Guna mediasi tangani konflik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Guna mediasi tangani konflik



MEDIASI adalah satu langkah intervensi bagi menyelesaikan konflik dalam masyarakat dengan melibatkan pihak ketiga yang bersifat neutral. Ia adalah proses mencapai perdamaian melalui seorang mediator yang akan membantu pihak-pihak yang bersengketa mencapai penyelesaian tanpa melibatkan penguat kuasa undang-undang mahupun mahkamah.

Melihat kembali sejarah, kedatangan British ke Tanah Melayu bermula pada tahun 1786 apabila Francis Light menduduki Pulau Pinang dan seterusnya Seberang Perai dengan termeterainya perjanjian pada tahun 1800.

Sehingga kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, pihak British telah melaksanakan dasar Pecah dan Perintah (Divide and Rule) yang telah menyumbang kepada berlakunya perpecahan antara kaum terbesar di Tanah Melayu ketika itu iaitu Melayu, Cina dan India.

Bagi memastikan kelangsungan penguasaan ekonomi dan politik British, kaum-kaum utama yang wujud ketika itu telah dikelaskan mengikut jenis pekerjaan dan sistem pendidikan yang berbeza.

Melalui dasar ini, orang Melayu ditempatkan di kawasan luar bandar; kebanyakan mereka mencari rezeki dengan menjadi nelayan dan petani. Manakala kaum Cina pula menetap di kawasan bandar dan menguasai aktiviti ekonomi serta perlombongan. Masyarakat India pula tinggal di estet-estet serta pinggir bandar.

Ini menyebabkan masyarakat petani Melayu, peniaga Cina dan buruh ladang berketurunan India pada ketika itu tidak berkomunikasi secara langsung serta berasa curiga antara satu sama lain. Dasar Pecah dan Perintah penjajah British ini telah menghalang perpaduan ketika itu kerana tiada atau sangat kurangnya interaksi antara kaum.

Perasaan curiga serta tidak puas hati ini telah menyebabkan pelbagai konflik yang kemuncaknya adalah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Susulan kejadian itu, Jabatan Perpaduan Negara telah ditubuhkan pada 1 Julai 1969 di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk memelihara, mengekal dan meningkatkan hubungan antara kaum ke arah perpaduan nasional bagi mewujudkan keharmonian negara.

Nama Jabatan Perpaduan Negara ditukar kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) pada tahun 2004. Salah satu peranan JPNIN adalah mengemukakan langkah-langkah holistik dalam mengurus perpaduan negara dan integrasi nasional.

Antara langkah yang telah dilancarkan adalah Skim Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela, di mana ahli masyarakat mengambil bahagian dalam menjaga keselamatan kampung atau taman perumahan.

Aktiviti atau program sebegini membuka ruang untuk mereka berinteraksi, memupuk rasa kebersamaan dan persefahaman. Selain itu, JPNIN juga telah mewujudkan Tabika Perpaduan sejak tahun 1976 bagi menyemai nilai-nilai perpaduan sedari awal lagi, iaitu ketika kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun.

Faktor globalisasi dengan realiti dunia tanpa sempadan sekarang ini telah memberi kesan kepada suasana politik, ekonomi, sosial dan budaya masyarakat kita. Sedikit sebanyak, ia telah mengubah tahap dan gaya pemikiran masyarakat menjadi lebih dinamik dan kritis.

Ancaman doktrin kumpulan pengganas dalam mempengaruhi masyarakat kita agar terjerumus ke arah ideologi ekstrem amat menakutkan. Ia mampu menggugat keamanan yang telah dikecap.

Faktor media terutama media sosial juga amat penting dalam mempengaruhi persepsi dan pemikiran masyarakat. Terbaru, telah tular video pergaduhan yang disebabkan insiden membunyikan hon di kawasan masjid sewaktu umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat. Seperti biasa, penularan kejadian sebegini mengundang mesej-mesej berbaur perkauman dan kebencian.

Kebebasan bersuara kerap disalahgunakan demi menyalurkan rasa tidak puas hati sedangkan mereka mungkin tidak tahu pun perkara sebenar, hanya melihat video yang tular. Kita harus sedar bahawa tinggal di negara yang mempunyai masyarakat majmuk dengan pelbagai latar belakang, sosiobudaya dan agama menuntut kita untuk menjadi lebih sensitif.

Dalam hal ini, saya ucapkan syabas kepada JPNIN yang telah mewujudkan mediator komuniti dalam usaha mengurangkan persengketaan antara kaum dan membantu mencari penyelesaian antara pihak yang bertelagah bagi memelihara keharmonian masyarakat.

Proses mediasi adalah penyelesaian kepada konflik. Tidak perlu membawa setiap perkara ke mahkamah kerana akhirnya yang menang akan menjadi arang dan yang kalah menjadi abu.

Akhir kata, kekalkan perpaduan dan keharmonian yang telah kita kecapi selama ini kerana tiada siapa yang untung jika negara huru-hara. Bak kata pepatah, bersatu teguh, bercerai roboh.

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

0 Komentar untuk " Guna mediasi tangani konflik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ