Masjid perlu mesra dakwah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Masjid perlu mesra dakwah



BARU-BARU ini saya mendengar keluhan sahabat lama, Hajah Noorshin Ng, yang merupakan Presiden Persatuan Darul Fitrah Malaysia, sebuah NGO yang giat memberikan penerangan mengenai Islam. Hajah Noorshin juga aktif dalam Macma dan telah berdakwah lebih 20 tahun.

Beliau menceritakan pengalaman ketika berhenti di sebuah masjid kecil di Melaka bersama beberapa ahli keluarga untuk menunaikan solat. Seorang lelaki telah menegur adik lelaki beliau dengan mengatakan, “Apa lu buat sini?”, seolah-olah adik beliau telah melakukan kesalahan besar. Adik lelaki Hajah Noorshin juga seorang mualaf.

Ketika kejadian itu, Hajah Noorshin berada di ruang solat wanita di bahagian belakang masjid. Bagaimanapun, beliau mendengar kata-kata lelaki tersebut. Hatinya sedih dan tergores. Lelaki yang menegur adiknya itu rupanya seperti mereka juga, singgah untuk solat, bukannya ahli kariah atau ahli jawatankuasa masjid tersebut.

Insiden seperti ini menunjukkan bukan sahaja umat Islam tidak berdakwah tetapi memberi pula gambaran serong terhadap Islam. Apa salahnya jika orang bukan Islam sekalipun masuk ke masjid? Dan adakah seorang Islam yang berkulit putih dan bermata sepet perlu membuktikan keislamannya terlebih dahulu sebelum boleh menunaikan solat di masjid?

Jika si mata sepet tersebut baru hendak mengenali Islam dan ingin melihat masjid dengan lebih dekat, agaknya apa yang akan terjadi? Kena herdik?

Sebenarnya, masjid merupakan pusat dakwah yang terbaik untuk umat Islam. Kita sepatutnya berasa suka dan beruntung jika ramai yang ingin mengunjungi masjid. Dalam keadaan ramai umat Islam yang begitu liat untuk solat di masjid, kenapa kita hendak menghalau mereka yang datang? Atau bersikap seolah-olah mereka ini tetamu yang tidak diundang?

Sememangnya sudah ada kesedaran dakwah di masjid-masjid dan begitu banyak masjid sudah membuka ruang untuk bukan Islam melawat melalui program lawatan masjid (mosque tour). Jika anda pernah melawat Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang, anda akan lihat pejabat Islamic Propagation Society International (IPSI) atau Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa dalam kawasan masjid tersebut.

Mungkin ramai yang sudah tahu Haji Kamarudin Abdullah, Presiden IPSI, giat menjalankan dakwah. Beliau membawa pelawat bukan Islam melihat sekitar kawasan masjid tersebut termasuk di ruang solat. Ketika lawatan-lawatan inilah beliau menjawab pelbagai persoalan mengenai Islam. Ada yang berasa amat tenang ketika pertama kali melihat ruang solat di masjid. Begitu ramai juga yang memeluk Islam dengan bimbingan Haji Kamarudin selepas lawatan ke masjid tersebut.

Di Kelantan, seorang lagi sahabat bernama Haji Muhammad Michael yang berasal dari Ghana tetapi fasih berbahasa Inggeris dan Melayu dengan loghat Kelantan, yang merupakan Pengerusi International Islamic Information & Dakwah Centre (IIDAC), juga giat berdakwah dan menjalankan program lawatan masjid di Masjid Muhammadi, masjid negeri di Kota Bharu, Kelantan. Ramai juga yang memeluk Islam dengan bimbingan Haji Muhammad Michael.

Di negeri jiran, Terengganu, Datin Norhana Ng yang merupakan Pengerusi Macma Terengganu juga turut melakukan program lawatan masjid di beberapa masjid di Kuala Terengganu. Program pertama dimulakan di Masjid Kristal pada tahun 2012, diikuti dengan Masjid Abidin (Masjid Putih) dan Masjid UMT pada tahun 2016 dan kini di Masjid Taman Hadhari. Bukan sahaja mengendalikan lawatan, Norhana juga sering menganjurkan kursus mengendalikan lawatan masjid agar lebih ramai umat Islam tahu cara mengendalikan lawatan masjid sambil berdakwah.

Menurut Norhana, agak sukar untuk menyebarkan Islam dengan mengetuk pintu rumah atau berjumpa di jalanan kerana mereka tidak akan memberikan perhatian atau sekadar mendengar tanpa minat. Ini berbeza dengan lawatan masjid kerana mereka yang bukan Islam datang kepada kita dan bersedia untuk mendengar.

Maka, bagi umat Islam umumnya dan pihak pengurusan masjid-masjid khususnya, pastikanlah masjid dijadikan platform dakwah untuk menyampaikan kebaikan Islam dan kebenaran, bukannya menakutkan mereka yang ingin berjinak-jinak dengan masjid mahupun yang hanya ingin tahu atau belajar. Itulah tugas kita, menyampaikan, di samping kita berdoa kepada ALLAH untuk memberikan mereka hidayah kerana hidayah itu milik-Nya.

- Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

0 Komentar untuk " Masjid perlu mesra dakwah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ