DIA meninggal dunia apabila motosikal yang ditungganginya laju-laju terbabas dalam hujan renyai-renyai dan melanggar pokok di tepi jalan berhadapan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, majikannya.
Dia baru diambil bekerja selama tiga bulan selepas lulus SPM; belum lagi mencecah usia 19. Sudin (bukan nama sebenar) mampu membeli motosikal secara bayaran ansuran HP itu kerana dia tidak perlu membayar sewa rumah. Dia tinggal bersama ibu bapanya, tentunya pula makan minum pun percuma juga, lanjutan kepada kehidupan sejak kecil.
Ketika bersekolah pun dia kerap meminta ibu bapanya membeli motosikal terpakai kerana dia amat geram dengan penunggangan laju yang bunyinya meneran lantang sambil melaram.
Ibu bapanya sentiasa bersikap bahawa anak-anak jangan diberikan motosikal. Jika mampu, belikannya kereta kecil yang paling murah. Namun mereka tidak boleh buat apa-apa apabila Sudin membawa balik sebuah motosikal kecil selepas menerima gaji ketiga.
Menurut Persatuan Internasional Sains Lalu Lintas dan Keselamatan (IATSS), terdapat sejuta motosikal di Malaysia, berbanding lebih 21 juta kereta. Pemilikan per kapita kita untuk kedua-duanya adalah tertinggi di Asia Tenggara.
Ini boleh dianggarkan apabila kita memerhati pemilikan kedua-kedua jenis kenderaan di tempat-tempat letak kereta rumah flat mahal dan murah di mana-mana bandar di Malaysia, begitu juga di halaman-halaman rumah di kampung, di rumah sebuah-sebuah, berkembar dan teres.
Di Malaysia sebagai negara membangun, motosikal dipakai pada umumnya untuk maksud pengangkutan; pergi dari satu tempat ke satu tempat. Ada sebahagiannya untuk maksud rekreasi dan melaram. Bagi anak-anak muda, pada umumnya, ketiga-tiga maksud itu terangkum sekali.
Saya pernah tinggal di sebuah tempat di Kuala Lumpur, agak terpisah sedikit dari jalan-jalan utama. Namun jalan yang melintasi tempat itu agak lurus dalam jarak beberapa kilometer, dua hala. Pada detik jam satu tengah malam, kira-kira 50 orang muda bermotor berkumpul di situ tiap-tiap malam.
Enjin motosikal berderung-derung, berselang-seli dengan ilai ketawa, sebelum mereka meluncur deras bagai ‘nak runtuh’. Dalam beberapa detik saja, mereka sudah berlalu, ditelan kegelapan malam. Entah ke mana destinasi mereka tidaklah diketahui, mungkin ke lebuh raya PLUS yang tidak berapa jauh dari situ. Betapa tidak, melalui lebuh raya adalah percuma!
Apabila TV dan akhbar menyiarkan cerita kematian dan kecederaan akibat nahas motosikal esoknya, saya hanya membuat telahan: ada di antara mereka yang galak-galak ketika embun jantan baru menitik malam tadi sudah tiada lagi, ataupun patah kaki dan lengan. Wallahuaklam.
Setiap tahun sejak 10 tahun dulu antara 900 hingga 1,500 pemandu dan pembonceng motosikal meninggal kerana nahas di jalan raya. Sebahagian besar mereka berusia 16 hingga 20 tahun.
Kebanyakannya berlaku akibat himpitan dari samping dan kurang sekali ‘kolisi’ – depan lawan depan. Ini menggambarkan persaingan kelajuan, himpit-menghimpit untuk mendapat ruang selesa demi mengatasi rakan-rakan di sebelah.
Di negara-negara maju di Barat, motosikal kebanyakan diguna untuk maksud rekreasi di luar musim sejuk dan salji. Justeru terdapat banyak motosikal yang berjenama.
Penunggang-penunggangnya selalu berkumpulan dan berpakaian seragam ‘syok sendiri’. Nahas motosikal di sana amat kurang sekali berbanding nahas kereta.
Kenapa motosikal di tangan anak-anak muda di sini menjadi satu masalah? Pertama, orang muda yang bakal mewarisi negara tidak harus ‘mati katak’ begitu saja. Pastinya di kalangan mereka itu terdapat potensi besar untuk menyumbang kepada kebaikan negara waktu mendatang.
Ketika saya bersekolah, ada kawan-kawan yang cerdik dan berbakat meninggal kerana lemas dalam sungai di belakang rumah dan terjatuh dari tempat tinggi.
Sehingga masuk ke alam dewasa, kami tidak lekang berkata ‘kalaulah dia orang masih ada’ memandangkan ada lapangan-lapangan yang mereka boleh menjadi cemerlang tetapi bukan lapangan kami.
Jika mereka yang berusia 16-20 tahun banyak mengalami kematian dan kecederaan, bagaimana pula mereka pada usia 21-25? Rekod polis menunjukkan banyak kejadian merompak, meragut, peras ugut dan lain-lain di kalangan mereka.
Mangsa mereka ialah orang tua dan wanita yang kelihatan lemah. Hanya rakyat yang terbentuk baik oleh ibu bapa, di satu pihak, dan pelaksanaan undang-undang yang berkesan, di pihak lain, yang boleh menghindarkan masalah itu.
Buat permulaan, jika penunggang motosikal memarahi ‘gila’ kereta yang termasuk jalurnya di tepi jalan, dia juga jangan sesuka hati merempuh ke tengah jalan bagaikan esok sudah tiada.
0 Komentar untuk " Mati muda tunggang motosikal "