Aku ada lebih banyak 'likes' - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Aku ada lebih banyak 'likes'



(1) KECELAKAAN besar bagi setiap pengumpat, pencaci

(2) Yang mengumpulkan 'maal' dan berulang-ulang menghitungnya.

(3) Dia menyangka 'maal'nya telah mengekalkannya. (Terjemah-Tafsir Surah Humazah: ayat 1-3)

Surah al-Humazah sangat dahsyat mengutuk Humazah Lumazah. Apakah makna dua perkataan ini yang bunyinya hampir sama?  Motif humazah lumazah adalah sama iaitu mencemarkan maruah orang.

Ar-Razi dalam kitab Mafaatiih al-Ghayb menyenaraikan banyak takrif terhadap humazah lumazah. Salah satu takrif yang saya suka ialah takrif Abu Zaid. Beliau mentakrifkan humazah sebagai mengumpat, mencaci, mencela dengan isyarat tangan dan lumazah dengan lisan.

Biasanya kita fikir mengumpat itu ialah perbuatan lisan. Kita mencegah diri kita dari bercakap tentang keaiban seseorang tapi kita tidak jaga isyarat jasmani kita. Contohnya, kita buat isyarat jasmani dengan sengaja berjalan seperti orang cacat untuk menyindir sahabat yang berjalan begitu.

Ar-Razi juga memetik pendapat Abu al-Aliyah yang mentakrifkan humazah sebagai mencemarkan maruah orang secara bersemuka dengan orang tersebut. Lumazah pula mencemarkan maruah orang dengan cara menikamnya dari belakang.

Biasanya kita kata tidak mengumpat seseorang kalau kita mencercanya secara bersemuka di khalayak ramai. Tapi kita lupa bahawa kita tetap membuka aibnya di khalayak ramai. Aib tidak sepatutnya didedahkan walaupun apa yang kita kata itu benar.

Ar-Razi juga menarik perhatian kita kepada bentuk kalimah humazah lumazah. Bentuk FU’ALAH ini membawa maksud bahawa sesuatu perbuatan itu menjadi adat, budaya, cara hidup yang biasa diamalkan. Humazah lumazah bukan sekadar suatu perbuatan, tapi ia adalah budaya.

Sekarang kita tiba pada persoalan bagaimana humazah lumazah ini menjadi satu psikologi budaya?

Al-Quran tidak membiarkan kita tanpa jawapan. Ayat pertama dalam surah ini memberi amaran keras kepada humazah lumazah. Kecelakaan yang dahsyat bakal menimpa humazah lumazah. Ar-Razi terus menerangkan bahawa ayat kedua dan ketiga fokus kepada sebab psikologi terjadinya humazah lumazah.

Ayat kedua menyatakan bahawa humazah lumazah ialah seseorang yang mempunyai tabiat mengumpulkan maal dan berulang-ulang menghitungnya. Maal biasanya diterjemahkan sebagai harta.

Ar-Razi memberi takrif yang lebih luas. Dia berkata, “Maal adalah segala apa yang terdapat di dunia.” Mengikut takrif ini, maal bukan sekadar harta. Maal juga merujuk kepada kitab-kitab agama dan bukan agama yang kita miliki, ilmu-ilmu yang kita dapat, jumlah undi yang sokong kita semasa pilihan raya, jumlah likes pada Facebook kita!

Ar-Razi berkata bahawa banyaknya maal yang kita miliki membuat kita rasa lebih mulia dan hebat. Lalu, kita mencari kekurangan orang lain dengan mengumpat untuk menaikkan kemuliaan yang kononnya ada pada diri kita.

Saya terbayang seseorang yang suka mengumpul likes pada Facebook. Setiap saat dia menghitung-hitung likes dan membandingkan jumlah likes pada FB orang lain. Dia menyindir mereka yang kurang likes daripadanya. Dengan berbuat demikian, dia rasa terhebat, mulia dan berjaya. Rasa takjub pada dirinya bertambah bila bertambah likes dan bertambah giat lagi dia mencari kekurangan pada orang lain. Likes adalah maal bagi humazah lumazah ini.

Kita lihat kegilaan kejar likes sudah jadi budaya. Humazah lumazah tidak rasa cukup dengan hanya banyakkan likes tetapi dia banyakkan likes dengan cara mengutuk orang lain.

Kita lihat sebahagian agamawan kita kejar likes dengan setiap hari mencerca orang lain dengan pelbagai label seperti wahabi, liberal, barua. Ini seolah-olah yang menjadikan dia beragama ialah kerana reaksi anti-wahabi, bukan kerana takwa.

Ayat ketiga mengandungi kontroversi. Mengapa ayat ketiga menggunakan kata kerja masa lampau iaitu: “Dia menyangka maalnya TELAH  mengekalkannya” dan bukan kata kerja masa depan iaitu: “AKAN mengekalkannya”?

Ar-Razi berkata bahawa kata kerja masa lampau digunakan dalam konteks ini kerana psikologi humazah lumazah ialah dia menyangka bahawa selama ini dia hidup, tidak mati, kerana maalnya yang banyak. Kalau maalnya berkurangan, maka hidupnya akan berisiko tinggi. Maalnya yang banyaklah TELAH mengekalkannya di dunia selama ini.

Selamat menyambut Ramadan dengan menjauhi budaya humazah lumazah.

* Abdul Naser Tun  Rahman Tokoh Pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Aku ada lebih banyak 'likes' "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ