Fiqh wala' asas kekuatan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fiqh wala' asas kekuatan



Fiqh adalah salah satu bidang ilmu dalam syariat Islam yang membahas persoalan hukum kehidupan manusia sama ada individu mahupun bermasyarakat. Fiqh berasal daripada perkataan Arab 'al-fiqh' iaitu faham (al-fahmu) dan ilmu (al-ilmu). Ia digunakan untuk kefahaman mendalam atau ilmu yang luas dalam sesuatu jurusan seperti matematik, aqidah dan sebagainya. Dari segi istilah ialah ilmu berkenaan hukum taklif seperti halal, haram, makruh, wajib dan sunat yang diperoleh melalui al-Quran dan al-Sunnah. Fiqh turut membicarakan hukum syarak melalui ijtihad yang diistimbat melalui kaedah ditetapkan fuqaha. Istilah fiqh biasanya digunakan dalam pengajian klasik fiqh al-Ibadat, fiqh al-Munakahat, fiqh al-Muamalat, fiqh al-Jinayat dan sebagainya. Hari ini, golongan fuqaha memperkembangkan lagi perbincangan ilmu ini kepada fiqh al-Zakat, fiqh al-Da'wah, fiqh al-Aulawiyat, fiqh Maratib al-A'mal dan sebagainya.

Hasil inovasi dan penyelidikan semasa, perbincangan ilmu ini dilanjutkan kepada ruang yang baharu seperti fiqh al-Bii-ah (fiqh alam sekitar), fiqh al-Waqi' (fiqh realiti), fiqh uli al-Amri wa al-Hukumah (fiqh pemimpin dan kerajaan), fiqh tabayyun (fiqh pencerahan) dan sebagainya. Berdasarkan kemelut politik hari ini yang banyak berasaskan spekulasi dan andaian serta cubaan menjatuhkan kerajaan di luar undang-undang dan demonstrasi jalanan, sewajarnya skop fiqh dikembangkan kepada fiqh wala' dan taat daripada perspektif Islam dan menyebar luas kefahaman mengenainya. Ini bagi memastikan persekitaran sihat antara pemimpin dan rakyat demi kelangsungan negara serta membawa kemajuan menurut tuntutan agama.

Menurut Kitab al-Munjid fi al-Lughah, wala' ialah cinta (kasih sayang), memberi pertolongan, setia kawan (sadaqah). Wala' ialah perasaan seseorang terhadap sesuatu yang bersifat positif seperti cinta, sedia membantu dan berkorban, secara khusus bererti perasaan positif terhadap negara yang lahir dari cinta, sedia membantu dan berkorban. Ulama membahagikan wala' kepada beberapa bahagian, antaranya wala' kepada Allah dan Rasul: Wala' kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW ialah cinta seseorang hamba kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dengan memberi keutamaan kepada apa yang dicintai oleh Allah SWT dan RasulNya, walaupun bercanggah dengan kehendak, begitu juga membenci apa yang dibenci oleh Allah SWT dan Rasul-Nya, walaupun bercanggah dengan kehendaknya.

Seseorang itu sanggup mencintai dan membenci mengikut apa yang dicintai dan dibenci oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Ada di antara manusia yang mengambil selain dari Allah sebagai sekutu, mereka mencintainya seperti mana mereka mencintai Allah, sedang orang yang beriman itu lebih cintakan Allah. Dan kalaulah orang yang melakukan kezaliman itu mengetahui ketika mereka melihat azab (hari akhirat kelak), bahawa sesungguhnya kekuatan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawasanya Allah Maha berat seksa-Nya." (Surah al-Baqarah : 165).

Wala' kepada negara 

Wala' kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah antara tuntutan dua kalimah syahadah. Namun, bukanlah bererti seseorang itu menjadi fanatik melulu melakukan penindasan terhadap penganut agama lain dengan membunuh, merampas dan menghina kehormatan mereka seperti dilakukan oleh orang jahil. Wala' kepada negara. Warganegara sama ada Muslim atau bukan Muslim dituntut memberi wala' kepada negara berdasarkan kebaikan dan kelebihan negara tanpa menyebut keburukan atau menghina negara lain. Wala' kepada negara ditumpukan kepada kebaikan Perlembagaan negara yang memberi kebaikan kepada semua warganegara tanpa mengira perbezaan agama, etnik dan kebudayaan.

Semua penduduk menikmati keamanan dan kesejahteraan yang menjamin daruriyyat, hajiy-yat dan tahsiniyyat atau kamaliyyat, bertujuan menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Sirah merakamkan Perang Uhud sebagai panduan dalam wala' dan taat. Ia merakamkan kekalahan teruk tentera Islam kerana pasukan pemanah yang ditempatkan oleh Rasulullah SAW di bukit yang strategik, tidak mematuhi arahan kerana melihat harta rampasan perang yang banyak. Ketaatan kepada pemimpin tertakluk kepada perkara kebaikan, tidak melanggar syarak, mencegah kemungkaran, bukannya menyokong secara membuta tuli tanpa ilmu pengetahuan dan usul periksa. Sesebuah negara akan hancur kerana perpecahan dan rakyatnya gagal menunaikan tanggungjawab menzahirkan wala' dan taat kepada ketua, pemimpin dan negara.

Dalam konteks Islam, wala' dan taat wajib diberikan kepada kerajaan yang dipilih melalui sistem yang sah dan kepemimpinan meneruskan semua dasar berlandaskan syariah. Perlembagaan adalah penghubung antara pemimpin dan rakyat. Pemimpin tidak boleh melebihi bidang kuasanya dan rakyat pula boleh menuntut mengikut apa yang diputuskan berdasarkan Perlembagaan. Dalam realiti ini, fiqh wala' dan taat perlu diarusperdana dalam urusan kenegaraan dan disesuaikan dengan cita rasa dan landskap politik, sekali gus menggalakkan budaya politik berasaskan ilmu, fakta dan kebenaran; mengelak perselisihan dan konfrontasi rakyat dan pemerintah; mengelak ketidakstabilan politik, sosial dan ekonomi negara; membendung budaya memperkotak-katik rakyat melalui pelbagai bentuk manipulasi dan menutup ruang terhadap campur tangan kuasa asing dalam negara. Wala' dan taat merujuk kepada semangat berpasukan sebagai pasukan yang kukuh, pemimpin tidak terpisah daripada rakyat.

Penulis adalah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Oleh Tan Sri Dr Abdullah Muhammad Zin

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/284422
0 Komentar untuk " Fiqh wala' asas kekuatan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ