Wasatiyah politik matang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Wasatiyah politik matang



RAMAI mempertikaikan pendekatan politik matang yang digunakan Pas dan Umno pada hari ini. Terdapat pihak tertentu mengatakan bahawa matlamat sebuah parti politik adalah untuk memenangi pilihan raya umum (PRU).

Bagi mereka, melalui kemenangan ini maka dasar dan peraturan baharu dapat dibuat untuk memperbaiki situasi hari ini. Bagi sesetengah pihak menganggap politik angka ahli Parlimen di Dewan Rakyat amat penting kerana mereka terlalu dahagakan kuasa dan menganggap pemerintah yang ada hari ini bermasalah.

Sememangnya pemikiran politik sempit ini sentiasa melihat apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri Pas adalah kurang baik kepada rakyat. Tetapi adakah mereka yang menuduh itu melihat sendiri kelemahan pengurusan dan pembangunan Dun atau Parlimen mereka?

Menanam politik kebencian adalah amat mudah berbanding menanam politik permuafakatan yang menuju ke arah politik matang. Bukan semua matlamat parti politik adalah untuk mendapatkan kuasa. Jika diamati kekuasaan sesebuah parti politik adalah dilihat sejauh manakah parti itu mempengaruhi dasar atau hala tuju sesebuah negara dalam membela nasib rakyat.

Adalah janggal apabila ahli-ahli politik tertentu melihat politik itu dari segi kuasa semata-mata tanpa menilai akan amanah dan tanggungjawab yang diberikan rakyat. Maka, tindakan Pas yang menjalin hubungan dengan BN atau khususnya Umno bukan kerana kuasa semata-mata, tetapi lebih kepada membela nasib dan kepentingan kaum Muslimin dan rakyat keseluruhan di Malaysia.

Berbagai isu yang melibatkan maruah dan harga Islam telah menarik perhatian masyarakat. Bermula dari isu Rang Undang-Undang 355, isu Dr Zakir Naik, isu serangan ke atas institusi tahfiz sehinggalah isu kes Masjid Austin, Johor Bahru. Situasi sebegini menunjukkan integrasi sosiopolitik pada hari ini amat rapuh kerana masing-masing ingin menjuarai fahaman politik masing-masing.

Kadang kala kita terlupa bahawa cara Islam itu ditonjolkan sebegitu rupa sebenarnya membawa satu persepsi kurang baik. Mahu tidak mahu ahli-ahli politik perlu duduk semeja dan membawa politik matang dalam menyelesaikan permasalahan yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum di negara ini.

Bukan sahaja membantu pihak pemerintah dalam melaksanakan tugas pemerintahan dengan lebih berkesan, tetapi juga pada masa sama menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat yang menyumbang kepada pembangunan hala tuju negara ini.

Ini amat penting dalam menjayakan integrasi sosiopolitik khususnya perpaduan berbilang kaum di negara ini. Maka pendekatan wasatiyah wajar diamalkan kerana membawa kepada politik matang, seterusnya membantu memperkukuhkan integrasi sosiopolitik negara ini.

Ini disebabkan pendekatan wasatiyah membawa kepada kesederhanaan, keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan dalam hidup manusia.

Perkongsian kuasa dalam mencalonkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah terhad. Bagi mereka NGO hanya dijadikan dampingan untuk melebarkan pengaruh dan sokongan.

Walaupun Pas meletakkan 80 calon untuk bertanding dalam PRU14, tetapi selebihnya adalah ahli-ahli NGO yang bersetuju untuk memperjuangkan dasar negara Islam.

Matlamat Pas adalah membuka ruang dan peluang bagi NGO terlibat dalam membangunkan wasatiyah integrasi sosiopolitik negara ini. Politik bukan dimiliki parti politik sahaja, tetapi turut dimiliki pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dan kesedaran dalam perjuangan wasatiyah membangun bersama dengan Islam.

Perlu difahami bahawa teras utama pembinaan negara bangsa Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Melayu dan Islam. Pilihan teras utama pembinaan negara bangsa Malaysia sentiasa menjadi igauan sejak 60 tahun kemerdekaan negara ini.

Adalah kurang bijak apabila dibenarkan satu pihak menyuarakan kehendak mereka tetapi sebelah pihak lain tidak dibenarkan berbuat demikian. Jika Melayu dan Islam yang bersuara mereka terus akan dilabelkan sebagai rasis sedangkan mereka hanya menyatakan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Inilah matlamat pertama wasatiyah politik matang iaitu keseimbangan dan kesederhanaan. Matlamat kedua politik matang adalah melihat dari segi keadilan dan kecemerlangan sosioekonomi di negara ini.

Adalah amat kasihan apabila ekonomi dikuasai segolongan pihak dan segolongan pihak yang menjadi pengguna sentiasa dimanipulasikan bermula dari harga barangan sehinggalah kepada stok barangan.

Tetapi dalam situasi ini isu keadilan tidak timbul disebabkan menguntungkan golongan yang menguasai ekonomi. Namun ketidakadilan dalam pembahagian kek ekonomi di negara ini perlu dibetulkan demi masa depan negara ini.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

0 Komentar untuk " Wasatiyah politik matang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ