Ramadan dan tabiat buruk sepanjang bulan puasa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ramadan dan tabiat buruk sepanjang bulan puasa



Ramadan datang lagi. Tahun ini umat Islam di Malaysia dijangka mula menjalani ibadah puasa pada 27 Mei dan sebulan kemudian bertamu pula Syawal dengan Hari Lebaran yang dinanti-nantikan terutamanya golongan perantau untuk balik kampung.

Kalau diikutkan, belum pun masuk bulan Ramadan sudah terasa mood serta suasana Hari Raya. Ini dapat dilihat dengan kebanyakan pasar raya mula menjual bahan-bahan membuat kuih atau biskut raya.

Di bahagian pakaian pula, sudah disusun dan digantung pelbagai jenis pakaian termasuk baju kurung dan baju Melayu yang sering dikaitkan dengan sambutan Hari Raya, untuk anak atau orang dewasa.
Pelbagai fesyen tudung serta selendang pelbagai corak dan warna juga mula dijual bagi menambah kemeriahan mendandan diri untuk hari lebaran.

Kalau hendak tengok gawatnya orang berbelanja, luangkan masa di Jalan Tunku Abdul Rahman atau Jalan TAR yang sinonim dengan nama Bazar Ramadan dengan jualan serta lambakan pelbagai barangan khusus untuk sambutan Hari Raya.

Apa pun musim perayaan, sesetengah pengguna sudah pasti sakan berbelanja. Tidak cukup wang yang ada, layang sahaja kad kredit atau buat pinjaman peribadi. Lebih parah sekali jika mencari ah long untuk mendapatkan pinjaman mudah!

Saban tahun sikap berbelanja berlebih-lebihan ini bagaikan sukar dikikis bagi sesetengah orang kerana nafsu besar untuk beraya habis-habisan kerana beranggapan “sesekali nak raya” !
Walhal, umat Islam seharusnya lebih berhemat berbelanja baik pada bulan Ramadan amalan belanja berhemat ini seterusnya dijadikan sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

Jika di luar bulan puasa, seseorang mungkin akan makan 4 hingga 5 kali sehari, berpuasa menjadikan seseorang itu hanya makan selepas matahari terbenam dan bersahur pula ala kadar.
Trend sekarang bukan sahaja berbuka puasa di hotel atau restoran yang ligat dengan promosi Bufet Ramadan tetapi juga bersahur di luar.

Perbelanjaan yang sepatutnya berkurangan pada bulan Ramadan mendadak meningkat kerana kos berbuka puasa yang tinggi.

Ada promosi Bufet Ramadan sehingga mencecah ratusan ringgit dengan menu berbuka puasa yang sukar hendak dihadam, berpuluh-puluh jenis, rugilah sekiranya tidak menjamah semua makanan sekiranya perlu membayar tinggi!

Namun sanggupkah memakan begitu banyak makanan yang dihidang hanya untuk memastikan berbaloi wang yang dibayar? Dalam hal ini tidak perlu “tepuk dada tanya selera” kerana kita bukannya baru berpuasa.

Memang ada yang walaupun waktu makannya berkurangan tetapi kuantiti makanan bertambah, seolah-olah ‘membayar niat’ selepas sekian jam berlapar dan berdahaga. Keghairahan membeli juadah berbuka puasa yang berlebihan ini bagaikan ‘alah bisa tegal biasa’.
Tabiat buruk ini dipermudahkan dengan begitu banyak muncul gerai menjual makanan serta minuman pada bulan Ramadan atas nama Pasar Ramadan, menjadikan tapak perniagaan itu seolah pesta memborong juadah.

Membeli dalam keadaan lapar dan dahaga pasti dibuai nafsu mahu makan dan minum bermacam-macam. Takkan cukup jari untuk menjinjing plastik makanan serta minuman.
Percayalah, mereka yang ghairah membeli juadah berbuka puasa akhirnya akan membakul sampahkan makanan yang tidak habis dimakan.

Rakyat Malaysia secara umumnya diketahui begitu banyak membazir makanan. Statistik Pengurusan Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan rakyat Malaysia membazir 17,800 tan makanan sehari.

Setiap kali menjelang Ramadan para ulama khususnya akan mengeluarkan kenyataan supaya umat Islam mengawal nafsu berbelanja sakan, sebaliknya menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk dihayati dan diperbanyakkan amal ibadat. Mereka juga akan diingatkan untuk mengutamakan makanan yang bukan sahaja berkhasiat tetapi dijamin halal.

Seharusnya umat Islam menjadi lebih bijak kerana Ramadan bukan sekali 2 disambut. Sikap membazir ini perlu dikikis jika tidak mahu menjadi ‘saudara syaitan’. Bukankah ada ayat Al Quran yang menyebut “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan!
Jangan nodai kemulian bulan Ramadan dengan amalan pembaziran meskipun ada kemampuan serta kewangan untuk dibelanjakan.

Berpada berbelanja, berpada membeli juadah untuk berbuka puasa dan berpadalah membeli-belah untuk sambutan Hari Raya. Untuk penjawat awam, beringat bila mendapat gaji menjelang Raya yang dijadual dibayar pada 15 Jun kerana gaji bulan Julai akan hanya masuk pada 25 haribulan.
“Selamat Menjalani Ibadah Puasa” untuk semua umat Islam jauh dan dekat.

0 Komentar untuk " Ramadan dan tabiat buruk sepanjang bulan puasa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ