Beza pau apek dengan pau polis - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Beza pau apek dengan pau polis



PETANG itu ketika minum dan bersantai bersama pengamal media, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan para penguat kuasa supaya jangan meminta ‘duit pau’.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri itu memberi amaran: “Zaman dapat rezeki tidak halal menerusi pau sudah berlalu, tinggalkan amalan tersebut, atau kita akan ambil tindakan tegas.”

Maka teringat saya zaman kanak-kanak di mana pau dianggap makanan mewah waktu pagi, sebab ketika itu ubi kayu atau keledek rebus adalah sarapan setiap hari orang kampung.

Setiap pagi apek berseluar pendek dan bersinglet dari pekan Bukit Gambir berbasikal masuk kampung, menjual pau dalam raga. Biasanya pagi Jumaat abah akan belanja saya pau.

Harganya 15 sen. Jika waktu pulang tengah hari ada baki pau yang tidak laku, Cina tua yang baik hati itu akan jual lelong pada harga 10 sen.

Hanya dua jenis pau, kaya dan kacang merah. Kegemaran saya ialah kacang merah yang bila dikuak dengan jari nampak kontras betul inti kacang merah dengan pau yang putih melepak.

Oleh sebab rumah saya paling hampir dengan pekan kecil itu, pau yang saya terima masih panas berwap. Harum semerbak sebaik sahaja apek berhenti dan membuka raga.

Semua orang tahu apek yang buat pau itu. Tetapi budak-budak tidak kira Cina, India dan Melayu membeli dan makan pau berkenaan tanpa banyak soal. Malah, kuih itu menjadi semacam simbol perpaduan kaum.

Apabila masuk sekolah rendah, saya tahu makna lain pau. Anak-anak muda berbasikal yang baru balik dari pekan akan menjerit: “Jangan pergi pekan, dekat simpang ada polis mintak pau!”

Kemudian saya tahu sendiri bahawa pau yang dikatakan polis minta itu bukan jenis kuih yang apek jual dalam raga. Bukan pau kaya atau pau kacang merah. Pau itu adalah ‘duit kopi’ @ ‘pengeras’ @ ‘suap’ @ ‘tumbuk rusuk’ @ rasuah.

Waktu itu di kampung saya – dan di seluruh negeri Johor – basikal perlu ada cukai jalan, orang kampung sebut ‘lesen’, yang mesti diperbaharui setiap tahun, hanya RM2.

Selalu ada anggapan dalam kalangan orang kampung bahawa polis akan ‘pau’ mana-mana penunggang basikal tidak berlesen. Mereka yang belum memperbaharui lesen perlu mengikut jalan lain – melalui semak-samun – untuk mengelakkan pemeriksaan polis.

Sekali peristiwa saya berbasikal hendak ke pekan dan dua orang polis berjaga di simpang. Oleh sebab cukai jalan sudah mati, saya cuba menyimpang ke jalan lain, tetapi disergah polis: “Jangan pergi jalan lain, mari sini!”

Terketar-ketar saya memimpin basikal ke arah polis. Lebih kecut lagi apabila polis yang ada satu calit itu, memegang basikal saya dan bertanya: “Lesen dah mati ke?”

Polis yang seorang lagi tersenyum, bertambah gementar saya dibuatnya. Katanya: “Kalau tak ada lesen pun jangan ikut jalan lain lalu semak, bahaya ada ular ke, kala jengking ke...”

Si calit satu itu memberi isyarat supaya saya jalan, sambil berkata: “Nanti suruh abah beli lesen baru!” Macam tidak percaya, polis melepaskan saya tanpa sebarang pau.

Selepas peristiwa itu, dan setelah road tax basikal diganti, setiap kali ada polis di simpang, saya tersenyum sambil mengangkat tangan.

Baru saya tahu polis yang bertali pinggang besar, berseluar pendek labuh dan stoking hingga ke lutut itu bukan lagi menakutkan, sebaliknya boleh membantu.

Dan, apabila masuk tingkatan satu saya berkawan baik dengan anak gadis polis bercalit satu, saya jadi mesra dengan keluarga polis di Balai Polis – orang tempat saya sebut ‘rumah pasung’ – Bukit Gambir.

Sampai sekarang polis tidak pernah pau saya. Memang, sekiranya melanggar kesalahan lalu-lintas polis meminta saya berhenti, dan meminta lesen memandu. Sekiranya kesalahan kecil kad akhbar @ press card banyak membantu. Dia tidak pernah minta pau, biasanya menasihatkan: “Hati-hati memandu, sayangkan nyawa semua orang...”

Pernah sekali ketika tergesa-gesa hendak ke satu tugasan, saya memotong di laluan tidak boleh memotong, dan saya ditahan polis. Apabila saya tunjukkan kad akhbar, polis berkata, macam perli: “Ini kad kerja, kad ini tidak membenarkan tuan potong double lines...” Tetapi dia tidak saman, tidak juga meminta pau.

Pendek kata, saya masih yakin bukan semua polis ambil kesempatan dan suka minta pau. Namun tidak juga dinafikan, memang ada polis, termasuk yang berpangkat tinggi, mengambil pau.

Dan pau hari ini jauh lebih bernilai dari pau kaya atau pau kacang merah zaman saya budak-budak dulu. Pau sekarang nilainya ribu-ribu, puluh-puluh ribu, malah mungkin juta-juta.

Seperti yang dilaporkan media, banyak pegawai tinggi polis terlibat dalam pau, termasuk melindungi pelbagai kegiatan jenayah. Ini bukan sembarang pau!

Meski saya selalu berbaik sangka terhadap polis, seorang dua yang makan pau haram, mesti diambil tindakan tegas. Orang ramai kini menunggu rombakan besar-besaran PDRM. Pemakan pau – dari pangkat terendah hingga pangkat tertinggi – mesti dinyahkan!

0 Komentar untuk " Beza pau apek dengan pau polis "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ