Kreativiti dan inovasi seorang guru - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kreativiti dan inovasi seorang guru



INOVASI merupakan idea atau amalan baru yang dianggap lebih baik. Ia dihasilkan oleh manusia kreatif yang ingin dan mahu memperbaiki apa yang sedia ada. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, inovasi bermaksud sesuatu yang baru diperkenalkan yang meliputi kaedah, sistem, adat dan lain-lain.

Inovasi menjurus kepada usaha dan kaedah mencari jalan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik, sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan. Ia adalah hasil cetusan idea yang kreatif dan inovatif dalam mana-mana aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi dan kehidupan masyarakat secara keseluruhannya.

Pembelajaran pada abad ke-21 kini, dengan keadaan murid generasi Y, Z dan Alpha yang berada dalam suasana dunia tanpa sempadan, menjadikan tugas guru semakin mencabar. Guru tiada pilihan selain meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam bilik darjah. Mereka perlu sentiasa mencabar keupayaan murid berfikir dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu pengajaran yang menarik minat murid.

Selain itu, aktiviti pembelajaran dipelbagaikan dengan kuiz, forum, syarahan, perbahasan, kerja projek dan berkumpulan di luar bilik darjah. Aktiviti sebegini akan menggalakkan murid berfikir, membuat rujukan serta berbincang untuk siapkan tugasan mereka. Proses ini menggalakkan percambahan idea dan membuka ruang untuk dapatan dan ilmu baharu.

Tugas seorang guru juga bukan sekadar mengajar dan menyampaikan ilmu. Guru-guru terlibat dengan tugas-tugas pentadbiran, lebih-lebih lagi jika menyandang jawatan sebagai pentadbir, seperti Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum, GPK Hal Ehwal Murid, GPK Pentadbiran dan guru besar atau pengetua.

Cikgu Hamidah Che Abdul Hamid merupakan Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Islah, Jalan Long Yunus, Kota Bharu. Beliau bukan sahaja hebat dalam mendidik anak-anak muridnya tetapi juga dalam menguruskan pentadbiran sekolah. Walaupun mempunyai peruntukan yang terhad untuk menguruskan sekolah, sebagaimana sekolah-sekolah lain, beliau tidak patah semangat mencari jalan lain bagi memajukan sekolah dan membantu murid dalam kategori miskin terutama mereka yang cemerlang atau mempunyai potensi yang baik untuk cemerlang.

Menurut Cikgu Hamidah, beliau kerap melibatkan komuniti dalam usahanya itu. Baru-baru ini, Perkim Cawangan Wakaf Bharu, dengan kerjasama beberapa syarikat swasta seperti Red Wheels Sdn. Bhd., Co-opbank Persatuan dan JAD Venture telah menyampaikan sumbangan kepada 90 murid cemerlang dari SK Islah, SK Padang Garong 1 dan SK Dato Hashim 2.

Selain itu, seorang murid tahun empat turut mendapat biasiswa khas Perkim Wakaf Bharu, iaitu sumbangan wang saku sehingga tamat persekolahan di SK Islah. Murid ini juga akan turut dibantu daripada segi penyediaan buku latihan, pakaian seragam dan bayaran tuisyen sebagai persediaan menghadapi peperiksaan UPSR. Dia merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan ibunya yang merupakan ibu tunggal mencari rezeki dengan membuat kuih.

Tidak  cukup dengan memasti-kan kecemerlangan pelajar-pelajar beliau, Cikgu Hamidah juga sedang menyiapkan pusat pengumpulan barangan kitar semula di hadapan pagar SK Islah. Kedudukan sekolah di Jalan Long Yunus menjadikannya strategik bagi tujuan tersebut. Orang awam boleh gunakan kemudahan tersebut secara pandu lalu.

Menurut Cikgu Hamidah lagi, beliau sedih apabila banyak pihak luar yang mengatakan bandar Kota Bharu kotor serta menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Pusat pengumpulan barangan kitar semula ini merupakan tanda sokongan kepada kempen kebersihan bandar Kota Bharu. Hasil jualan barangan kitar semula itu nanti akan dimasukkan ke dalam dana PIBG untuk pelbagai tujuan memajukan sekolah.

Selain itu, Cikgu Hamidah juga bercadang untuk mendirikan gelanggang skuasy bagi kegunaan murid sekolah serta orang awam. Ini adalah kerana kemudahan tersebut sangat terhad di bandar Kota Bharu. Di samping itu, beliau juga sedang menaik taraf musala sekolah demi keselesaan murid dan guru.

Walaupun mempunyai tiga projek mega dengan peruntukan amat terhad, Cikgu Hamidah yakin ia akan berjaya dengan sokongan komuniti seperti PIBG, alumni sekolah, badan bukan kerajaan dan pihak swasta. Begitulah usaha gigih seorang guru berinovasi dalam persekitaran pembelajaran hari ini; bukan memikirkan murid semata malah merangkumi masyarakat umum. Semoga dedikasi dan usaha Cikgu Hamidah dijadikan contoh dan menyemarakkan semangat guru-guru sekaliannya.

* Penulis ialah pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

0 Komentar untuk " Kreativiti dan inovasi seorang guru "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ