Muadz ditarbiah Rasulullah sendiri - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Muadz ditarbiah Rasulullah sendiri



KETIKA Semenanjung Tanah Arab disinari cahaya hidayah dan kebenaran, terdapat seorang anak muda Yathrib dengan wajah tampan, rambut hitam bersinar dan mata bercelak bernama Muadz bin Jabal. Ketampanan beliau berjaya menarik perhatian ramai orang. Beliau memeluk Islam di hadapan pendakwah dari Kota Makkah, Mus'ab bin Umair pada malam perjanjian Aqabah. Beliau adalah anak muda yang berjabat tangan dengan Baginda SAW dan berjanji untuk taat setia serta sanggup berjuang menyebarluaskan agama dibawa Baginda.

Menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi mengenai Muadz, insan yang diiktiraf Rasulullah SAW dengan berkata: "Umatku yang paling arif mengenai halal dan haram ialah Muadz bin Jabal." Tatkala beliau memeluk Islam, anak muda ini bersama remaja lain mula bergerak untuk menyebarluaskan agama Allah SWT. Namun, mereka menggunakan pendekatan dan cara yang sangat berbeza.

Sembunyikan berhala 

Pada malam hari, mereka secara rahsia menyembunyikan berhala yang disembah orang Musyrik Madinah. Antara berhala itu milik Amru bin Al-Jamuh, seorang lelaki tua yang memimpin kaumnya, Bani Salamah dan enggan memeluk agama Allah SWT. Maka, Muadz bersama anak Amru yang sudah memeluk Islam mencari helah untuk mencabut berhala Manata daripada hati Amru bin al-Jamuh. Mereka mengambil berhala itu di tengah malam dan diletakkan di tempat pembuangan sampah.

Keesokannya, Amru mencari berhala berkenaan dan menjumpainya. Kemudian, dimandikan dan dipakaikan dengan pakaian baharu. Malam keesokannya hilang lagi dan saban hari perkara itu berulang. Apabila orang tua itu penat kerana berhalanya hilang tiap-tiap malam, akhirnya beliau berkata kepada berhalanya: "Wahai Manata, andainya engkau ini ada kebaikan padamu, kamu lawanlah sendiri penjahat yang berbuat jahat kepadamu. Aku tidak tahu siapa yang berbuat jahat kepadamu sedangkan engkau dapat melihat mereka." Amru bin Jamuh meletakkan pedangnya kepada Manata untuk dibiarkan berhalanya berlawan sendiri.

Pada malamnya, sesudah orang tua itu nyenyak tidur, anaknya bersama Muadz bin Jabal mengangkut berhala berkenaan. Pada malam itu mereka menemui bangkai anjing lalu meletakkan Manata berpelukan dengan bangkai anjing serta diikat pedang Amru di situ. Kemudian dicampakkan ke tempat pembuangan sampah. Keesokan harinya Amru yang sudah mula hilang keyakinan kepada berhala mendapati berhalanya hilang. Dicarinya dan ditemui di dalam lubang tempat pembuangan sampah dalam keadaan berpelukan dengan bangkai anjing. Maka ketika itu dia tidak lagi mengambil Manata, tetapi mengungkapkan satu syair. Katanya: "Demi Allah, kalaulah engkau Tuhan, engkau tidak akan berpelukan dengan anjing di dalam lubang." Akhirnya beliau memeluk agama Allah SWT berkat kenakalan dan kecerdikan anaknya dan Muadz.

Ketika Rasulullah SAW tiba di Kota Madinah, Muadz sentiasa bersama Baginda, mengikut dan mengambil al-Quran daripada bacaan Baginda. Beliau juga mengecapi syariat Islam langsung daripada Rasulullah SAW sehingga dikenali sebagai qari dalam kalangan sahabat. Diceritakan oleh Yazid bin Kutaib: "Aku pernah memasuki sebuah masjid di Hims maka di sana aku dapati ada seorang anak muda yang rambutnya kerinting sedang dikerumuni oleh orang ramai. Maka apabila dia bercakap dan berbicara seolah-olah yang keluar daripada mulutnya itu ialah nur dan mutiara. Bahasa yang sangat indah dan ilmu yang sangat mahal. Maka aku bertanya kepada orang yang duduk bersama denganku siapakah itu? Maka kata orang ramai, itulah sahabat Rasulullah SAW yang bernama Muadz.

Muadz jadi tumpuan 

Begitu juga Abu Muslim al-Khawalani menceritakan bahawa beliau pergi ke sebuah masjid di Damsyik dan mendapati terdapat satu halaqah tergolong daripada 30 hingga 50 orang sahabat. Ketika itu terdapat seorang anak muda yang tampan dan setiap kali kumpulan itu menghadapi satu soalan yang tidak dapat diselesaikan, mereka menghalakan wajah kepada anak muda itu. Maka kata Abu Muslim: "Aku bertanya kepada mereka yang duduk di dalam majlis itu siapakah anak muda itu? Kata mereka, itulah sahabat Rasulullah SAW, Muadz bin Jabal." Itulah kelebihan Saidina Muadz bin Jabal yang mendapat tarbiah langsung daripada Rasulullah SAW. Muadz antara enam sahabat yang menghafal al-Quran di zaman Rasulullah SAW dan mengumpulkan al-Quran secara sempurna. Ketika zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar mengambil Muadz menjadi guru kaum Muslimin kerana ketokohan dan kewibawaan ilmunya.

Ketika peristiwa Pembukaan Kota Makkah, ramai orang Quraisy memeluk Islam. Baginda SAW melantik 'Itab bin Usaid sebagai pemimpin kota Makkah dan meninggalkan Muadz sebagai guru untuk mengajarkan al-Quran dan memberikan kefahaman agama kepada mereka. Saat datangnya utusan daripada Raja Yaman, Raja Bazan yang menyatakan kerelaannya memeluk Islam serta menyatakan keislaman seluruh rakyat jelata di bawah pemerintahannya, beliau meminta Baginda SAW mengutuskan kepadanya orang yang boleh mengajarkan Islam. Rasulullah SAW memilih Muadz bin Jabal untuk memikul tanggungjawab besar itu. Beliau adalah sebaik-baik murid kepada Rasulullah SAW dan menjadi guru kepada ramai kaum Muslimin yang dahagakan ilmu serta kefahaman Islam.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/285795
0 Komentar untuk " Muadz ditarbiah Rasulullah sendiri "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ