TIBA-TIBA saya teringat satu kisah menarik – dan membanggakan – zaman muda dulu-dulu. Orang lain kena tipu, saya tidak!
Saya dipujuk oleh seorang makwe @ kasir supaya membuat sedikit pelaburan. Katanya, dalam senyum dan suara manja: “Masuk sikit, untung banyak. Masuk banyak, untung lagi banyak...”
Bukan untung itu yang menarik perhatian, saya lebih terpikat pada senyuman dan lunak suaranya yang ala-ala Zaleha Hamid itu. Bagi yang tidak tahu, Zaleha ialah salah seorang penyanyi Pop Yeh Yeh 60-an.
Saya memberinya RM200; itu sepertiga dari gaji. Kalau nasib baik ada untung, kalau tidak untung pun senyuman dan kelunakan ‘Zaleha’ sudah cukup menjadi penghibur era playboy yang serba indah itu.
Mengejutkan, cukup dua minggu, saya mendapat RM300 tunai, iaitu RM200 pelaburan asas, tambah RM100 faedah. Fullamak, dalam masa dua minggu dapat untung 50 peratus.
Lupa senyum, lupa suara lunak, saya mula mengira untung, dan berkunjung ke pejabat syarikat pelaburan berkenaan di Jalan Medan Tunku, KL. Orang berbaris di luar pejabat, masing-masing datang untuk mengambil duit pelaburan campur faedah, juga menambah pelaburan.
Ada yang dapat faedah RM ribu-ribu, tidak mengambil faedah tetapi menjadikannya pelaburan tambahan. RM300 yang saya dapat, tambah lagi RM200 menjadikan pelaburan baru saya RM500. ‘Zaleha’ menggoda dengan senyuman: “Dua minggu lagi abang datang, dapat balik RM500, campur faedah RM250, jadi RM750.”
Datang semula setelah dua minggu, orang semakin ramai, beratur hingga tepi jalan. Saya betul-betul dapat RM750, dan senyuman kasir yang bertambah manis itu. Katanya: “Abang tak payah ambik duit ni. Lebih baik abang tambah RM250, jadi jumlah pelaburan RM1,000...”
Saya mencongak, kalau labur RM1,000, dua minggu lagi saya dapat RM1,500. Kalau tambah lagi RM500, dua minggu lagi saya dapat RM3,000. Tetapi saya tidak tamak, RM750 itu saya ambil semuanya sambil berkata pada kasir: “Tengah hari nanti kalau free, kita makan nasi kandar, abang belanja.”
Satu hari, kira-kira dua bulan kemudian, si lunak manja menelefon saya, menangis: “Tauke tak bayar gaji saya, opis dah tutup. Tauke lari, pelabur mengamuk, banyak polis jaga opis sekarang...”
Itu terjadi kira-kira 40 tahun lalu, apabila orang ramai seluruh negara terpengaruh - dan menjadi mangsa – apa yang dipanggil skim cepat kaya.Ada macam-macam nama syarikat pelaburan haram, yang saya masih ingat ialah Labu Peram, Pak Man Telo, dan Emas Segantang.
Waktu itu heboh satu Malaya orang meraih untung berkali ganda dari pelaburan haram ini. Ada yang mendakwa untung RM berpuluh ribu dalam masa sebulan. Ada yang dipromosikan sebagai jutawan sekelip mata. Ada yang beli rumah baru, ramai juga tambah isteri.
Selepas kisah kejayaan menjadi jutawan, heboh pula sana-sini orang membuat aduan dan mengamuk kerana tertipu dengan pelaburan palsu. Apa yang dilabur semua lebur.
Beribu-ribu orang – termasuk penjawat awam, pegawai polis, pegawai tentera – menjadi mangsa skim, dengan jumlah kerugian RM beratus juta. Ada rumah tergadai, ada tanah terlelong, malah ada yang membunuh diri, semuanya gara-gara hendak cepat kaya.
Hari ini apa yang terjadi pada era satu Malaya empat dekad dulu, berulang pada era 1Malaysia. Seperti yang disiarkan media ramai yang tertipu kerana ghairah melabur dalam pelbagai pelaburan haram.
Era satu Malaya pelaburan haram dibuat oleh ejen-ejen seperti ‘Zaleha’ yang datang memujuk pelanggan. Era 1Malaysia pelaburan dibuat secara lebih canggih menerusi internet. Masukkan duit sekian-sekian dalam akaun syarikat pelaburan dalam masa singkat pelabur sudah dapat laba berkali ganda.
Macam-macam bentuk pelaburan internet. Ada melabur dalam Forex @ mata wang asing, pelaburan emas, pelaburan hartanah, malah ada juga pelaburan hotel kononnya untuk jemaah haji. Orang kita pun berlumba-lumba melabur. Seorang dua dapat untung, tetapi lebih ramai yang rugi, semua habis-licin, tinggal gusi.
Walaupun telah diberi amaran oleh pihak berkuasa, hasrat dan gila-gila untuk kaya segera membuatkan ramai orang kita tidak menghiraukan langsung amaran demi amaran. Mereka tergoda dengan resit dan cek keuntungan pelaburan – tidak pasti fakta atau auta – yang ditularkan dalam media sosial.
Bank Negara Malaysia (BNM) menyenaraikan 271 syarikat pelaburan yang dianggap ‘tidak dibenarkan dan tidak diluluskan’ di bawah undang-undang dan peraturan. Malah bank pusat itu telah memberi peringatan mengenai kewujudan syarikat-syarikat pelaburan haram. Sila rujuk laman web BNM di http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_financialconsumeralert&lang=bm sebelum memutuskan untuk melabur.
Ramai yang telah tertipu, ramai yang muflis gara-gara pelaburan di internet. Telah berulang kali kisah malang ini disiarkan media. Tetapi ramai lagi yang masih degil dan terus melabur untuk cepat jadi jutawan. Akhirnya mereka sasau tidak keruan.
0 Komentar untuk " Perihal ‘masuk sikit untung banyak’ "