fakta sains kerana alam bukan hanya fakta, tetapi mempunyai makna diberi al-Quran. Contohnya, fakta mengatakan matahari itu bola api yang panas dan kita melihat Allah SWT menciptakan matahari dengan tujuan tertentu.

Penciptaan matahari begitu rapi membolehkan manusia dan kehidupan wujud di bumi, manakala adanya bumi juga satu yang sangat ajaib dikaitkan dengan penciptaan Allah SWT ditegaskan dalam ketiga-tiga jilid buku itu.

Turut dikaitkan sejarah pemikiran umat Islam dan saintis Islam dahulu dengan tokoh yang hebat dalam pelbagai bidang sains tabii yang hasil kajian mereka diselitkan di tempat yang relevan.

"Kita buat rumusan di akhir tiap-tiap jilid dengan menegaskan perlunya saintis Islam kembali kepada pandangan semesta Islam sebab alam semesta sekarang terancam akibat kerosakan oleh tangan manusia dan untuk memperbaikinya perlu kembali kepada bimbingan al-Quran," katanya.

🔥Pendekatan praktikal🔥

Sementara itu, Nur Jannah berkata, gaya penyampaian buku itu tidak kering dan tidak terpisah daripada realiti kehidupan seorang Muslim menjadikan ia sesuai untuk pelajar sekolah, universiti dan masyarakat awam.

Beliau berkata, kelebihan buku itu menggunakan pendekatan praktikal menyampaikan pandangan asas Qurani dan sains dari perspektif bahawa Tuhan sangat relevan serta meletakkan konsep ketuhanan di tempat sepatutnya.

Buku sains konvensional tidak berdasarkan alam ketuhanan, justeru, NSWQ menterjemahkan semula fakta itu sesuai dengan pandangan alam tauhidik dan jika ada yang tersasar dialihkan kepada haluannya yang sebenar.

"Jika ada fakta yang kita tidak boleh terima langsung, terpaksa tinggalkan dan ganti yang baru. Contohnya, satu perkara yang semua warga sains tahu, kita diajarkan materi dan tenaga tidak boleh dicipta dan dimusnahkan.

"Namun al-Quran memberitahu kita bahawa Allah mencipta dan Dia memusnahkan serta mencipta kembali. Oleh itu, apabila dikatakan materi dan tenaga tidak boleh dicipta dan dimusnahkan, ia bertentangan dengan tauhid. Ini yang kita terjemahkan semula," katanya.

🔥Lahir generasi ulul albab🔥

Beliau berkata, buku yang menganalisa masalah kontemporari itu cuba mencari penyelesaian konflik dihadapi pada masa kini dan akan datang dengan mengaitkan sains kepada asas kepercayaan al-Quran serta ilmu tauhid.

Memikirkan bukan Islam mempelajari sains dari perspektif tauhid pastinya sukar untuk menggambarkannya, namun bagi Nur Jannah, buku berkenaan mengisi satu keperluan untuk umat Islam dan bukan Islam yang berfikir.

Malah, beliau optimis bahawa ilmu yang dikongsi dapat melahirkan generasi ulul albab dalam bidang profesional yang bukan sahaja mencapai kejayaan dan kedudukan, tetapi menjadikan sains jalan menuju Allah SWT.

"Apa sahaja bidang yang diceburi, mereka bertakwa kepada Allah SWT. Jadi, sains tidak disalahgunakan atau menyebabkan kerosakan kerana mereka mampu meletakkan segala-galanya pada perspektif yang betul," katanya.

Bersetuju dengan pandangan itu, Prof Kamal berkata, generasi ulul albab tidak semestinya dalam bentuk tradisional kerana mereka boleh lahir sebagai saintis ulu albab yang hafal al-Quran serta hebat ilmu sainsnya.

Oleh Hasliza Hassan

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/05/426285/fahami-sains-berdasarkan-al-quran
0 Komentar untuk " Fahami sains berdasarkan al-Quran "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ