Guru bukan sebarang guru - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Guru bukan sebarang guru



“SEMUA agama dan Tuhan adalah candu!” saya berhujah dengan seorang guru yang mengajar di Institut Teknologi Mara, Cawangan Sri Manjung, Perak.

Saya masih ingat perbincangan saya dengan ustaz ini bermula di pejabatnya pada tahun 1984. Walaupun pada masa itu saya masih 18 tahun, saya memang suka mempersoalkan warisan.

Pepatah bisnes ialah no money no talk. Pepatah bagi saya ialah no hujah, no talk. Pepatah mafia ialah lu langsi, lu mati!. Pepatah saya pula ialah lu kalah hujah, lu mati!.

Ramai kawan-kawan Muslim berusaha berdakwah kepada saya tetapi kecundang. Tetapi kali ini, saya bertemu seorang guru yang bukan sekadar bijak, tetapi sentiasa senyum dan membuka ruang yang luas kepada saya untuk mempertikaikan warisan.

“Ustaz, buktikan Tuhan itu wujud!” saya mencabar.

Saya menyangka ustaz itu akan merah muka dan marah saya kerana mempertikaikan kewujudan Tuhan. Tetapi saya terkejut. Beliau senyum seolah-olah janggutnya pun senyum sekali. Saya terbayang kambing yang senyum.

“Mengapa kamu kata Tuhan tak wujud?” Ustaz pula mempersoalkan soalan saya!

“Kerana saya tak pernah nampak Tuhan.” Saya jawab dengan yakin.

“Kamu pernah pergi ke negara Jepun?” Ustaz terus bertanya. Hati saya berbisik apa relevannya soalan ini. Saya geleng kepala, “Belum.”

“Kalau tak pernah pergi Jepun, bagaimana kamu tahu negara Jepun itu wujud? Kamu tak pernah nampak Jepun. Apa yang media siarkan mungkin candu semata-mata.” Respons ustaz ini membuat saya rasa terperangkap. Tetapi saya tetap tidak begitu mudah untuk kalah.

“Ustaz, tetapi apa bukti kukuh bahawa Tuhan itu wujud? Ustaz belum lagi bagi sebarang bukti,” saya tidak menyerah kalah dengan mudah. Saya terus demand ustaz untuk jawab salan saya.

Walaupun cara saya mempersoalkan itu rasanya agak kasar, tetapi ustaz tetap dengan senyuman kambingnya yang manis. Hati saya semakin dilunakkan! Apa lagi hujah ustaz?

“Saya tak perlu buktikan kewujudan Tuhan kepada kamu kerana sejarah manusia membuktikan memang fitrah majoriti besar manusia ialah percaya kepada kewujudan Tuhan. Kamu golongan minoriti, maka kamulah yang perlu buktikan bahawa Tuhan itu tak wujud kepada saya. Contohnya, majoriti besar manusia percaya kepada kewujudan negara Jepun. Maka, kalau minoriti seperti kamu kata ia tak wujud, kamulah yang patut bagi hujah kukuh bahawa negara Jepun tak wujud. Bukan saya dan bukan majoriti manusia! Apa bukti Tuhan tak wujud?”

Respons ustaz agak panjang kali ini seolah-olah untuk memastikan yang saya benar-benar faham dalam keadaan terperangkap! Ustaz pula tembak soalan balik kepada saya.

Saya terdiam. Bagaimana saya dapat bagi bukti kukuh bahawa Tuhan tak wujud? Kalau saya kata saya tak nampak, sudah tentu akan makan diri saya balik kerana saya tak nampak udara, tak nampak Jepun, tak nampak cinta!

Ustaz tersenyum lagi dan lagi dan lagi, menanti dengan sabar persoalan saya seterusnya. Jiwa saya memberontak. Akhirnya saya tanya dengan sinis, “Saya minta ustaz bagi saya bukti, tapi ustaz pula minta balik saya bagi bukti seolah-olah ustaz dan saya tiada bukti kukuh sebenarnya. Hanya persoalan-persoalan. Rasanya mungkin Tuhan tak wujud dan mungkin Tuhan wujud. Kedua-dua pun tiada bukti kukuh, betul tak?” Saya pula tersenyum seolah-olah saya yakin akhirnya saya menang hujah.

Ustaz jawab selamba, “Kalau Tuhan tak wujud, kamu dan saya selamat. Sama-sama jadi tanah. Tiada perbicaraan. Kalau Tuhan wujud, apakah nasib orang yang menafikan kewujudannya berbanding dengan orang yang setia pada-Nya? Pilihlah mana satu alternatif yang kamu suka. Kamu bebas!”

Ustaz tidak memaksa. Beliau membuat saya berfikir dan tidak berhenti berfikir sampai sekarang setelah lebih 30 tahun.

Inilah guru saya yang saya terhutang budi seumur hidup saya. Perbincangan kami tidak berakhir di situ. Ia bersambung di rumahnya untuk banyak sesi. Guru yang  penyantun, berhikmah dan membuka minda. Saya ingat nama penuh guru saya ini: Ustaz Suwardi Haji Sapuan.

Selamat Hari Guru kepada semua.

*Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Guru bukan sebarang guru "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ