Perkauman disalahkan British - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perkauman disalahkan British


ISTILAH ‘perkauman’ di sini digunakan untuk maksud ‘racial’ dalam bahasa Inggeris, walaupun yang satu bukan bererti yang satu lagi secara tepat. Kita juga menggunakan ‘Inggeris’ di sini sebagai bangsa yang bernusakan England walaupun pada umumnya ia sinonim dengan ‘British’ yang merangkumi penduduk Scotland, Ireland, Wales dan England sendiri. ‘British’ dipakai di sini memandangkan keempat-empat yang bertugas di sini.

Ketika saya menghuni Asrama Kedua Universiti Malaya dalam tahun-tahun 1960-an, ada seorang rakan Cina bernama Chn’g (ejaannya luar biasa) yang tinggi daya humornya baik memberi mahupun menerima. Beliau memandang apa yang berlaku di sekelilingnya sebagai satu bahan kelakar. Bapanya ialah tauke berlesen senjata api, pistol dan senapang, di Pulau Pinang.

Sejak kecil beliau menyaksikan sendiri penyeludup dikejar dan ditangkap oleh pihak kastam. Justeru cita-citanya mahu menjadi pegawai kastam. Maka jadilah beliau pegawai kastam setelah lulus UM. Rata-rata kawan-kawan berkata, kalau ramailah orang seperti Chn’g, amanlah Malaysia ini.

Beberapa tahun kemudian tercetuslah peristiwa perkauman yang tragis, 13 Mei 1969. Entah macam mana saya tidak pernah berjumpa Chn’g selepas kami lulus UM, hanya saya kerap melihat beliau dalam akhbar dan TV setelah penyeludup ditangkap di sana sini.

Beberapa tahun sebelum peristiwa 13 Mei, sudah ada cetusan perkauman yang membimbangkan. Kesannya terasa di kampus UM, satu-satunya kampus tunggal di Malaysia. Apabila timbul cetusan begitu, Chn’g lantas mengeluarkan kekesalannya, baik di depan rakan Cina mahupun di depan pelbagai kaum.

"Semuanya silap British," katanya. "Kenapa ramai sangat bawa orang Cina ke sini?" Apa yang dimaksudkan beliau ialah, orang Cina yang ada di sini tidak boleh disalahkan. Kehadiran mereka kini memang tersedia ada. Andainya Brtish hanya membawa orang Cina 10 atau 15 peratus daripada penduduk asal negara ini, ciri-ciri perkauman tidaklah menjadi sebesar dan seberat yang berlaku.

Itu ada logiknya. Di England kini, tidak lebih dari 10 peratus terdiri daripada pendatang dan keturunan pendatang, terutama dari India selepas negara itu berpecah dua menjadi India dan Pakistan selepas merdeka 70 tahun dulu. Yang lain-lainnya terdiri daripada orang Eropah dan orang Asia yang lain.

Oleh itu kaum minoriti di sana tidak melebihi 10 peratus. Begitu pun, ketegangan kaum berlaku begitu hebat. Salah satu sebab British hendak keluar dari EU ialah sikap perkauman anti-pendatang. Orang India, Pakistan dan Asia tidak boleh dibuat apa-apa kerana mereka sudah lama menetap di situ, tetapi orang Poland, Rumania, dan bekas komponen Soviet yang baru berhijrah selepas EU ditubuhkan amat menyusahkan mereka, terutama di sisi Inggeris dengan kota London mereka.

Undang-undang asas EU yang anti-diskriminasi dalam semua hal, terutama dalam peluang pekerjaan, sangat mencekik Inggeris. Bukan itu saja, perkhidmatan kebajikan dan perubatan kena diberikan kepada pendatang sama seperti penduduk asal.

Di sebelah sini, Australia dan New Zealand terkenal sebagai negara kulit putih di Asia. ‘Keputihan’ dikekalkan oleh British sebagai satu dasar. British menyifatkan kedua-duanya ber­beza dengan koloni-koloninya yang lain di Asia, termasuk Malaya. Di sana pendatang dihadkan. Oleh itu orang Cina dan India, usah dicakap orang Melayu, tidak sampai 10 peratus. Dengan kata-kata lain, British sengaja mengekalkan kedua-keduanya ‘putih’.

Sebaliknya Fiji yang dekat dengan Australia dibuka oleh British seluasnya untuk orang India masuk. Mereka kini berupa kira-kira 50 peratus daripada jumlah penduduk. Pada awal tahun-tahun 1980-an, telah berlaku pertelagahan kaum antara peribumi Fiji dengan orang India sehingga ketua tenteranya, seorang peribumi, merampas kuasa. Rentetan akibatnya amat terasa di Fiji hingga sekarang.

British menggunakan koloni-koloninya untuk memerah hasil. Di Malaya, orang India dan Cina dibawa ke sini sebagai pekerja lombong timah, ladang kopi dan ladang getah. Orang Melayu dipisahkan. Mereka kekal sebagai nelayan dan pekebun di desa dan kampung. Kedua-dua pekerjaan itu menjaminkan pendapatan rendah.

Akhirnya perpisahan itu menyaksikan majoriti orang Cina dan India duduk di bandar, dengan pendapatan lebih, sedangkan majoriti Melayu kekal di kampung, dengan pendapatan kurang. Pemisahan ini tidak me­renggangkan sentimen per­kauman hingga sekarang.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet
0 Komentar untuk " Perkauman disalahkan British "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ