BETA bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya juga, beta dan Raja Permaisuri berpeluang meraikan warga guru di Istana Iskandariah, sempena sambutan Hari Guru 2017. Sambutan Hari Guru tahun ini, bertemakan 'Guru Pembina Negara Bangsa'. Tema ini selaras dengan hasrat yang tersurat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Semangat patriotik dan penghayatan prinsip Rukun Negara digariskan sebagai teras kepada agenda melahirkan satu generasi yang berbangga, dikenali sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama mahupun status sosioekonomi untuk merealisasikan pembinaan negara bangsa Malaysia.
Kamus Dewan mentakrif negara bangsa sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Negara ialah entiti politik - entiti geopolitik, sementara bangsa adalah entiti budaya - entiti etnik; Negara bangsa adalah satu konsep kenegaraan yang memperoleh pengesahan politik; satu entiti bagi satu-satu bangsa dalam sebuah wilayah berdaulat; istilah negara bangsa menyepadukan negara dan bangsa; dipertautkan melalui perkongsian wilayah bersama, ekonomi bersama, serta mempunyai unsur-unsur subjektif bersama; ia menandakan bahawa warganya telah bersedia berkongsi satu bahasa - satu budaya - satu nilai - satu wawasan. Negara bangsa adalah komuniti politik, warganya terangkum dalam sebuah wilayah yang mempunyai simbol kewibawaan yang dijadikan asas untuk memupuk nilai-nilai patriotisme, kebanggaan dan jati diri. Membina negara bangsa adalah proses yang kompleks lagi rumit, proses berterusan yang tidak ada noktah. Ketika negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, yang dilahirkan ketika itu hanyalah sebuah negara baharu; negara merdeka yang mempunyai kedaulatan ke atas warga dan wilayah yang ditetapkan, tetapi bangsa Malaysia belum wujud.
Ikhlas cipta penyatuan
Kesungguhan hasrat membina negara bangsa perlu dilandaskan atas minda dan melalui hati terbuka, diperkukuhkan dengan keikhlasan mahu mencipta penyatuan dan bekerja untuk mencapai penyatuan. Hasrat membina negara bangsa hanya akan tercapai jika ada penyatuan niat dan penyatuan kesungguhan di antara kerajaan dan warga, diterima sebagai agenda nasional bersama, dilaksanakan dengan satu tekad dan satu kesungguhan, menjiwai semangat 'di mana bumi dipijak - di situ langit dijunjung', menjunjung prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara.
Penubuhan Persekutuan dalam tahun 1957 disusuli dengan pembentukan Malaysia, adalah pencapaian untuk menubuhkan sebuah negara merdeka, sementara membangunkan negara bangsa adalah proses yang masih menghadapi pelbagai cabaran, dan amat dibimbangkan, cabaran yang sedang dihadapi dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang teguh bersatu - kukuh berpadu, kini menghadapi ujian lebih besar dan bertambah rumit. Pelbagai istilah penyatuan diperkenalkan - pelbagai slogan direka cipta, pelbagai logo dilakar, pelbagai lirik dikumandangkan, namun masih tidak memperlihatkan impak keberkesanan menurut yang diimpikan.
Malah slogan ke arah membentuk satu warga bangsa, akhir-akhir ini, lebih banyak menimbulkan keraguan, lebih mengundang kontroversi; semakin dipolemikkan - semakin dipolitikkan. Kerencaman agama, kaum, budaya dan bahasa, ditambah dengan taburan demografi, perbezaan antara warga kota dengan warga desa, antara generasi tua dengan generasi muda, antara yang miskin dengan yang kaya telah mewujudkan jurang yang semakin merenggangkan warga. Ditambah dengan perbezaan pencapaian akademik, pencapaian sosioekonomi, perbezaan pendedahan antara siswazah institusi pengajian awam dengan siswazah institusi pengajian swasta, perbezaan nilai di kalangan produk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah vernakular dan sekolah antarabangsa.
Begitu pula dengan perbezaan minda di antara tenaga kerja di sektor awam dengan tenaga kerja di sektor swasta. Kafilah politik pula semakin mengadaptasi budaya berkonfrontasi dan semakin tidak menghargai budaya konsultasi. Warga kini semakin keliru, akibatnya warga semakin terpisah daripada bersatu. Selepas hampir enam puluh tahun mencapai kemerdekaan, negara bagai telah melupakan institusi yang pernah berperanan sangat penting - sangat berkesan, membina prasarana minda yang telah mencetuskan gerakan menuntut kemerdekaan, di samping menyediakan platform penyatuan di kalangan rakyat daripada pelbagai agama, pelbagai kaum dan pelbagai negeri, yang kesetiaan mereka ketika itu adalah kepada Raja Pemerintah di negeri masing-masing.
Pada era prakemerdekaan, Tanah Melayu belum dikenali sebagai sebuah negara, belum ada bendera negara, belum ada lagu kebangsaan, belum ada Bahasa Kebangsaan, belum ada Ketua Negara yang bergelar Yang di-Pertuan Agong. Namun, rakyat di Tanah Melayu ketika itu, telah ada penyebut atau denominator yang sama, mahukan sebuah negara merdeka berkerajaan sendiri. Warga guru ketika itu, terutama yang berada di sekolah pondok, di sekolah agama dan di sekolah Melayu, adalah antara penggerak paling vokal, menjuarai tuntutan kemerdekaan; dan sekolah telah berperanan sebagai tapak semaian benih penyatuan hasrat - penyatuan matlamat.
Agenda pendidikan diutama
Agenda pendidikan diutamakan oleh kerajaan untuk mengisi kemerdekaan dan untuk memberi erti kemerdekaan kepada rakyat. Meskipun pada era pascamerdeka dan pada era konfrontasi pasca penubuhan Malaysia, negara menghadapi ancaman keselamatan daripada Parti Komunis Malaya dan musuh negara luar, pimpinan negara tidak menjadikannya satu justifikasi untuk membina banyak berek tentera, menambah peralatan perang dan membesarkan angkatan tentera, tetapi kekal memberi prioriti untuk membina sekolah, membina asrama pelajar dan menambah bilangan guru. Peristiwa hitam perselisihan kaum pada 13 Mei 1969 mencetuskan situasi darurat di dalam negara. Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen digantung. Negara diurus tadbir oleh pemerintahan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), badan pemerintahan yang mirip berbentuk militer. Pemerintahan MAGERAN memberikan kuasa mutlak kepada Pengarah MAGERAN.
Tun Abdul Razak Hussein (Allahyarham) selaku Pengarah MAGERAN mempunyai opsyen untuk memperbesarkan angkatan tentera atas justifikasi keselamatan negara; tetapi Tun Abdul Razak memilih formula untuk mengilmu dan membijaksanakan rakyat dengan menambah peluang pendidikan untuk rakyat, dengan membina lebih banyak universiti, kolej dan maktab yang diperlengkapkan dengan biasiswa untuk membiayai pengajian pelajar daripada keluarga miskin. Golongan guru berada di barisan hadapan, berperanan sebagai ejen perubahan paling berkesan, menggerakkan minda dan mencanai budaya keilmuan di kalangan warga.
Di samping komitmen kerajaan, isu pendidikan adalah mauduk yang mendapat tempat utama dalam konvensyen-konvensyen parti politik serta kongres, seminar dan forum pelbagai badan bukan kerajaan. Guru ketika itu, adalah barisan cerdik pandai atau inteligensia bangsa, berada di barisan hadapan memberikan pimpinan; malah sehingga awal 1980-an, warga guru adalah 40 peratus komposisi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO, parti politik terbesar di tanah air. Ketika itu, jawatan Menteri Pelajaran adalah jawatan yang diidamkan oleh pemimpin UMNO yang bercita-cita besar. Jawatan Menteri Pelajaran dilihat sebagai tapak lonjakan untuk mendapat jawatan parti dan jawatan kerajaan yang lebih tinggi, dan guru berperanan sebagai kingmaker.
Terbabit proses penggubalan dasar
Untuk tempoh 25 tahun pertama kemerdekaan negara, warga guru terbabit secara langsung di bilik-bilik darjah dan secara tidak langsung melalui pembabitan dalam proses penggubalan dasar dan pengolahan agenda membina negara bangsa. Oleh kerana representatif guru begitu tinggi di setiap peringkat pimpinan politik, suara guru dan konstituen pendidikan sangat mempengaruhi dasar dan budaya berpolitik pada era berkenaan. Politik yang berakarkan idealisme mendominasi budaya politik ketika itu. Dominasi pengaruh dan nilai politik warga guru kemudiannya beransur susut dengan kedatangan gelombang baharu yang semakin melahirkan kumpulan kelas menengah Melayu, produk daripada kejayaan program pendidikan, yang direncanakan dalam Dasar Ekonomi Baru, untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia; dua strategi, bertujuan mencapai matlamat perpaduan negara dan integrasi nasional. Program pendidikan adalah program Dasar Ekonomi Baru yang paling berjaya. Namun demikian, kelas menengah Melayu yang berjaya dilahirkan, hanya memenuhi sebahagian kecil daripada matlamat asal Dasar Ekonomi Baru.
Berasaskan data-data milik harta, sasaran material yang dihasratkan tidak tercapai kerana berlaku terlalu banyak ketirisan dan penyalahgunaan peluang. Bukan sahaja sasaran material tidak tercapai dalam tempoh yang ditetapkan, tetapi matlamat sebenar untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional tidak membuahkan hasil menurut yang dihasratkan. Semakin membimbangkan, apabila senario semasa menunjukkan warga muda Malaysia daripada pelbagai kaum, kelihatan semakin terpisah, memiliki ruang sangat minimum untuk berpeluang berinteraksi atau peluang untuk dapat mengenali antara satu sama lain. Sekolah yang pada suatu masa dahulu, berperanan sebagai taman yang membolehkan anak Malaysia daripada pelbagai kaum dapat dididik dan didewasakan secara bersama, pada hari ini tidak lagi dalam posisi yang berupaya memenuhi peranan itu; lantas tidak memungkinkan tercapainya satu daripada matlamat dasar pendidikan nasional, iaitu, untuk memupuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu.
Hari ini, negara kelihatan masih mencari-cari formula integrasi yang berkesan. Lebih membimbangkan apabila minda anak muda semakin disemburi dengan racun pemisah kerana retorik politik berunsur perkauman semakin dieksploitasi dan semakin diberikan tempat di pentas utama. Dunia hari esok, dilahirkan dalam alam persekolahan hari ini; dan guru berperanan sebagai jurubina kepada sesebuah negara bangsa; guru adalah dermawan yang amat pemurah dan pemegang amanah kepada kebajikan umum.
Agenda pendidikan tidak boleh dikompromikan
Terbukti bahawa negara yang mengutamakan peranan guru, negara yang menghargai perkhidmatan guru, negara yang meletakkan agenda pendidikan mendahului agenda lain dan negara yang mentakrif perbelanjaan pendidikan sebagai pelaburan yang memberikan pulangan dividen besar, adalah negara yang membina landasan yang strategik, serta memiliki wawasan yang bijak. Agenda pendidikan sama sekali tidak boleh dikompromikan dan kualiti pendidikan tidak boleh dikorbankan kerana negara dibangunkan oleh warganya dan warga dibentuk oleh guru.
Hari ini, Malaysia diiktiraf, antara negara termaju di kalangan negara-negara membangun yang mencapai kemerdekaan pasca Perang Dunia Kedua. Prestasi pencapaian gemilang Malaysia itu telah dijayakan kerana peranan berkesan sekolah dan peranan berkesan guru pada hari semalam. Malangnya, peranan berkesan sekolah dan guru di belakang cerita kejayaan negara, kurang diberikan pengiktirafan. Peranan hebat warga guru, tidak sekadar mendidik anak muridnya mencapai markah peperiksaan yang cemerlang, tetapi lebih penting daripada itu, mereka telah menyemai dalam jiwa dan sanubari anak didik pada era pra dan pascamerdeka nilai-nilai amanah, jujur dan ikhlas serta nilai-nilai bersih, telus dan berintegriti. Guru memiliki pengaruh luar biasa untuk mencanai minda dan membentuk keperibadian luhur, murni dan mulia di kalangan pelajar. Perkara yang ada kalanya dianggap kecil seperti belaian kasih - sentuhan sayang serta sifat adil, pemaaf dan bertimbang rasa yang dilakukan oleh seorang guru, sebenarnya mempunyai impak yang amat besar dalam hidup seseorang pelajar.
Kenangan penuh nostalgia murid terhadap seseorang guru, dipengaruhi oleh perkara yang mungkin dianggap kecil dan remeh, tetapi perkara kecil dan remeh itu yang mengandungi unsur pengorbanan dan nilai keinsanan dan kemanusiaan yang tinggi. Sesungguhnya, sekolah adalah institusi terbaik untuk menyuntik semangat negara bangsa; peranan yang telah dilaksanakan oleh sekolah untuk sekian lamanya. Pada era pra dan pascamerdeka, di samping tugas tersurat untuk menyampaikan ilmu, guru memenuhi peranan tersirat membina adat dan adab, tertib dan sopan dalam usaha untuk memastikan anak didik mereka tidak akan menyalahguna ilmu pengetahuan setelah menjadi insan terpelajar, dan akan menghayati sepenuhnya elemen akauntabiliti dan kebertanggungjawaban. Elemen adat dan adab, tertib dan sopan yang dimiliki oleh warga akan menentukan warna dan corak, imej dan reputasi sesebuah negara bangsa. Seorang pensyarah di sebuah universiti di Afrika Selatan memaparkan satu mesej secara ekspresif di pintu masuk kolej berbunyi: Runtuh pendidikan, runtuhlah negara
"Meruntuhkan sebuah negara tidak memerlukan bom atom atau penggunaan peluru berpandu jarak jauh; tetapi negara boleh diruntuhkan dengan menurunkan kualiti pendidikan dan membenarkan pelajar meniru dan menipu dalam peperiksaan. Seorang pesakit akan menemui ajal jika dirawat oleh doktor yang lulus peperiksaan secara menipu, bangunan akan runtuh jika dibina oleh jurutera yang lulus peperiksaan secara menipu, wang akan lesap di tangan akauntan yang lulus peperiksaan secara menipu, kemanusiaan akan musnah di tangan ulama yang lulus peperiksaan secara menipu, keadilan akan tercicir di tangan hakim yang lulus peperiksaan secara menipu, minda anak-anak akan terbantut di bawah bimbingan guru-guru yang lulus peperiksaan secara menipu.
Runtuh pendidikan, runtuhlah negara.
Ketika negara China mencari-cari formula ketenteraman, Tembok Besar dibina, dengan kepercayaan, tidak ada musuh yang dapat menembusinya. Akan tetapi dalam tempoh 100 tahun pertama tembok siap dibina, negara China terbabit dengan tiga perang besar. Setiap kali peperangan berlaku, pihak musuh tidak menghancurkan atau memanjat tembok, tetapi cukup dengan memberi sogokan kepada penjaga pintu tembok. Negara China terlalu sibuk membina tembok, tetapi lupa untuk membangunkan insan. Pembangunan insan sewajibnya mendahului apa juga agenda pembangunan lain. Terdapat kajian yang menghuraikan tiga faktor yang boleh menghancurkan peradaban sesuatu bangsa.
Pertama: hancurkan institusi keluarga; Kedua, hancurkan pendidikan dan Ketiga, hancurkan keteladanan tokoh dan ulama. Institusi keluarga akan hancur apabila ibu bapa memilih untuk menyerah dan mempertanggungjawabkan sepenuhnya urusan mendidik anak kepada pembantu rumah dan guru di sekolah. Anak-anak dipilih untuk ditempatkan di asrama, kerana faktor ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan kerjaya dan kurang masa untuk memantau anak-anak. Pendidikan boleh dihancurkan, secara tidak memberi penghargaan dan pengiktirafan sewajarnya kepada peranan guru; dan guru dibebankan dengan tugas-tugas yang menyebabkan mereka terabai daripada tugas asasi mengajar dan mendidik. Tokoh dan ulama boleh dihancurkan apabila kewibawaan mereka sebagai pemimpin diragui dan kredibiliti kata-kata mereka dipertikaikan.
Dalam senario yang sedemikian, generasi muda tidak ada siapa lagi yang dapat mendidik mereka dengan nilai-nilai luhur. Pada saat itu, bermulalah proses kehancuran sesuatu bangsa; bangsa akan menjadi bangsa yang lemah dan rapuh, disaluti kemewahan luaran yang boleh dijual beli. Alhamdulillah, kredibiliti kaedah mengendalikan peperiksaan sekolah masih dapat dipertahankan; peratusan terbesar pelajar lulus peperiksaan tanpa menipu. Namun kebelakangan ini, perlakuan menipu semakin menjelma dalam kehidupan pascasekolah; dilakukan oleh cerdik pandai, produk sekolah dan produk universiti. Insiden tangkapan kerana melakukan rasuah, dilapor berlaku pada skala yang begitu meluas, berlaku di pelbagai peringkat, membabitkan kenamaan dan pegawai berjawatan tinggi, baik di sektor awam begitu juga di sektor swasta, turut berlaku di kalangan atlet, juga di kalangan tokoh.
Rekod pencapaian kemajuan negara selama enam dekad boleh diruntuhkan dalam satu dekad melalui pelbagai salah laku yang mengakibatkan ketirisan sumber. Oleh itu, membina insan berintegriti, insan jujur, insan amanah dan insan yang telus adalah satu kemestian - satu kewajipan; bukan sahaja untuk mengelakkan musang agar tidak berbulu ayam tetapi untuk memastikan tidak akan ada ayam yang bersifat musang. Empat ratus tiga puluh lima ribu (435,000) orang guru yang berada di alam sekolah, adalah tenaga besar yang boleh memulakan langkah gergasi untuk membendung barah rasuah dengan menyemaikan nilai-nilai memusuhi rasuah di kalangan anak didik.
Input guru tak boleh disisih
Sekolah adalah medan tempur penting untuk memenangi minda warga muda. Guru adalah soldadu yang berada di barisan hadapan, dipertanggungjawabkan untuk mencanai minda dan membentuk watak warga muda. Oleh itu, input guru amat penting dan tidak boleh disisihkan ketika menggubal dasar berkaitan pendidikan. Ilmu peperangan menetapkan bahawa input daripada soldadu yang berada di medan tempur lebih berharga daripada andaian pemikir yang berada di ruang istana. Putrajaya akan berupaya menggubal dasar yang lebih mantap, jika rintihan daripada soldadu bawahan (foot soldiers), yang bertugas di sekolah-sekolah di Banun dan Kemar, di Trong dan Kuala Sepetang, di Pos Piah dan Pos Legap, di Ulu Geruntum dan Seri Tanjung, turut diberikan pendengaran sewajarnya. Jika terdapat jurang yang terlalu jauh di antara realiti di medan tempur dengan andaian di pusat kawalan, dibimbangkan dasar menjadi tempang dan arahan kelihatan songsang.
Seluruh warga guru telah memberikan khidmat cemerlang lagi gemilang kepada negara dan bangsa. Asuhan ayahanda dan bonda yang beta dan Raja Permaisuri lalui telah diperlengkapkan dengan didikan guru, yang telah memberikan bimbingan dengan penuh dedikasi, komitmen, keikhlasan dan kejujuran. Beta berdua terhutang budi dan amat berterima kasih kepada warga guru yang begitu besar jasanya, bukan sahaja kepada beta berdua, malah kepada putera dan puteri beta. Majlis yang tidak sepertinya ini adalah tanda penghargaan beta berdua untuk menghargai pengorbanan dan khidmat terbilang warga guru. Semoga kehidupan saudara-saudari dan ahli keluarga dikurniakan keberkatan Ilahi dengan melimpahkan kejayaan yang cemerlang kepada zuriat saudara-saudari sebagai ganjaran kepada khidmat bakti saudara-saudari mengilmukan anak-anak didik.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: "Barang siapa yang menunjuk kebaikan, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya." Semoga Allah Subhanahu Wata'ala menganugerahkan warga guru dengan ganjaran yang besar lagi mulia baik di dunia mahupun di akhirat. Beta bersama Raja Permaisuri atas nama takhta pemerintahan dan bagi pihak ibu bapa dan rakyat negeri Perak menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada warga guru dan mengucapkan 'Selamat menyambut Hari Guru'.
Titah Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/285465
0 Komentar untuk " Bersatu bina negara bangsa "