Perkaitan bunyi dan perkataan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perkaitan bunyi dan perkataan


PENULIS hanya sempat menikmati kasih sayang ayah dalam tempoh sewindu (selama lapan tahun) sahaja (semoga ALLAH SWT merahmati ayahanda, Allahyarham Haji Hassan). Seperti kebanyakan masyarakat keturunan Pattani Thai yang lain, arwah ayah penulis suka memelihara burung. Penulis tidak pasti jenis burung yang dipelihara oleh arwah ayah.

Perkara yang paling penulis ingat ialah arwah ayah selalu memetik jari dan membunyikan “kur…kur…kur...”.  Selepas beberapa kali arwah ayah membunyikan “kur…kur…kur...”, burung itu akan berbalas bunyi “kur…kur…kur...”. Setelah penulis dewasa, barulah penulis mengetahui bahawa burung yang dipelihara oleh arwah ayah ialah burung tekukur. Mungkin burung tersebut dinamakan tekukur kerana cirinya yang berbunyi “kur…kur…kur...”.

Arwah ayah penulis juga suka memelihara ayam kampung. Ayam-ayam tersebut dipelihara untuk dijadikan lauk sebagai hidangan istimewa apabila tetamu datang ke rumah kami. Kami hanya dapat makan nasi berlauk ayam apabila arwah ayah menerima tetamu. Arwah ayah akan memberikan isyarat tertentu supaya penulis dan abang penulis yang bernama Takiyuddin mengejar dan menangkap ayam untuk digulaikan oleh arwah emak (semoga ALLAH SWT merahmati rohnya).


Setiap pagi, ayam jantan peliharaan arwah ayah akan berkokok “kok…kok…kok...”. Kami selalu terjaga untuk menunaikan solat Subuh disebabkan kokokan ayam peliharaan arwah ayah. Mungkin disebabkan ciri ayam yang berbunyi “kok…kok…kok...” maka tercipta perkataan “kokok”.


Pada suatu ketika dahulu, di rumah penulis terdapat sebuah jam dinding berjenama Citizen. Jam tersebut diletakkan di dinding ruang tamu. Jam tersebut tidak menggunakan bateri seperti jam sekarang. Jam tersebut perlu dikunci dua kali sehari. Setelah dikunci, jarum saat jam itu akan bergerak dan mengeluarkan bunyi “tik…tik…tik…tik..”.  Sebenarnya jarum saat jam itu sedang berdetik. Kerana bunyi pergerakan jam itu “tik…tik…tik…tik...”, maka tercipta perkataan “detik”.

Jarum jam pula akan berbunyi setiap jam. Apabila tiba pukul satu, jam akan berbunyi “ting” sekali. Apabila jarum jam menunjukkan pukul dua, bunyi ting akan kedengaran sebanyak dua kali, iaitu “ting… ting..”. Jika jarum jam dan jarum minit berkumpul pada angka 12, bunyi “ting” akan berulang sebanyak 12 belas kali. Dalam hal ini, jam berdenting berdasarkan waktu. Oleh sebab jam yang berbunyi “ting… ting… ting...” yang merujuk waktu tertentu, maka tercipta perkataan “denting”.

Setelah ayah dan emak kembali ke rahmatullah, penulis dijaga oleh kakak sulung yang bernama Afifah dan suaminya Ahmad. Penulis membesar bersama-sama anak-anak kakak yang bernama Mohd Ghazali dan Abdul Aziz. Usia mereka lebih kurang sebaya dengan penulis. (Kini, mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing, iaitu sebagai Pengetua Mozac dan Jurutera Kanan Petronas). Pada waktu itu, kami tidak lagi bergantung pada bunyi kokokan ayam jantan untuk bangun pagi. Kami dibekalkan dengan jam loceng yang sentiasa menjadi rebutan antara kami. Kebiasaannya penulislah yang akan mengunci jam supaya jam tersebut berbunyi keesokan pagi bagi memudahkan kami bangun untuk ke sekolah. Jam loceng akan berbunyi “ringgggggggggg...”. Jam tersebut akan terus berbunyi “ringggggggggg” selagi tidak ditekan punatnya. Pada pendapat penulis, daripada bunyi jam loceng “ringgggggggggg...”, maka tercipta perkataan “dering”.

Kereta pertama dalam keluarga kami dimiliki oleh abang ipar penulis yang bernama Mohd Subhi. Dia berkahwin dengan kakak penulis yang bernama Siti Mariah. Mohd Subhi merupakan seorang guru muda ketika itu yang memiliki kereta Volkswagen. Dia pernah membawa penulis meronda-ronda dengan kereta “kura-kura”nya. Ketika itu, penulis masih bersekolah di sekolah rendah. Setiap kali, dia sampai di rumah penulis, dia akan membunyikan “hon… hon… hon...”. Penulis sangat teruja apabila dapat menaiki kereta itu. Kini, kereta itu telah dijual dan digantikan dengan deretan kereta lain. Mungkin disebabkan hon kereta yang berbunyi “hon…hon…hon...”, tercipta perkataan “hon”. Hebat sungguh bahasa kita. Hanya melalui bunyi, perkataan dicipta dan digunakan.

- Ruangan ini dikelola oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

0 Komentar untuk " Perkaitan bunyi dan perkataan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ