PROSES meng-Umno-kan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM - Bersatu) kini bermula. Katak-katak di Sabah mula melompat keluar. Dek kawasan yang dahulunya berhujan emas sudah tidak lagi turun, kini mereka melompat mencari kawasan baharu. Mengharapkan kawasan yang bakal dituju itu mampu menurun hujan emas yang sama. Begitu juga dengan katak-katak di Malaya.
Bersatu seperti sebuah kawasan baharu untuk para pelompat Umno bertapak. Hingga kini, sudah ramai bekas pemimpin dan wakil rakyat Umno yang melompat masuk ke Bersatu. Di sinilah yang dikatakan sebagai proses meng-umno-kan Bersatu sudah bermula. Dahulu, kita sering kaitkan PKR sebagai parti serpihan Umno, dan masih mengamalkan sikap-sikap buruk Umno. Kini Bersatu pula menggantikan tempat PKR.
Jika Bersatu terus menerus menerima para pelompat Umno, tidak mustahil Bersatu akan turut terpalit dengan penyakit yang dibawa mereka. Mereka akan membawa perangai lama ketika bersama Umno ke dalam Bersatu. Perangai lama ini akan menjangkiti Bersatu dan akhirnya merosakkan Bersatu sepertimana mereka sudah merosakkan Umno. DAP sendiri sebagai rakan Bersatu sudah tentu tidak selesa dengan situasi ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan yang bijak apabila enggan menerima masuk para pelompat parti. Ini amat bagus untuk kebaikan dalaman PKR sendiri. Sedangkan orang PKR sendiri berhempas pulas mahu berebutkan jawatan dan pengaruh, membawa masuk para pelompat Umno hanya memudaratkan keadaan.
Ramai penganalisis politik meramalkan Umno bakal menjadi tidak relevan pada masa akan datang. Mungkin ada betulnya, mungkin juga tidak. Sama ada Umno akan kekal relevan atau tidak bergantung kepada siapa pemimpinnya dan apa pemimpinnya sedang lakukan untuk menaikkan Umno.
Jika pemimpinnya hanya sekadar berpeluk tubuh dan masih gagal untuk membentuk sebarang hala tuju Umno yang jelas, sudah tentu ramalan bahawa Umno tidak relevan pada masa akan datang itu bakal menjadi nyata. Umno sudah biasa menjadi budak kaya dan manja, sudah tentu apabila diuji dengan kemiskinan, sukar untuk menyesuaikan diri.
Tetapi sekurang-kurangnya dia berusaha untuk menyesuaikan diri dan bukannya terus-terus mengenangkan zaman ketika sedang kaya, akhirnya membunuh diri kerana tidak tahan dengan kekejaman dunia. Begitulah analoginya.
Saya pernah meramalkan dalam buku saya, “Malaikat di Barat, Syaitan di Timur”, bahawa Bersatu tidak akan kekal lama. Bersatu akan lenyap selepas Tun M meninggal dunia. Nampaknya ramalan saya mungkin silap. Sepertinya ramalan saya adalah untuk Umno.
Melihatkan kepada situasi hari ini dan begitu ramai ahli Umno yang berpusu-pusu melompat masuk ke dalam Bersatu, mungkin Umno yang akan berkubur, bukannya Bersatu. Bersatu bakal menjadi Umno yang baharu.
Tindakan beberapa pemimpin Umno berjumpa dengan pemimpin-pemimpin atasan PH bagai menconteng arang ke muka Umno dan ahli-ahlinya. Mengapa begitu teruk sekali Umno melutut kepada PH sedangkan dahulu Umno begitu megah dengan kuasanya.
Namun, logik untuk dikatakan bahawa Tun M masih sayangkan Umno dan beberapa pemimpin Umno kerana mereka ini pernah bekerja bersama beliau. Maka disebabkan itu Tun M masih boleh bersua muka dan melayan kerenah mereka. Jika tidak kerana kekecewaan Tun M kepada Najib, mungkin Bersatu tidak akan wujud.
Tiba-tiba rasa tidak sabar untuk menunggu Anwar mengambil alih tampuk kepimpinan negara. Mungkin Anwar bakal membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih baik dan meyakinkan. Dengan segala hormat kepada Tun M sebagai seorang pemimpin berpengalaman, tetapi Tun M sudah terlalu keletihan dan semakin sukar untuk mengawal para menterinya yang berkokok tidak kena masa.
Jika para menteri ini berperangai ketika Tun M adalah Perdana Menteri ke-4 dan masih kuat ketika itu, sudah tentu akan dibuang dari Kabinet.
Anwar mungkin masih bertenaga dan sudah lama mengidamkan kerusi Perdana Menteri. Diharapkan Anwar mampu untuk mengawal Kabinet beliau kelak. Dan yang paling penting, mengawal Bersatu supaya tidak terlalu kemaruk mengutip para pelompat parti hingga akhirnya berpotensi merosakkan kerjasama PH
.* Penulis ialah pemerhati senario politik Negaraku
0 Komentar untuk " Peng-Umno-an Bersatu bermula "