MACAM-MACAM peraturan telah dikuatkuasakan bagi mendisiplinkan pemandu kenderaan, penunggang motosikal dan pengguna jalan raya, tetapi pelaksanaannya tidak nampak berjaya secara berkesan. Buatlah apa sahaja, masih banyak kes pengguna yang memandu seperti pelesit, yang melanggar peraturan lampu isyarat dan memotong sesuka hati. Apakah pelaksanaan Sistem Mata Demerit yang berkuat kuasa Sabtu lalu dapat mendidik mereka mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan semasa berada di jalan raya?
Pelaksanaan sistem terbaru itu melibatkan dua kesalahan utama, iaitu perlanggaran peraturan lampu merah dan memandu melebihi had laju. Di bawah sistem itu, pelanggar peraturan akan dikenakan 20 mata dan tindakan bermula dengan amaran dan meningkat hinggalah ke tahap yang membolehkan lesen memandu mereka digantung untuk tempoh yang ditetapkan. Yang boleh dianggap berkesan adalah apabila mereka yang disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM3,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun. Pembatalan lesen memandu pula boleh menyebabkan pesalah perlu mengikuti semula proses mendapatkan lesen memandu sebagaimana yang dilalui bakal pemandu baharu.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob, menerusi reaksi yang diterima di laman sosial dan portal JPJ, ramai yang menyokong usaha ini. Ramai yang percaya penguat-kuasaan sistem ini dapat mengurangkan tabiat buruk segelintir pengguna jalan raya. Mereka anggap ini adalah suatu sistem yang baik untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya. Pelanggaran peraturan lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan. Di bawah sistem itu, JPJ menguatkuasakan 23 kesalahan lalu-lintas. Antara kesalahan yang akan dikenakan mata demerit adalah membawa lebih muatan, memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal dan mengabaikan arahan polis atau JPJ. Mata demerit akan diberikan kepada pemandu kenderaan, bukan pemilik kenderaan. Banyak pihak menyokong penguatkuasaan sistem itu kerana percaya ia akan dapat menakutkan pengguna jalan raya daripada melakukan kesalahan. Namun, ada yang membantah.
Pengerusi Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM), Sa’adan Man disebut sebagai berkata, pendekatan itu bukan sahaja tidak mampu atasi masalah kemalangan jalan raya, malah menambahkan lagi bebanan rakyat. Mereka tidak suka sistem itu kerana sampai pada satu tahap, lesen mereka yang melakukan kesalahan boleh digantung dan ini menjejaskan sumber rezeki pemandu terlibat. Pelaksanaan sistem ini akan menambahkan lagi bebanan rakyat, yang sudah pun berhadapan dengan pelaksanaan GST yang sudah pun mengakibatkan kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Menurutnya, pihak berkaitan patut mengkaji faktor lain yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya, seperti kerosakan jalan, sistem trafik, selekoh tajam dan jalan sempit sebelum mengambil keputusan untuk melaksanakan sistem demerit.
Apa pun saya hargai usaha pihak berkuasa untuk mengurangkan kemalangan, kecederaan dan kehilangan nyawa di jalan raya. Malangnya, bagi segelintir pengguna jalan raya di negara kita, apa sahaja sistem yang dikuatkuasakan tidak menakutkan mereka. Kalau mereka patuh, undang-undang yang sedia ada sudah cukup untuk kurangkan kemalangan. Kumpulan yang degil begini hanya akan berhenti menjadi pengancam di jalan raya apabila mereka sendiri hilang kaki atau tangan dalam kemalangan. Gantung lesen untuk seumur hidup pun rasanya tidak akan membuat mereka serik. Walaupun tiada angka rasmi, kita percaya beribu orang yang hari ini masih memandu kenderaan dan menunggang motosikal walaupun lesen mereka sudah tamat tempoh.
Apakah mustahil beribu-ribu orang memandu setiap hari di jalan raya walaupun tidak pernah ada lesen memandu? Daripada pengalaman saya yang mempunyai lesen memandu selama 45 tahun, penguatkuasaan undang-undang tidak mampu mendisiplinkan pengguna jalan raya. Jalan raya akan jadi selamat sekiranya lebih ramai pengguna tidak pentingkan diri dan lebih ramai yang walaupun tidak sayangkan nyawa sendiri, tidak sanggup meletakkan nyawa orang lain dalam bahaya. Wallahuaklam.
0 Komentar untuk " Usaha terbaik kurangkan kemalangan "